Malaysia bebas gempa bukan lagi jaminan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Malaysia bebas gempa bukan lagi jaminan


IA tiba tanpa amaran. Kehadirannya juga tidak dijangka dan diketahui masa serta tempat berlaku. Dengan teknologi secanggih mana pun dicipta, manusia belum mampu meramal dengan tepat waktu atau tempat bakal berlakunya gempa bumi. Jepun, negara yang sentiasa berdepan dengan kejadian gempa bumi, termasuk berskala besar, hanya mampu meramal bencana itu menerusi sistem amarannya tujuh saat sebelum ia berlaku. Malaysia yang dikatakan berada di kawasan berisiko rendah terhadap gempa bumi, tidak terlepas dan kini terdedah kepada risiko bencana itu kerana berada tidak jauh dari zon yang selalu berlaku gempa. Kesannya, Jun lalu, negara dikejutkan dengan kejadian ini yang berlaku di Sabah. Tanpa sebarang petunjuk, tentunya tidak terlintas langsung di fikiran khususnya penduduk di Ranau dan pendaki yang sedang melakukan aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu bahawa mereka akan menerima malapetaka berkenaan pada pagi 5 Jun lalu. Gempa bumi berskala 5.9 magnitud itu menggegarkan bumi Ranau, meragut 18 nyawa, memusnahkan harta benda dan meruntuhkan tanda Gunung Kinabalu, puncak yang dikenali sebagai Donkey Ear.

Apa pun, sejak kebelakangan ini beberapa bukti menunjukkan Semenanjung juga bukan lagi selamanya kebal dari risiko gegaran dan gempa bumi. Pensyarah Geologi Struktur dan Tetonik, Jabatan Geologi, Universiti Malaya, Prof Madya Mustaffa Kamal Shuib, berkata sehingga kini, lebih banyak bukti kukuh menunjukkan andaian awal Malaysia bebas daripada gempa bumi adalah sesuatu yang tidak tepat. "Malaysia dikelilingi Lingkaran Api Pasifik, kawasan gempa bumi dan aktiviti gunung berapi hebat. Walaupun kita berada di luar jaluran itu, sebenarnya kedudukan kita agak hampir. Ini bermakna apa yang berlaku sepanjang lingkaran itu, negara akan merasainya.  Malah, dengan kedudukan zon itu yang hanya 450 kilometer dari Kuala Lumpur dan 1,000 kilometer dari Kota Kinabalu, sudah tentu negara seolah-olah dihimpit lingkaran ini. Tetapi di Sabah ia lebih kompleks berbanding Semenanjung kerana terdapat banyak zon aktif di sekitarnya," katanya. Jelasnya, Malaysia dikelilingi kerak bumi (plat) tetonik dan negara berada di kerak bumi dikenali sebagai Plat Sunda. Plat Sunda juga berjiran dengan kerak bumi Indo-Australia dan Filipina-Pasifik. Lebih mengejutkan, Plat Indo-Australia bergerak tujuh sentimeter (sm) setahun menjunam dan menghimpit Plat Sunda. Di sebelah timur pula, Plat Filipina-Pasifik sedang bergerak menghimpit Sabah dan Sarawak pada kadar 10sm setahun. Katanya, apabila berlaku interaksi antara kerak bumi ini, peparit lautan akan membentuk yang lazimnya kedalamannya melebihi satu kilometer. Peparit lautan adalah kawasan dalam yang membahagikan lautan dan benua. Peparit berhampiran negara termasuk Peparit Sumatera, Jawa dan Filipina dan yang paling dalam di dunia adalah Peparit Marianas, iaitu 11 kilometer.

Geseran hasilkan gempa 

"Justeru, gempa bumi dan aktiviti gunung berapi berlaku di sepanjang dan sempadan peparit. Apabila berlaku, pergerakan plat lautan menjunam ke bawah plat benua, maka geseran berlaku menghasilkan gempa bumi. Semakin ke dalam peparit gempa bumi berlaku, semakin lemah gegaran dirasai," katanya. Gempa bumi banyak berlaku di sepanjang sempadan plat, iaitu di Lingkaran Api Pasifik. Di Aceh misalnya, gempa bumi yang terjadi berukuran melebihi sembilan skala Richter. Selain itu, Padang, Indonesia, juga pernah ditimpa bencana sama dengan kadar lebih kurang sama. Ini adalah gempa bumi yang berlaku di sepanjang jaluran aktif.

"Kita tetap merasai gegaran walaupun kedudukan negara jauh dari kawasan berkenaan ditambah dengan Sumatera sebagai zon penampan jika gempa bumi berskala besar berlaku di sepanjang jaluran itu. Begitu juga di Sabah, walaupun puncanya jauh tetapi gegaran dapat dirasai. Keadaan ini dikenali sebagai gempa bumi dari punca yang jauh. "Di Semenanjung tiada punca gempa bumi sebelum tahun 2004, tetapi kita turut merasa gegaran terutama apabila gempa bumi berasal dari Sumatera. Berdasarkan aktiviti gempa bumi di Sumatera dan gegaran diterima, Semenanjung diletakkan dalam zon yang gegarannya berskala lima hingga enam iaitu dalam zon sederhana dan kuat," katanya. Kajian di Indonesia mendapati, jika berlaku gegaran di Semenanjung potensi untuk kemusnahan bangunan adalah rendah. Jabatan Meteorologi dalam kajian mereka juga menjurus kepada keputusan sama, iaitu antara dua hingga lima skala gegarannya. Mustaffa berkata, hampir keseluruhan bangunan di Malaysia kecuali Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (SAHMS) Pulau Pinang, tidak mempunyai daya ketahanan gempa, tidak seperti negara di rantau ini seperti Jepun, Filipina dan Indonesia. Kebanyakan bangunan di Malaysia tidak dibina dengan ciri rintangan gempa bumi. Selagi tiada gempa bumi kuat seperti di Indonesia, Jepun atau Filipina, kebanyakan bangunan di negara ini masih kukuh untuk menangani kesan gempa bumi sederhana jika ia dibina mengikut spesifikasi ditetapkan. "Namun, jika ada bangunan tinggi tidak mempunyai ciri yang boleh menyerap gegaran ada kemungkinan kemusnahan boleh menjadi besar walaupun gegaran kecil. Walaupun risiko rendah, kita tidak boleh rasa selesa kerana risiko tetap ada," katanya. Mustaffa berkata, sebelum tahun 2004, apabila pergerakan tetonik membabitkan Plat Indo-Australia menjunam ke bawah Plat Sunda dan Plat Filipina turut menjunam ke bawah Sabah dan Sarawak, Plat Sunda bergerak ke arah timur akibat himpitan. Dalam keadaan ini Malaysia bergerak ke arah timur. "Akibat pergerakan ke timur, Plat Sunda mengalami putaran secara mengikut jam. Ketika berlaku gempa bumi mega pada tahun 2004 di Aceh, kajian mendapati keadaan menjadi terbalik yang mana tanah Semenanjung bergerak ke arah barat menghampiri pusat gempa di Aceh dengan pergerakan antara lima hingga 20sm.

Kenaikan permukaan bumi 

"Mungkin kita rasa pergerakan ini kecil tetapi jika mengikut pandangan saintifik ia adalah sesuatu yang besar. Apabila pergerakan berlaku secara berterusan ia menyebabkan kenaikan permukaan bumi. Batu karang misalnya, yang berada di dasar laut turut terdedah di muka bumi, terutama di Aceh. "Ini bermakna Plat Sunda kini mengalami perubahan bentuk. Ia sentiasa menyerap tenaga dan tekanan akibat pergerakan di sempadan kerak bumi. Pergerakan ini tidak berhenti sewaktu gempa bumi Aceh tetapi berterusan sehingga sekarang," katanya. Akibatnya, sejak tahun 2004, negara mula menghasilkan gempa bumi yang berasal dari Semenanjung sendiri bukan dari negara jiran. Ini terjadi apabila bumi menyahkan tekanan itu dengan mengalami retakan melalui satah (tempat) yang lemah. Ia terjadi di satah yang ada bukti rekahan yang terbentuk pada zaman dahulu kala yang dipanggil sesar. Rekahan lama akan bergerak semula dan gelinciran yang berlaku pada sesar lama ini boleh menghasilkan gempa bumi. Di Semenanjung, sejak tahun 2004 gempa bumi berlaku yang puncanya berasal dari negara ini sendiri, misalnya di Bukit Tinggi dan Janda Baik. Sebanyak 31 gegaran direkodkan Jabatan Meteorologi yang berskala sehingga 3.6 Richter. Selain itu, 24 gempa berskala 1.7 hingga 4.2 magnitud dikesan pada tahun 2007 hingga 2009 di Bukit Tinggi, Pahang;  satu di Jerantut, Pahang pada tahun 2009 berskala 3.2 magnitud; Manjung, Perak (2.9 magnitud) dan empat di Kuala Pilah, Negeri Sembilan (2.6 hingga 3.2 magnitud) pada tahun sama. Lima gempa bumi dikesan di Empangan Kenyir, Terengganu dengan skala 4.1 magnitud masing-masing pada tahun 1985 dan 2010. Satu gempa bumi dikesan di Mersing, Johor dengan skala 3.2 magnitud pada tahun 2012 dan di Baling, Kedah dengan skala 3.8 magnitud pada tahun 2013. Semua ini berpunca dari bawah Semenanjung sendiri. Antara sesar yang besar di Malaysia adalah Sesar Bokbak di utara, Sesar Bentong di tengah, Sesar Lebir di timur, Sesar Bukit Tinggi, Sesar Kuala Lumpur, Sesar Jelebu dan Sesar Mersing. Kajian mendapati, sesar besar ini terletak berhampiran pusat gempa. Di Baling, Kedah, misalnya, gempa yang berlaku pada tahun 2012, pusat gempanya berada di atas Sesar Bokbak. "Di sini, kita tafsirkan sesar lama sudah mengalami pergerakan semula dan menghasilkan gempa bumi yang dirasai di Semenanjung. Inilah punca gempa bumi setempat di Semenanjung," katanya. Bagaimanapun, senario berbeza berlaku di Sabah dan Sarawak. Lebih 20 gempa bumi dikesan di Sarawak dan lebih 90 lagi di Sabah sejak tahun 1874. Antara gempa utama yang mengakibatkan kemusnahan adalah gempa bumi Lahad Datu pada tahun 1976; gempa bumi Ranau pada tahun 1991 dan Miri pada tahun 2004. Gempa bumi yang mengakibatkan tanah runtuh di Ranau berlaku pada 26 Mei 1991 dengan skala 5.3 magnitud dan terbaru pada Jun lalu dengan kekuatan 5.9 magnitud. "Di Sabah kita rasai gegaran sejauh Filipina dan ada juga gempa bumi setempat. Umpamanya, Ranau yang menghasilkan magnitud 5.9 menyebabkan malapetaka besar apabila meragut 18 nyawa dan banjir lumpur yang berlaku akibat pergerakan semula sesar yang memotong Gunung Kinabalu," katanya.

Plat sedang mengalami serapan tekanan dari plat sekeliling. Pergerakannya menyebabkan stres (tekanan) dan ia boleh pecah seperti periuk tekanan apabila sampai waktu, didihannya ia akan mengeluarkan bunyi. "Umpama pesakit darah tinggi yang kadar tekanan darahnya meningkat sehingga boleh menyebabkan pembuluh darah pecah dan berkemungkinan berakhir dengan strok, itulah keadaan apabila bumi sudah tidak lagi dapat menahan tekanan dan terpaksa membebaskannya," katanya. Dalam menangani hal ini katanya, orang ramai perlu dididik mengenai keselamatan dan persediaan menghadapi gempa bumi. Sudah tiba masanya pihak berkuasa menilai semula peraturan pembinaan bangunan dengan memasukkan ciri rintangan gempa bumi bagi meminimumkan kesan akibat bencana itu jika ia berlaku dengan skala lebih besar. Bukan itu sahaja, kempen dan program kesedaran perlu dijalankan secara berterusan bagi meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai ciri keselamatan dan perkara yang perlu dilakukan apabila berlaku gempa bumi. Amaran awal gempa seperti yang dilaksanakan di negara seperti Jepun boleh dipertimbangkan termasuk menggunakan kemudahan telefon bimbit.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/73659
0 Komentar untuk " Malaysia bebas gempa bukan lagi jaminan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ