Jadilah pelabur Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jadilah pelabur Islam

SESUNGGUHNYA perniagaan adalah satu bidang yang mampu mencipta banyak peluang keuntungan bagi seseorang individu ataupun sesebuah organisasi. Keuntungan ini mampu dicapai dalam jangka  pendek dan panjang. Namun hakikatnya keuntungan ini hanya mampu diperoleh jika seseorang itu benar-benar mempunyai sifat rajin berusaha, jujur dan bijak.

Hartanah kini menjadi satu bidang yang penting dan mampu memberi keuntungan yang tinggi kepada pelaburnya. Peningkatan harga hartanah setiap tahun antara dua hingga melebihi  10 peratus menjadikan harga hartanah sekarang mahal. Peningkatan harga hartanah yang begitu tinggi menyebabkan golongan muda yang baharu memasuki alam pekerjaan terpaksa menyewa rumah.

Sejajar dengan itu, untuk memiliki hartanah khususnya rumah, seseorang itu perlu rajin bekerja dan berusaha dengan jujur serta amanah untuk mengumpul modal kewangan bagi membeli hartanah.

Kini hartanah telah menjadi salah satu bidang perniagaan yang menguntungkan, bukan sahaja kepada pemaju tetapi juga individu yang menjalankan perniagaan rumah seperti beli dan jual rumah, sewa rumah, rumah inap desa dan pelbagai lagi. Dalam erti kata lain rumah kini bukan sahaja dianggap sebagai kediaman tetapi juga sebagai komoditi yang boleh diniagakan.

Bijak dalam melabur

Ramai yang beranggapan pelabur hartanah adalah mereka yang memiliki modal wang yang banyak dan terkenal seperti pemaju UMLand, Sime Darby dan sebagainya.

Pendakwah, Dr Mohd Faisol Ibrahim menjelaskan, sesungguhnya tanggapan ini amat salah kerana mereka yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan atau swasta pun boleh menjadi pelabur tetapi mestilah pelabur Islam yang bijak dan bukan pelabur konvensional. Pelabur Islam ditakrifkan sebagai seorang yang mempunyai ilmu mengenai hartanah dan juga semestinya seorang yang berani serta bijak berhadapan risiko serta tidak mudah putus asa, di samping sentiasa bertawakal kepada ALLAH SWT dengan apa yang telah diusahakan.

"Pelaburan pula didefinisikan sebagai penggunaan wang pada masa sekarang melalui aktiviti pertukaran wang dengan aset bagi mendapatkan pulangan (keuntungan) pada masa hadapan melalui pembelian dan penjualan aset serta sewaan.

"Dalam ekonomi Islam keuntungan yang hendak dijana daripada pelaburan mestilah berlandaskan tuntutan syariah iaitu halal dan bersih, jelas serta tidak ada unsur penipuan semasa urusan jual beli hartanah," katanya.

Menurutnya, hartanah pula adalah harta yang boleh dilihat, disentuh dan mempunyai nilai pada pandangan masyarakat serta mempunyai manfaat dan mampu diserahkan serta tidak digunakan untuk sebarang aktiviti yang terlarang dan berbahaya daripada sudut syariah.

Perumahan amat penting kepada ekonomi sesebuah negara sehingga wujudnya negara-negara yang menjadikan perumahan sebagai agenda utama ekonomi negara mereka. Ini kerana sebahagian besar pendapatan isi rumah akan dibelanjakan kepada perumahan.

0 Komentar untuk " Jadilah pelabur Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ