Berhikmah kepada manusia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Berhikmah kepada manusia

BERIBADAH kerana ALLAH (ikhlas) baik secara khusus yang sifatnya rohaniah menjadi syarat kesempurnaan iman. Memiliki rasa ubudiyyah yang tinggi terhadap ALLAH membangun jiwa rukuk dan sujud seperti yang tercermin dalam solat.

Menterjemah jiwa Rabbaniah kepada amal soleh memberi gambaran watak islami menyantuni orang lain dan sistem supaya tamadun terbina. Inilah asas Islam yang tidak saja memiliki sistem kepercayaan yang teguh dan amat dituntut tetapi juga jalur amaliah yang sesuai dengan citra kehidupan insan.

Kehidupan insan menuntut pedoman dan petunjuk. Melakukan ibadah seikhlas mungkin menjadikan kedekatan manusia (taqarrub ‘ilal’lah) dengan Pencipta.

Tuntutan melakukan ibadah tidak sekadar sifatnya fardhi (diri) tetapi juga secara jamai (suatu jamaah). Diri terhubung dengan orang lain dan ia bakal membina ukhuwah atau persaudaraan.

Diri ini yang ALLAH ciptakan tidak terpisah dengan entiti lain dalam kehidupan. Ada asas kesalingan dalam melakukan ibadah supaya hikmahnya tersebar.

Seorang yang jujur dan ikhlas dan sentiasa taqarrub Ilallah (dekat diri dengan ALLAH) mempunyai jiwa kehambaan yang tinggi. Sifat taat, patuh, akur dan tunduk sentiasa menjadi pedoman hidupnya. Bila ini terjadi hikmah kepada orang lain akan berlaku.

Katakan orang ini adalah pemimpin. Tanggungjawab kekhalifahannya akan sentiasa menghubungkan diri dengan ALLAH dan amanah kepimpinan akan berlaku dan manfaat amanah itu akan kembali kepada yang dipimpin.

Katakan orang itu adalah ulama atau ahli ilmu. Ilmu yang dimilikinya menyebabkan orang lain dapat manfaatnya. Daripada ilmu yang benar disampaikan dan ilmu yang bermanfaat diajar ia bakal memberi pencerahan kepada orang lain. Ilmu tidak akan disalahgunakan kerana ALLAH amat mengetahui jika ia berlaku.

Katakan orang itu adalah peniaga. Amanah perniagaannya menyebabkan dia tidak melakukan eksploitasi, menindas dan mencari untung yang melampau. Perniagaan yang patuh syariah menyebabkan keadilan terjadi dan keuntungan menjadi barakah.

Katakan orang itu suami atau isteri. Hubungan mereka terjalin kerana ALLAH (ikhlas) penuh dengan kasih sayang dan persefahaman akan memberi kesan yang baik dalam proses mendidik anak. Anak bakal menjadikan ibu bapa yang ceria dan bahagia sebagai contoh ikutan.

Semua itu terjadi sekiranya apa saja yang kita lakukan dalam hidup ini terpancar dengan niat melakukan ibadah. Ibadah khusus yang ALLAH perintahkan seperti solat, puasa, sedekah, kasih sayang dan ukhuwah dilakukan kerana ALLAH untuk mendapat reda-Nya dan hikmah daripada amalan yang murni itu dapat memberi manfaat kepada yang lain.

Bayangkan ibadah hanya berlaku kerana terpaksa, atau suatu kelaziman yang tidak terhubung dengan orang lain dan kehidupan sifatnya ritual dan tidak memberi kesan apa-apa. Tetapi ibadah yang dilakukan dengan hati yang ikhlas dan memahami binaan hati dan amal bakal memperlihatkan watak islami yang memberi manfaat kepada diri dan orang lain.

Islam bukan agama sekadar ritual atau keupacaraan semata. Ia adalah agama amal yang membawa kesejahteraan kepada yang lain. Diri ini milik ALLAH, seluruh potensi diri adalah juga milik ALLAH.

Rahmah dan nikmah yang dilimpahkan adalah untuk kita manfaatkan dengan akal dan usaha supaya ilmu yang dijana membantu hidup menjadi lebih sempurna.

Apabila hidup menjadi lebih baik dan sempurna ia juga bakal membantu menyempurnakan orang lain. Bayangkan kehidupan yang tidak berpedoman dengan akal dan hati menyebabkan kekontangan ilmu dan perasaan terjadi, nafsu nafsi bakal mengambil tempat dan gelagat manusia menjadi tidak terkawal. Ia tidak memberi manfaat kepada orang lain malah mungkin merosakkan.

Amat penting akal dan hati ditautkan dalam melakukan ibadah. Akal yang menjana ilmu ibarat suluh yang menerangi jalan berfikir insan. Ilmu yang memiliki pencerahan bakal memberi kekuatan kepada hati.

Bila niat yang disuburkan dengan ilmu ia bakal diterjemahkan dengan amal yang sifatnya memberi manfaat. Jika ini terjadi hikmah amalnya nanti akan memberi manfaat kepada orang lain. Dalam mengamalkan sesuatu sebagai sumber ibadah sikap ubudiyyah kepada ALLAH sentiasa wujud dan inilah sebaik-baik abid (ahli ibadah) yang dituntut oleh Islam.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan UIAM

0 Komentar untuk " Berhikmah kepada manusia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ