Transformasi universiti perlu kepemimpinan berwawasan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Transformasi universiti perlu kepemimpinan berwawasan

Tuntutan dan dorongan seringkali meruntun masyarakat dan organisasinya untuk berubah. Cabaran sosial, ekonomi dan politik dalaman dan luaran serta harapan baharu warganya sering kali menyediakan ruang dan peluang transformasi masyarakat agar terus relevan, mapan dan lestari.

Dalam konteks negara kita, Wawasan 2020 dirancang dan dilaksanakan untuk memastikan Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Pendidikan tinggi mempunyai peranan penting dalam menggapai hasrat negara maju berpendapatan tinggi. Ia memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk membangun dan memperkasakan warga insannya yang menjadi kunci dalam menangani sembilan cabaran strategik seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.

Cabaran itu ialah perpaduan; jiwa bebas dan tenteram; demokratik; bermoral dan beretika kukuh dengan nilai agama; bertolak ansur; saintifik dan progresif; penyayang; adil dan saksama; serta makmur dengan ekonomi yang berdaya saing, dinamik dan kental.

Bagi memastikan matlamat tercapai, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), ringkasnya PPPM (PT) diperkenalkan. Ia lanjutan kepada Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan pada tahun 2007 dan jajaran kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

PPPM (PT) berhasrat membangunkan bakat berilmu dan berakhlak mulia sekali gus akan menyumbang kepada pembangunan negara. Tujahan PPPM (PT) dijelmakan menerusi 10 lonjakan utama iaitu graduan holistik, berkeusahawanan dan seimbang; kecemerlangan bakat; masyarakat yang belajar sepanjang hayat; graduan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang berkualiti; kelestarian kewangan; tadbir urus yang perkasa; ekosistem inovasi; kesohoran global; pembelajaran dalam talian secara global; dan penyampaian pendidikan tinggi yang bertransformasi.

Pelaksanaan transformasi 

Cabarannya, bolehkah PPPM (PT) dilaksanakan dengan jayanya? Di sebalik banyak perancangan yang gagal, banyak juga perancangan pendidikan yang berjaya dilaksanakan. Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan boleh belajar bagaimana IPT luar negara seperti Universiti Oxford dan Universiti Cambridge berjaya melaksanakan transformasi masing-masing.

Perubahan peranan negara untuk memberi pendidikan universiti kepada individu agar mereka boleh berfikir sendiri pada sekitar tahun 1960-an kepada peranan universiti untuk menyediakan individu bagi membangunkan ekonomi negara pada tahun 2000-an menjadi tuntutan dan dorongan kepada kedua-dua universiti tersohor itu untuk berubah. Universiti Cambridge, universiti kedua tertua dalam kalangan negara bertutur bahasa Inggeris dengan usia 806 tahun melakukan transformasi strategik dengan menggalakkan pihak industri menubuhkan makmal inkubator di sekitar kampusnya bagi tujuan penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran.

Terkenal dengan pembangunan kluster perniagaan berteknologi tinggi yang dikenali sebagai Silicon Fen, Universiti Cambridge menjadi universiti terkaya di Eropah dengan endowmen berjumlah STG4.9 bilion (RM31.4 bilion) pada tahun 2013. Sementara Universiti Oxford, universiti tertua yang kini mencecah usia 919 tahun melakukan transformasi tadbir urus dan kewangan demi memastikan ia terus relevan dalam abad ke-21. Pada tahun 2014, Universiti Oxford mempunyai endowmen sebanyak STG4.4 bilion (RM28.24 bilion).

Transformasi yang bermula sejak tahun 2000 membabitkan 3,700 staf akademik dan pentadbiran serta lebih 22,000 pelajar diceritakan sendiri oleh Profesor Roger Goodman dari Universiti Oxford dalam program Wacana Akademia bertajuk 'How University of Oxford Restructured for the 21st Century' anjuran AKEPT, baru-baru ini. Antara yang boleh dipelajari daripada pengalaman kedua-dua universiti tersohor itu adalah perlunya transformasi dilakukan untuk memastikan sesebuah universiti terus relevan, terujuk dan dihormati. Pemimpin berwawasan yang berani mengambil risiko untuk berubah meskipun dalam keadaan sudah tersohor amat diperlukan demi memastikan kelangsungan dan kemapanan institusi.

Walaupun sudah berada dalam keadaan terujuk dan dihormati, mereka terus belajar dan mencuba untuk berubah bagi mendepani tuntutan pendidikan abad ke-21. Mereka belajar antaranya daripada kegagalan Universiti Salamanca, Sepanyol yang pernah gah pada abad ke-17. Selain daripada itu, pemimpin universiti seharusnya berupaya dan dapat menambat, meyakin dan menggerakkan beribu-ribu warganya untuk menggalas transformasi di samping memberi tumpuan kepada pencapaian hasil misi dan wawasan digapai.

Program peralihan, pembugaran kepemimpinan strategik 

AKEPT juga menawarkan program peralihan dan pembugaran kepemimpinan strategik berdasarkan lapan kluster kepemimpinan tadbir urus, penyelidikan dan inovasi serta pengajaran dan pembelajaran. AKEPT memastikan kesiapsiagaan bakal pemimpin IPT, antaranya melalui penaksiran personaliti dan kesediaan kepemimpinan pendidikan tinggi. Ternyata, terdapat keperluan untuk melakukan transformasi pendidikan tinggi seperti yang dihasratkan oleh PPPM (PT). Keperluan transformasi ini menuntut pemimpin berwawasan dan berani mengambil risiko untuk keluar daripada zon selesa meskipun institusi berkaitan telah tersohor. Pemimpin IPT seharusnya berupaya untuk membuat perubahan, memimpin warganya dan mencapai hasil. Justeru itu, program pembangunan dan pemerkasaan bakat kepemimpinan perlu dilakukan secara strategik, mapan dan lestari demi memastikan kelangsungan dan kelestarian institusi pendidikan tinggi negara yang relevan, terujuk dan dihormati.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/76233

0 Komentar untuk " Transformasi universiti perlu kepemimpinan berwawasan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ