Tadah air hujan untuk berwuduk - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tadah air hujan untuk berwuduk

KETIKA kenderaan kami menyelusuri kawasan Ara Damansara, langsung tidak kelihatan kelibat kubah masjid sekitarnya. Mata liar mencari di manakah letaknya Masjid Ara Damansara? Berdasarkan petunjuk diberikan, penulis terusan memandu sehinggalah sampai ke kawasan berpagar dan struktur binaannya tersergam indah berwarna putih. Itulah satu-satunya masjid di kawasan berkenaan. Dengan rekaannya  bertemakan alam semula jadi, masjid ini turut dikenali sebagai Masjid Hijau.

Terletak di tengah-tengah bandar, masjid ini ternyata mempunyai keunikannya yang tersendiri apabila menjadi medan pertembungan antara dua darjat kelompok masyarakat kawasan ini.

Konsep mesra alam

Penulis berpeluang menemu ramah arkitek yang melakar binaan masjid berkonsepkan teknologi hijau ini, Ar Mohamad Mansor Jaffar yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ini.

Mansor berkata, Sime Darby memintanya mencetuskan idea untuk pembinaan sebuah masjid yang konsepnya terbuka dan mesra alam di kawasan Ara Damansara.

"Sime Darby mahukan kelainan dan ia mestilah berbeza dengan yang lain dan unik. Konsepnya umpama duduk di bawah pokok yang rendang dalam cuaca yang panas terik dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Tidak mahu terkurung dan tidak kelihatan seperti masjid. Terbuka kepada semua agama untuk masuk ke laman masjid ini. Pada masa itu, saya terfikir sebuah binaan yang kukuh berdiri dalam masa yang sama sistem pengudaraannya terbuka dan tidak memerlukan penggunaan elektrik yang banyak.

"Sesuatu yang menarik mengenai masjid ini dan ia berbeza dengan rumah ALLAH yang lain adalah air yang digunakan untuk berwuduk adalah hasil tadahan hujan. Air yang ditadah itu kemudiannya disalurkan kepada satu tangki, sebelum itu air berkenaan telah ditapis dengan sistemnya. Selepas itu dipam ke loji penapisan dan apabila ia keluar, air berkenaan boleh diminum. Di sini kami gunakan air berkenaan untuk berwuduk. Air yang digunakan semasa berwuduk akan digunakan kembali untuk menyiram tanaman. Di sini kita melihat tidak ada sebarang pembaziran yang berlaku, air berkenaan digunakan sebaik mungkin," katanya.

Menurut Mansor, masjid tersebut mendapat taraf emas Indeks Bangunan Hijau (GBI) kerana binaannya terdiri daripada bahan mesra alam dan tenaga efisien.

Masjid yang berkeluasan dua hektar ini mampu memuatkan lebih 1,000 jemaah di bahagian dalamnya dan 1,000 lagi jemaah di luar. Binaan dinding berbentuk elemen Khufi dan terbuka di dewan solat utama dapat memberi laluan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi. Bagi penjimatan elektrik dan tenaga manusia, lampu sensor dipasang. Masjid ini juga dilengkapi sistem bunyi yang lengkap selain dua kipas besar yang menjimatkan penggunaan elektrik.

Pertembungan dua darjat

Sementara itu, imam satu juga merangkap ketua operasi masjid, Mohd Syukri Ali, 33 berkata, masjid ini mula beroperasi sejak 30 Januari awal tahun ini dan jemaah yang datang sangat memberangsangkan.

"Kedatangan jemaah adalah menggalakkan setiap kali tiba waktu solat, terutamanya semasa Ramadan yang lepas. Ramai datang bertarawih dan keadaan berkenaan sehingga ke penghujung Ramadan. Kebanyakan jemaah yang datang adalah daripada pelbagai golongan, sama ada profesional ataupun individu biasa.

"Kita lihat masyarakat hari ini sangat mendambakan ilmu agama. kerana itu saya bersama imam yang lain menganjurkan kelas pengajian al-Quran bermula daripada asas (tajwid). Program ceramah, tazkirah dan forum turut diadakan di masjid ini setiap hari, minggu dan bulanan. Ceramah berkenaan biasanya dikelolakan oleh agamawan yang dijemput khas," kata anak jati Terengganu ini.

Ulasnya lagi, masjid ini walaupun baru tujuh bulan lebih beroperasi, tetapi banyak aktiviti keagamaan dianjurkan. Kebanyakan ahli kariah masjid ini terdiri dalam kalangan mereka yang dermawan dan tanpa segan menderma serta memberikan sumbangan bagi memastikan rumah ALLAH ini diurus dengan baik dan teratur.

Pembinaan masjid ini menelan perbelanjaan kira-kira RM15 juta dan dilengkapi dengan prasarana seperti rumah pengurusan jenazah (tempat memandikan jenazah dilengkapi paip air yang khas), tempat berwuduk bagi Muslimah, skylift (untuk membersihkan bahagian atas masjid), tempat permainan kanak-kanak, kuarters imam dan bilal dan perancangan akan datang, kawasan masjid ini juga bakal dibina dewan kuliah, rumah musafir dan juga tambahan kuarters untuk siak masjid.

Besarnya peranan masjid, ia bukan sahaja tempat untuk beribadah semata tetapi turut berperanan sebagai sebuah medium menimba ilmu dan medan mengukuhkan ukhuwah sesama Islam. Imarahkanlah masjid sebaik mungkin dengan cara berhemah.

0 Komentar untuk " Tadah air hujan untuk berwuduk "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ