Apa lagi Cina Muslim mahu? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Apa lagi Cina Muslim mahu?

TERDAPAT suara sumbang kononnya golongan Cina Muslim ini selalu bising-bising bangga dengan nama Cina. Kaum lain yang berhijrah ke agama Islam tak pernah bising.

Semua bangsa dalam dunia ini berbangga dengan nama Islam. Tetapi golongan Cina Muslim ini mahu kekalkan nama Cina.

Apa lagi Cina Muslim mahu?

Apa itu nama Islam? Nama Islam ialah nama yang mempunyai maksud yang baik, tidak semestinya dalam bahasa Arab sahaja. Pada zaman Nabi Muhammad SAW, ramai sahabat yang memeluk Islam dan mengekalkan nama asal walaupun bukan dalam bahasa Arab.

Antaranya, Salman al-Farisi dari Parsi dan Bilal bin Rabah dari Habsyah (Ethiopia).

Enam maqasid (objektif) syariah yang utama ialah jaga agama, jaga jiwa, jaga akal, jaga harta, jaga maruah dan jaga keturunan. Kalau kita mem'bin'kan Abdullah, kita telah memusnahkan objektif syariah untuk jaga keturunan.

Kenapa harus dibinkan dengan Abdullah sedangkan masing-masing mengetahui nama bapa sendiri? Cina Muslim bukan mahu cari hal. Cuma minta dihormati hak menjaga nasab keluarga. Tujuannya untuk mengelakkan daripada berlakunya perkahwinan sesama ahli keluarga akibat tidak tahu asal-usul masing-masing.

Kita semua hamba ALLAH SWT. Persoalannya, adakah Abdullah itu bapa kita? Sebagai contoh, Awang Bin Leman baru dapat kerja di sebuah syarikat terkenal. Satu daripada polisi syarikat itu adalah perlu menukar nama kepada Awang bin Abdullah.

Tidak mengapa, kita ini semua anak kepada hamba ALLAH. Mahukah Awang menukar namanya?

Lebih parah lagi, CEO syarikat tersebut mengatakan nama Awang itu tidak Islamik. Perlu kepada nama Arab. Perlu tukar kepada Mohammad Awang bin Abdullah, atau Mohammad bin Abdullah. Mahukah Awang menukar nama beliau?

Adakah kawan-kawan Awang akan turut bekerja di syarikat tersebut jika terpaksa menukar nama mereka?

Saya suka dengan nama Awang ini sebab ia nama popular di Kelantan. Sepupu saya bernama Ong Awang walaupun bukan Islam. Bekas guru Bahasa Melayu saya semasa bersekolah tingkatan 6 di SMJK Chung Hwa, Kota Bharu, bernama Law Awang walaupun juga bukan beragama Islam.

Mereka yang bukan Islam sering menganggap kononnya Islam tidak menghormati hak individu. Mereka mengatakan Islam tidak adil kerana menghapuskan hubungan antara anak dan bapa serta keluarga. Lebih parah lagi jika nama keluarga juga disuruh buang kerana tidak berbunyi Arab.

Maka mereka bertambah anti lagi kepada Islam dan takut jika anak-anak mereka menganut Islam nama keluarga akan dibuang. Lebih-lebih lagi ketika pertama kali mengucapkan dua kalimah syahadah, siap pakai baju Melayu dan bersamping. Sah masuk Melayu! Jangan jadikan peluk Islam itu satu fitnah terhadap Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 membincangkan Penamaan Saudara Baru.

Muzakarah memutuskan bagi saudara baru (mualaf) nama mereka hendaklah ditambah nama Islam mendahului nama asalnya, misalnya Ahmad Chong Ah Kaw.

Presiden MACMA, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin meletakkan nama Arab di depan nama Cina beliau. Begitu juga Firdaus Wong Wai Hung dan Ikram Yeo Wai Kiat.

Manakala sahabat saya yang lain memilih untuk mengekalkan nama mereka, antaranya Ann Wan Seng, Beh Boon Seng dan Lim Jooi Soon. Sebagai contoh, nama Lim Jooi Soon mempunyai maksud yang baik serta tidak melanggar syariat.

Lim adalah nama keluarga, Jooi adalah nama keturunan dan Soon adalah nama beliau yang bermaksud 'membawa kejayaan'.

Walaupun fatwa tersebut dikeluarkan pada tahun 1981, masih ada aduan daripada mualaf yang menyatakan kesukaran bagi mereka untuk mengekalkan nama asal. Masih terdapat mereka (biasanya yang bekerja di jabatan agama) yang memaksa Cina Muslim ini menggunakan nama bin/binti Abdullah.

Jika tidak, kononnya tidak boleh pergi umrah atau haji.

Ini menakutkan masyarakat Cina untuk memeluk Islam, bahkan ada yang membatalkan hasrat memeluk Islam kerana tidak mahu membuang keturunan dan nasab mereka.

Kekalkan nama asal

Menukar nama kepada bin atau binti Abdullah adalah budaya Malaysia sejak merdeka lagi. Ia tidak diamalkan di negara Arab ataupun Indonesia yang jauh lebih besar masyarakat Islamnya. Ia juga tidak pernah diamalkan pada zaman Rasulullah SAW.

Firman ALLAH: "Panggillah mereka itu (dengan ber'bin'kan) kepada bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi ALLAH." (Surah Al-Ahzab: 5)
Kata Imam Al-Tabari (meninggal dunia pada 310H) dalam Tafsir Al-Tabari menyebut: "Ayat ini adalah dalil tidak boleh menasabkan seseorang kepada bukan bapanya. Hadis-hadis juga begitu keras menegahnya."

Dalam hadis Nabi Muhammad SAW hal ini banyak disebut, antaranya: "Sesiapa yang mengaku anak kepada bukan bapanya, maka syurga haram ke atasnya." (Riwayat Bukhari)

Baginda SAW bersabda lagi: "Antara pendustaan terbesar ialah seseorang mengaku anak kepada bukan bapanya." (Riwayat Bukhari)

Mengekalkan nama asal Cina Muslim adalah penting kerana ia melambangkan nama generasi dan nama diri mereka.

Memilih nama Arab yang mempunyai makna yang baik sambil mengekalkan nama asal sepenuhnya juga boleh diterima. Bagi mereka yang berketurunan India, Siam, Iban, Bidayuh dan lain-lain, boleh bin/binti kepada nama bapa asal masing-masing.

Asalkan jangan ber'bin' atau 'binti'kan Abdullah. Dari segi dakwah, tanggapan masuk Islam sebagai masuk Melayu dapat dihakis dan dapat memberikan gambaran Islam ini universal, untuk semua bangsa dan keturunan.

Sesungguhnya masyarakat Cina tidak anti-Islam. Buktinya, Islam diterima di China apabila Saad Ibnu Waqas membawa tauhid Islam. Cuma mereka tidak mahu dipaksa masuk Melayu.

JOHARI YAP
Pengerusi MACMA Kelantan & AJK Perkim Kelantan

0 Komentar untuk " Apa lagi Cina Muslim mahu? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ