22% ada perlindungan perubatan, penyakit kritikal - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

22% ada perlindungan perubatan, penyakit kritikal

SYARIKAT insurans, AIA Berhad (AIA) menyifatkan insurans sebagai komitmen jangka panjang. Pelanggan memahami faedah pengambilan terutamanya berkaitan perubatan dengan kenaikan kos sara hidup sekarang.

Pegawai Pemasarannya, Thomas Wong berkata, kadar penembusan pasaran bagi insurans dan Takaful di Malaysia ialah 56 peratus dan masih jauh daripada sasaran kerajaan iaitu 75 peratus pada 2020.

Hanya 22 peratus daripada populasi tempatan mempunyai perlindungan perubatan dan penyakit kritikal.

“Ini juga sejajar dengan anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu RM18 bilion dibelanjakan untuk perubatan swasta di Malaysia pada 2013, 20 peratus  merangkumi insurans perubatan swasta dan 80 peratus adalah dibayar sendiri.

“Inisiatif terbaru AIA Berhad  yang dinamakan The Health Report Card, AIA bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengawal bukan sahaja dari segi kewangan tetapi kesihatan diri,” katanya.

Peningkatan penyakit berkaitan gaya hidup begitu membimbangkan kerana memberi kesan terhadap individu dan komuniti sekeliling.

“Dalam keadaan kos sara hidup kian meningkat, kita tidak boleh bergantung harap ke atas simpanan wang semata-mata untuk menampung hidup jika menghidapi penyakit kronik.

“Kami menggalakkan rakyat Malaysia mengambil langkah menjaga kesihatan dan mengamalkan tabiat positif yang dapat mengurangkan risiko penyakit berkaitan gaya hidup,” katanya.

Pihaknya berharap rakyat Malaysia lebih bersedia dari segi kewangan bagi mendapatkan rawatan terbaik supaya dapat meningkatkan peluang untuk pulih.

AIA tidak menolak penipuan insurans boleh diatasi jika lebih ramai rakyat Malaysia memahami sebab mereka mempunyai insurans dan pentingnya mendapatkan perlindungan secukupnya.

Perlu ambil berat kesihatan

Ketua Pegawai Perkhidmatan Kesihatan, Jamie Yu berkata, sebagai peneraju pasaran dalam Faedah Pekerja, AIA menyaksikan impak trend kesihatan merosot ke atas produktiviti dan perbelanjaan perubatan syarikat.

“Dengan inflasi perubatan dilaporkan pada 12 peratus setahun, kenaikan kos penjagaan kesihatan adalah satu lagi sebab rakyat Malaysia harus mengambil berat mengenai kesihatan,” katanya.

Data menunjukkan peningkatan 19 peratus dan 41 peratus dalam kos purata setiap kemasukan ke hospital untuk diabetis dan penyakit jantung,  antara 2010 hingga 2014.

“Penyakit berkaitan gaya hidup memberi impak kepada keluarga bukan sahaja dari segi fizikal dan emosi, malah dari segi kewangan. Terdapat banyak kes kebankrapan perubatan berpunca dari ketidakmampuan keluarga menampung kos perubatan.

“Mereka perlu membayar sendiri disebabkan perlindungan perubatan tidak mencukupi. Rakyat Malaysia harus memberi perhatian serius terhadap kesihatan supaya boleh menikmati kehidupan lebih lama dan bahagia,” katanya.

0 Komentar untuk " 22% ada perlindungan perubatan, penyakit kritikal "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ