Dunia ini tidak pernah sunyi daripada gelora masalah. Kecelaruan geopolitik, ketegangan sesama kaum dan agama, ketidakstabilan pasaran serta kewangan tidak lekang menjadi tajuk utama di dada akhbar ataupun topik perbualan kosong. Di sebalik dinding kamar yang tertutup rapat, kepemimpinan kerajaan serata dunia bermandi keringat untuk mencari dasar seimbang, mendepani sistem ekonomi dunia yang sentiasa mencabar kewibawaan mereka. Malaysia tidak terlepas daripada tempias cabaran dunia. Dengan berlatarkan dagangan hasil niaga setinggi 138 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kedudukan Malaysia sebagai negara dagangan ke-14 terbesar dunia, mendedahkan negara kepada segala macam gejolak ekonomi dunia. Pengurangan nisbah wang dalam program Pelonggaran Kuantitatif (QE) mengukuhkan nilai dolar Amerika Syarikat relatif kepada nilai pertukaran mata wang dunia. China mengurangkan permintaan import komoditi susulan peralihan dasarnya daripada sebuah ekonomi didorong oleh pelaburan, kepada ekonomi didorong oleh perbelanjaan pengguna. Greece dan zon euro kini bergelut untuk menahan krisis hutang dan aliran modal daripada meledak dan terus hancur, malah dikhuatiri Greece akan tersingkir daripada sistem euro sama sekali. Sedia hadapi krisis kewangan Kesan teruk akibat tiada kebersediaan, seperti yang kita alami tatkala Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998 tidak ingin kita ulangi. Walaupun krisis tersebut dihadapi dengan dasar tindak balas, ia tetap meninggalkan kesan yang begitu pahit dan berat terhadap ekonomi negara dalam tempoh yang lama. Benar, sungguhpun kesan Krisis Kewangan Global 2009 tidak begitu terasa di Malaysia, namun krisis tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kesannya demi mencetuskan suasana ekonomi negara yang berupaya berkembang. Tidak dinafikan bahawa gabungan dasar fiskal dan monetari mampu membawa perubahan. Akan tetapi, perubahan ekonomi global yang begitu mendadak mengharuskan agar kita juga melakukan perubahan. Ada kalanya kita tidak mempunyai pilihan selain melakukan dasar yang kurang popular untuk memastikan pertumbuhan di samping mewujudkan daya ketahanan ekonomi. Baru-baru ini, saya berpeluang menyampaikan pendekatan yang diambil oleh Malaysia di hadapan sejumlah besar hadirin yang terdiri daripada Menteri Kewangan bertempat di Universiti Harvard. Saya mengusulkan bahawa kerajaan harus mengurangkan hutang dan defisit negara secara beransur-ansur sehingga mencecah Zon Selamat (lihat carta satu) yang mana hutang negara sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada di bawah paras 75 peratus dan defisit pula di paras empat peratus atau lebih rendah. Sekali gus, untuk mewujudkan suatu platform ekonomi yang berdaya tahan, kerajaan perlu memfokuskan sektor yang berpotensi iaitu sektor dengan aktiviti ekonomi yang paling tinggi. Dalam pada itu, sektor swasta, bukannya sektor kerajaan mestilah diberikan peranan memacu sektor ini bagi mencetuskan pelaburan dan pertumbuhan. Ucapan yang saya sampaikan disambut baik, justeru saya yakin bahawa kepemimpinan kerajaan sepatutnya menghindari model ekonomi 'leveraj tinggi pertumbuhan tinggi' dan sebaliknya beralih kepada model 'nisbah hutang kepada ekuiti' yang lebih seimbang bagi mengembangkan ekonomi dan mengurangkan defisit. Maka atas sebab itu Program Transformasi Ekonomi (ETP) diperkenalkan pada tahun 2010, yakni bagi mencetuskan pertumbuhan dengan memfokuskan 12 sektor yang sememangnya mempunyai daya potensi dari segi kompetitif. Bagi memperjelaskan perspektif tersebut, dua keputusan penting diambil untuk memastikan bahawa landasan atau 'trajektori' kami tidak tersasar ketika berdepan dengan situasi yang mencabar: Mewujudkan secara progresif suatu ruang yang membolehkan kerajaan bertindak menerusi pengurangan hutang dan kadar defisit negara. Sekiranya diteliti sejarah negara dunia, beberapa negara mengejar pertumbuhan ekonomi ke arah mencapai status pendapatan tinggi tetapi mengabaikan pengurusan hutang negara. Kita menggunakan kaedah yang berbeza iaitu menyasarkan status pendapatan tinggi, sekali gus mengurangkan struktur defisit di samping meneruskan perbelanjaan negara secara berhemat dalam bidang yang diutamakan seperti projek yang dikenal pasti di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Ketidakseimbangan dalam sistem termasuk subsidi menyeluruh dirombak semula agar memberi manfaat hanya kepada golongan yang layak menerimanya. Setelah pelaksanaan sistem apungan terurus, bahan api automotif dilakukan pada Oktober tahun lepas, penjimatan perbelanjaan negara dianggarkan mencecah kira-kira RM10.7 bilion pada tahun 2015. Sasar kurangkan hutang negara Di bawah Rancangan Malaysia ke-11, kami komited untuk mengurangkan hutang negara daripada paras semasa sebanyak 53.3 peratus kepada 43.5 peratus menjelang tahun 2020. Defisit fiskal pula akan dikurangkan daripada 3.2 peratus KDNK pada tahun 2015 kepada 0.6 peratus menjelang tahun 2020. Sejajar dengan peranan sektor swasta yang meneraju usaha bagi menarik hasil dan pelaburan, kerajaan akan dapat memainkan peranannya sebagai pemudah cara dan penyelesai masalah lantas memberikan tumpuan terhadap tugas hakikinya iaitu melindungi maslahat rakyat. Mempelbagaikan dan menstruktur semula ekonomi sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap komoditi. Harga komoditi tidak menentu dan di luar kawalan. Tindakan mendedahkan ekonomi negara kepada ketidaktentuan sebegini apatah lagi dalam suasana ekonomi yang penuh cabaran, pastinya mengundang masalah. Justeru, kita perlu memperluas strategi pembangunan negara bertunjangkan kepelbagaian ekonomi dan atas sebab inilah ETP memfokuskan pembangunan 12 sektor ekonomi yang utama. Apakah cara yang kami gunakan? Dengan merapatkan hubungan antara kerajaan dan sektor swasta untuk bekerjasama dan melenyapkan rintangan dan pita merah atau kerenah birokrasi. Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan matlamat memperluas asas cukai bagi negara akan membantu kerajaan untuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial serta mempertingkat kualiti hidup semua rakyat Malaysia. Pada tahun 2009, hasil minyak dan gas menyumbang sebanyak 40.3 peratus daripada belanjawan Persekutuan, namun kami berjaya mengurangkan peratusan ini kepada 29.7 peratus pada tahun 2014 susulan peningkatan hasil daripada sektor-sektor lain. Malangnya masih terdapat persepsi bahawa Malaysia bergantung sepenuhnya pada hasil minyak dan gas sedangkan pada hakikatnya, ekonomi negara kini lebih seimbang dan merangkumi pelbagai sumber hasil serta tidak bergantung pada minyak dan gas. Fakta yang betul usah disangkal. Hasil kerajaan daripada sumber minyak dan gas pada tahun 2014 hanya 29.7 peratus iaitu suatu penurunan yang ketara sejak lima tahun lalu, dan ini fakta. Ertinya, kita sudah berada pada hala tuju yang tepat dari segi kepelbagaian ekonomi. Pertumbuhan seimbang ekonomi Pengarah urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, ketika lawatannya ke Malaysia berpuas hati dengan transformasi ekonomi negara kita yang dahulunya didorong oleh nilai eksport, namun kini didorong oleh pertumbuhan yang lebih seimbang. Beliau bersetuju bahawa matlamat jangka pendek haruslah digabungkan dengan wawasan jangka panjang. Lagarde menekankan beliau turut berpuas hati kerana Malaysia berupaya mengenal pasti sektor yang berpotensi memacu ekonomi negara dan membawa kepada kerjasama antara pemain utama ekonomi dari sektor awam dan swasta. Bukanlah suatu perkara yang senang untuk memperbetulkan landasan ekonomi negara dan bukan mudah untuk memuaskan hati semua lapisan rakyat. Setiap perubahan ke arah kebaikan akan terasa paling sukar di awal perjalanan. Justeru, ketika pelbagai agensi penarafan begitu tajam memerhatikan pembangunan di Malaysia dan negara-negara bersaing pula berusaha keras menandingi kita, kita tidak boleh mengalah dan perlu kekal cekal di atas landasan yang tepat.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/64514
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/64514
0 Komentar untuk " Dasar kurang popular ke arah mewujudkan ekonomi berdaya tahan "