Pengadang konkrit mampu elak maut - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pengadang konkrit mampu elak maut

KUALA TERENGGANU – Desakan agar kerajaan mengkaji semula penggunaan pengadang besi jalan kerana dikatakan menjadi salah satu punca peningkatan kemalangan maut perlu diberi perhatian.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan (KPPJSM), Hamzah Masri berkata, cadangan agar ditukar kepada pengadang konkrit bagi menggantikan pengadang besi dilihat relevan kerana dalam sesuatu kejadian kemalangan ia tidak melibatkan tusukan besi.

“Sekiranya pengadang besi digantikan pengadang konkrit, ia hanya melibatkan pukulan kuat sekiranya berlaku kemalangan.

“Situasi kemalangan dilihat akan berlaku sedikit perbezaan sekiranya melibatkan pengadang konkrit di mana mangsa akan terpukul sahaja dan tidak melibatkan tusukan besi,” katanya mengulas fokus Sinar Harian 25 Julai lalu bertajuk Pengadang besi jalan membunuh?

Bagaimanapun, Hamzah berkata, semua tragedi buruk di jalan raya berbalik kepada faktor pemanduan dan kesesuaian jalan.

“Dalam mana-mana kemalangan pun, sikap pemandu jadi faktor utama kemalangan lebih-lebih lagi kemalangan maut. Kalau ada had laju di label pada jalan, pemandu perlu patuhi had laju itu.

“Jika pemandu ingkar kemungkinan besar kemalangan akan berlaku kerana had laju di jalan raya itu telah diuji sebelum jalan itu dibuka bagi laluan kenderaan. Kalau laluan itu mengehendaki pemandu memandu 60 kilometer  sejam, mereka perlu patuhi,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan kemalangan berpunca daripada sikap pemandu ingkar dan enggan mematuhi had laju yang ditetapkan.

“Kadang-kadang, faktor cuaca memainkan peranan. Kalau kawasan had laju 60km/jam, mereka yang memandu melebihi had akan berisiko kemalangan kerana hilang kawalan disebabkan cuaca,” katanya.

Hamzah berkata, walaupun semua pengadang besi ditukar kepada pengadang konkrit, risiko kemalangan maut tetap ada jika hentaman yang kuat ketika kemalangan terkena kepada leher atau kepala mangsa.

“Saya berpendapat, cadangan ini boleh dikaji, namun bagi saya, ia tidak membantu mengurangkan kadar kemalangan maut sekiranya sikap pemandu jalan raya tidak berubah.

“Kadang kala, faktor mahu cepat sampai menyebabkan pemandu memandu laju sehingga mengakibatkan kemalangan. Perlu diingat, dalam apa jua keadaan pun, pemandu perlu memandu kenderaan dalam keadaan tenang dan fikirkan keselamatan diri dan penumpang,” katanya.

0 Komentar untuk " Pengadang konkrit mampu elak maut "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ