DALAM melakukan sesuatu perbuatan atau pun amalan ia diibaratkan tangan kanan memberi tangan kiri tidak nampak. Ia bertepatan dengan melakukan sesuatu ikhlas kerana ALLAH bukan sebaliknya.
Terdapat manusia melakukan sesuatu kerana hendak disebut dan dipuji, kerana ketua atau orang lain, kerana pangkat atau kedudukan, kerana laba atau kurniaan, ia belum tentu ikhlas.
Keikhlasan terhubung dengan niat dan cara. Kalau niatnya betul dan caranya tidak melanggar syariat, keikhlasan bakal terjadi. Keikhlasan dalam melakukan sesuatu adalah penting supaya kita tidak menjadi orang yang oportunis atau mementingkan diri sendiri, supaya kita tidak berbangga-bangga dan riak dan menyebabkan nafsu amarah subur dan sifat-sifat mazmumah berkembang.
Keikhlasan yang disandarkan kepada ALLAH menjadikan manusia terpedoman dan terbimbing. Manusia yang terpedoman dan terbimbing takut melakukan kemungkaran dan kerja-kerja yang tidak berpahala. Keikhlasan berkait rapat dengan barakah.
Konsep barakah daripada ALLAH ini menjadi tujuan dan puncak dalam melakukan sesuatu. Ada orang yang berusaha sungguh-sungguh untuk mencari kekayaan tapi niatnya tidak ada dan caranya tidak ikut syariat, barakah akan hilang darinya.
Ada orang bersusah payah belajar ilmu dunia tetapi ilmu al-Quran tidak dipelajari lalu ia menjadi liberal dan sekular. Keadaan sebegini tidak menjadikan ilmunya seimbang dan tasawwurnya menjadi pincang juga. Keseimbangan tasawwur (world-view) amat penting dalam kehidupan seseorang Islam kerana daripadanya kita mampu mengukur dan menilai sesuatu berasaskan syariat yang menjadi landasan kepada kehidupan yang Islami.
Kalau dunia yang dikejar, belum tentu dunia bersama dengannya. Bila akhirat diambil pertimbangan dan sifatnya memandu usaha kita di dunia pertimbangan halal-haram diambil kira dan perhitungan maaruf-mungkar dijadikan pedoman. Fiddunya hasanah dan wafil ‘akhirati hasanah menjadi landasan perjuangan seorang Mukmin dan Muksin.
Keikhlasan yang dilakukan kerana ALLAH berhikmah kepada manusia dan orang lain. Apabila kita memiliki sandaran, patuh, akur, taat dan tunduk denganNya (kehambaan) kemungkaran dapat dielakkan dan kefasadan tidak terjadi.
Kita bakal menjadi insan soleh yang memiliki sifat tawaduk yang tinggi, jauh dari sifat sombong dan angkuh, enggan dirinya dipuji dan disanjung kerana yang Maha Besar itu ialah ALLAH.
Sebab itu kedapatan hari ini orang berbangga-bangga dengan diri, kekayaan dan pangkat yang ada kerana lupa kepada kebesaran ALLAH dan kekerdilan diri insan.
Kedapatan orang meraih kesenangan di dunia lupa kepada yang susah dan miskin kerana rahmat dan nikmat ALLAH juga adalah untuk orang lain.
Melainkan insan kembali kepada dirinya sebagai hamba ALLAH dan Khalifah di muka bumi yang memiliki jiwa kehambaan dan kekhalifahan yang tinggi melakukan khidmat yang terbaik kepada ALLAH (ibadah) dan menyumbang yang terbaik kepada umat manusia.
Keikhlasan menjadi kunci utama dalam melakukannya. Bila kita melakukan sesuatu dengan niat yang ikhlas kita tidak boleh berbangga-bangga dan menunjuk-nunjuk kerana ia tidak membayangkan keikhlasan itu sendiri. Bila kita menerima rezeki yang banyak, harta itu perlu dibersihkan (zakat) dan jiwa infaq dan sadakah sentiasa subur kepada mereka yang memerlukan.
Sifat taabudi ini penting supaya ALLAH menjadi pertimbangan, al-Quran menjadi rujukan dan Sunnah Rasulullah SAW menjadi ikutan. Inilah jalan terbaik yang tidak membawa kita ke jalan kesesatan hingga manusia beranggapan bahawa hidup ini segala-gala, tanpa Tuhan dan tanpa iman.
Memiliki sifat rasa-berTuhan (God-conciousness) teramat penting supaya wujud keihsanan pada diri bahawa apa saja yang kita lakukan dalam hidup ini sentiasa dalam pemerhatian ALLAH dan kiraman katibin sentiasa mencatat apa saja yang kita lakukan.
Keinsafan ini penting supaya manusia ada kawalan diri dan hati. Kawalan diri menjadikan manusia mempunyai adab dengan ALLAH, adab kepada Rasulullah SAW dan adab kepada manusia dan sistem supaya kesejahteraan terjadi. Kawalan hati lebih penting supaya pekerti mazmumah dapat dihindarkan supaya konsep salama yang memberi makna sejahtera boleh terjadi.
Ungkapan tangan kanan memberi tangan kiri tidak nampak memberikan landasan supaya keikhlasan menjadi kunci setiap amal dan perbuatan. Perbuatan berbangga-bangga dan menunjuk-nunjuk bukan inti kepada syariat Islam.
Jiwa rukuk dan sujud sentiasa menjadi pedoman mereka yang ikhlas menginsafi ALLAH Maha Tahu apa yang kita lakukan dan matlamat akhirnya ialah memohon barakah dan keampunan daripadaNya.
* Prof Dr Sidek Baba pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Ikhlas sebagai tanda beriman "