AIDILFITRI adalah hari kebesaran yang disyariatkan bagi umat Islam pada 1 Syawal selepas menjalani ibadah puasa pada Ramadan. Kebiasaannya kedatangan Syawal ditunggu sambil sibuk membuat persiapan untuk pulang berhari raya di kampung, menyediakan pakaian baharu, menghias rumah dan membuat kuih. Meraikan Aidilfitri termasuk dalam ibadah selagi umat Islam melaksanakannya berdasarkan petunjuk dan sunah Nabi Muhammad SAW. Menzahirkan kegembiraan pada Aidilfitri membolehkan umat Islam beroleh pahala dengan syarat ia menjaga syariat Islam. Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin dalam perkongsian tajuk Sunah Hari Raya di IKIMfm menggariskan panduan cara meraikan Aidilfitri berpandukan al-Quran dan sunah supaya setiap dilakukan menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Tunai zakat sebelum solat sunat Amalan khusus menjelang Aidilfitri ialah menunaikan zakat fitrah yang khusus dikeluarkan pada Ramadan atau selewat-lewatnya sebelum solat sunat hari raya. Tujuan zakat dijelaskan dalam hadis: "Rasulullah SAW menentukan wajibnya zakat fitrah untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk serta untuk menjadi makanan orang miskin." (Riwayat Abu Daud) Zakat fitrah berfungsi menyucikan diri orang berpuasa daripada perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa seperti kata tidak berfaedah yang ada kala sukar untuk dikawal. Dari aspek sosial pula, zakat fitrah membantu golongan fakir miskin membuat persiapan Aidilfitri supaya mereka turut bergembira. Sabda Nabi Muhamad SAW: "Oleh itu, sesiapa yang menunaikannya (zakat fitrah) sebelum solat (hari raya), ia adalah zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat hari raya, maka ia adalah sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain." (Riwayat Abu Dawud) Amalan khusus kedua adalah berdoa pada malam hari raya kerana ia salah satu daripada lima waktu mustajab doa seorang hamba. Luangkan masa bukan sahaja ketika berpuasa dan waktu berbuka tetapi juga pada malam hari raya dengan memperbanyakkan berdoa serta beristighfar kepada Allah SWT. Pada malam hari raya juga segala amalan kebaikan akan beroleh pahala besar kepada mereka yang mencari keredaan Allah SWT. Seterusnya memperbanyakkan bertakbir memuji Allah SWT bermula pada malam raya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam Ramadan (29 atau 30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah SWT) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, ayat 185) Bertakbir sunat dilafazkan baik di rumah, masjid serta jalan dengan cara duduk atau berdiri. Waktunya bermula dari Maghrib akhir Ramadan dan berterusan sepanjang malam hingga solat sunat Aidilfitri. Takbir ini dilakukan penuh semangat dengan suara yang kuat bertujuan membesarkan Allah SWT. Pada pagi hari raya dianjurkan mandi sunat, merapikan badan dan memperindahkan diri dengan memakai pakaian yang terbaik serta berwangian bagi lelaki. Sunat makan sebelum solat Disyariatkan juga sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri supaya menjamah makanan terlebih dahulu dan makanan yang terbaik ialah tamar, bahkan disunahkan memakan tamar dengan bilangan yang ganjil. Daripada Anas: "Pada hari raya Rasulullah SAW tidak keluar untuk melaksanakan solat Aidilfitri hinggalah beliau makan beberapa biji tamar terlebih dahulu." (Riwayat Bukhari) Disyariatkan juga keluar ke tempat menunaikan solat Aidilfitri dengan berjalan kaki jika mampu. Disunahkan bertakbir sepanjang berjalan kaki atau menaiki kenderaan. Disebutkan: "Daripada Ummi Atiyyah adalah kami diperintahkan keluar pada hari raya, perempuan tua dan perempuan muda dan dia berkata, orang yang berhadas juga mereka keluar di belakang orang ramai bertakbir bersama." (Riwayat Muslim) Dianjurkan mengucapkan tahniah ketika Aidilfitri dengan apa juga cara sebutan yang baik maknanya, namun yang terbaik adalah 'Taqabbalallah hu minna wa minka' atau 'Taqabbalallahu minna wa minkum.' Satu lagi keutamaan pada Aidilfitri adalah amalan berziarah untuk menjalin hubungan silaturahim. Bergembira pada Syawal adalah disunatkan selepas Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira dengan syarat kegembiraan dizahirkan dalam bentuk amalan yang diterima Islam.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/68564
0 Komentar untuk " Garis panduan rai Aidilfitri ikut al-Quran, sunah "