Anugerah akal fikiran adalah penghormatan Allah SWT kepada manusia bagi membezakan mereka dengan makhluk lain. Sudah semestinya ia digunakan pada perkara paling utama iaitu mencari keredaan Allah SWT. Keredaan Allah SWT adalah matlamat semua ibadah yang dilakukan termasuklah puasa yang sudah dan bakal kita lakukan seterusnya. Matlamat takwa daripada ibadah puasa yang dimaksudkan al-Quran dalam ayat 183, Surah al-Baqarah membawa natijah kepada kemuncak kejayaan ibadah itu iaitu keredaan yang Maha Esa. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sesungguhnya kepada Tuhanmu kesudahan setiap sesuatu". (Surah an-Najm, ayat 42).
Kejahilan manusia dalam menentukan matlamat mereka adalah faktor utama yang mengundang kepada kesesatan umat. Terkadang mereka lebih menumpukan kepada keredaan manusia sehingga membawa kepada musibah syirik terhadap Allah SWT. Hakikat sebenar, menuntut keredaan semua manusia adalah satu matlamat yang tidak akan tercapai. Maka, keredaan Allah SWT adalah matlamat sebenar kehidupan manusia sehingga bertemu Allah SWT. Untuk mencapai matlamat sebenar ibadah puasa ialah melalui panduan wahyu daripada insan yang maksum iaitu Baginda Nabi SAW.
Kelazatan ibadah
Al-Quran yang diturunkan pada Ramadan yang baharu berlalu dan masih terasa bahang kelazatan ibadah pada bulan yang penuh keberkatan. Maka, selepas selesai ibadah puasa Ramadan yang lalu, diharap dapat menjana banyak tenaga dalam proses meneruskan ibadah kita pada bulan seterusnya. Berbahagialah mereka yang mendapat kemanisan ibadah dengan rukuk, sujud, bersedekah, berzikir dan membaca al-Quran. Hadis Qudsi menyebut bahawa: "Wahai hamba-Ku, sesungguhnya itulah amalan kamu yang akan Aku hitung dan akan Aku memberi ganjaran untuknya. Sesiapa yang mendapat kebaikan daripadanya, hendaklah dia memuji syukur kepada-Ku. Jika sebaliknya, janganlah dia menyalahkan orang lain selain dirinya sendiri". (Riwayat Muslim dari Abu Zarr).
Dalam dunia yang penuh dengan cabaran ini, petunjuk daripada Allah SWT amatlah diperlukan kerana pengaruh keduniaan amatlah tebal ketika manusia berada pada akhir zaman. Baginda SAW pernah berkata kepada Syaddad bin Aus bermaksud: "Wahai Syaddad, jika kamu melihat manusia berlumba-lumba mengumpulkan emas dan perak, maka pada ketika itu, janganlah kamu lupa menyebut, Ya Allah, aku memohon agar ditetapkan dalam ketaatan, bersungguh-sungguh dalam mencari kebenaran. Aku memohon rahmat dan keampunan daripada-Mu, sentiasa bersyukur terhadap nikmat-Mu serta kesempurnaan ibadah terhadap-Mu. Aku memohon kesejahteraan hati, kebenaran lidah yang tidak bertulang, aku memohon kebaikan dan berlindung daripada sebarang keburukan yang Engkau lebih mengetahui kerana Engkau adalah Tuhan yang mengetahui segala yang ghaib'. (Riwayat Ahmad dan Tabrani).
Manusia mestilah sentiasa berada dalam ketaatan walau di mana mereka berada, sama ada Ramadan atau sebaliknya dan sentiasa berdoa agar ditetapkan hati mereka untuk meneruskan kebaikan. Saidatina A'isyah pernah ditanya bagaimana keadaan Baginda SAW. Adakah Baginda mengkhususkan suatu hari untuk beribadah atau bagaimana? Maka jawab A'isyah: "Tidak, Baginda SAW tidak pernah menjadikan ibadah sebagai bermusim, malah Baginda SAW sentiasa dalam keadaan beribadah. Adakah kamu mampu berbuat demikian?" (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Justeru, kesinambungan puasa dapat diteruskan dengan puasa enam hari pada Syawal kerana ia adalah sunah yang kekal sehingga hari kiamat. Ini dijelaskan oleh hadis daripada Abu Ayub al-Ansari bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, seolah ia berpuasa sepanjang tahun". (Riwayat Muslim).
Ditafsirkan oleh hadis daripada Tsauban dengan menyebut Baginda SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa melakukan satu kebaikan akan dikurniakan ganjaran dengan sepuluh pahala". (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).
Bagaimanapun menyambut hari raya selepas berpuasa enam hari tiada dalam syariat Islam. Ini dijelaskan dengan peristiwa Baginda SAW memasuki kota Madinah ketika itu penduduk Madinah memiliki dua hari kebesaran yang diraikan. Rasulullah SAW bertanya : "Hari apakah ini? Mereka menjawab, ia adalah dua hari yang kami suka bermain-main padanya pada zaman jahiliah. Maka Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh Allah telah menggantikan kalian dengan yang lebih baik daripadanya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Al-Hakim)
Tiada hari raya pada hari kelapan Syawal
Berdasarkan hadis di atas, Ibnu Taymiyyah berpendapat bahawa tiada hari raya pada hari kelapan Syawal kerana tiada harus bagi seseorang beriktikad bahawa hari terbabit adalah hari raya kerana ia tiada dalam syariat Islam. Bagaimanapun, majoriti ulama berpendapat bahawa kenduri dan doa selamat adalah diharuskan bersesuaian dengan konsep rumah terbuka khususnya apa yang dilakukan warga kota selepas Syawal. Program jamuan pada Syawal adalah menjadi kebiasaan warga kota selain memenuhi tuntutan agama dalam mengeratkan silaturahim seperti dianjurkan Islam. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan jangan kamu sekutukan Dia dengan sesuatu pun juga dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri". (Surah an-Nisa', ayat 36).
Sabda Baginda SAW bermaksud: "Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: "Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan menyambung ikatan silaturahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu." Baginda SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain bagaikan satu bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain". (Riwayat Bukhari). Namun batas agama dalam melaksanakan jamuan rumah terbuka mestilah dijaga dengan menjauhi pembaziran kerana ia bercanggah dengan kehendak agama. Kesimpulannya, Ramadan yang ditinggalkan mestilah memberi kesan dalam jiwa orang yang beriman sehingga mereka dapat meneruskan momentum ibadah sehingga Ramadan akan datang. Jika perniagaan yang mendapat pulangan sehingga tahun hadapan, maka perniagaan itu dianggap berjaya. Kejayaan ini mesti diiringi dengan doa dan harapan agar dipertemukan dengan Ramadan yang akan datang. Kita hendaklah memastikan ibadah puasa dilakukan mencapai matlamat takwa sebenarnya.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72192
0 Komentar untuk " Buat rumah terbuka jangan sampai membazir "