Akademi harapan pelapis skuad bola sepak - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Akademi harapan pelapis skuad bola sepak

MUNGKIN ramai yang menggaru-garu kepala sambil mengeluh "apalah nak jadi dengan bola sepak Malaysia."  Pasukan kebangsaan gagal menyerlah di Sukan Sea 2015 dan setakat seri dengan pasukan Timor Leste yang tidak terkenal pun.

Pada pusingan kelayakan Piala Dunia, pasukan kebangsaan kalah teruk 0-6 di tangan pasukan Palestin yang kita pun tahu negaranya dilanda pelbagai konflik.

Semuanya ini jelas menunjukkan betapa lemahnya pasukan bola sepak negara.

Meskipun mungkin nasib tidak menyebelahi pasukan kebangsaan, namun rakyat Malaysia terutamanya golongan muda masih menaruh minat yang mendalam terhadap sukan ini.

Terdapat juga ramai ibu bapa serta jurulatih yang berazam kuat supaya anak muda bersungguh-sungguh meraih kecemerlangan dalam bola sepak.

Ada ibu bapa yang sanggup untuk meluangkan masa serta berbelanja sehingga RM4,000 setahun untuk membolehkan anak mereka meraih kemahiran bola sepak.

Kemunculan akademi bola sepak

Tanda minat mendalam golongan muda negara ini terhadap bola sepak boleh dilihat dengan kemunculan banyaknya kelab dan akademi bola sepak terutamanya di Lembah Klang.

Peningkatan jumlah kelab bertanding dalam begitu banyak kejohanan tempatan pelbagai kumpulan umur mencerminkan minat mendalam golongan muda dalam bola sepak dan usaha gigih mereka untuk mengasah bakat.

Bagaimanapun, ada pihak yang berasa sangsi dengan penubuhan sebenar akademi itu.

Apakah kelab-kelab itu benar-benar mahu mencungkil bakat atau semata-mata mahu membuat wang.

Seorang daripada pemain bola sepak terkemuka negara, Datuk Santokh Singh, yang pada masa ini menjadi jurulatih di Akademi Bolasepak Kelab Diraja Selangor (RSC) berkata  meskipun akademi itu satu usaha perniagaan, ia masih mampu melahirkan bakat.

"Akademi itu ditadbir dengan baik dan kami harap dapat melahirkan pemain untuk pasukan negeri dan kebangsaan suatu hari nanti," beliau memberitahu Bernama ketika ditemui di Perkhemahan Bolasepak Muda Allianz (AJFC).

Kumpulan pemain beliau bawah 16 tahun mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung selama enam minggu itu. Sebanyak 17 pasukan lain mengambil bahagian yang berlangsung di padang Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mencungkil bakat

Santokh, yang menganggotai skuad pasukan kebangsaan Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow berkata, akademi yang ditubuhkan itu adalah saluran baik untuk mencungkil bakat baru.

"Dulu kita kena pergi pilih pemain di sekolah atau negeri. Sekarang pergi sahaja ke akademi dan pilih mereka yang bagus. Lepas itu boleh latih mereka. Bagi saya mereka akan bermain lebih baik selepas itu," katanya.

Beliau yang kini berusia 62 tahun mencadangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta negeri atau kelab mengenalpasti bakat dari akademi yang boleh digilap menjadi pemain yang baik.

"Daripada 50 hingga 60 orang di akademi itu, mereka mungkin boleh mendapat sekurang-kurangnya dua atau tiga pemain berpotensi yang boleh bermain di pelbagai kedudukan.

"Sebaik sahaja pemain dipilih untuk bermain bagi negeri atau kelab, daripada situ mereka boleh tahu sama ada mahu mencuba nasib bagi pasukan kebangsaan," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akademi hanya mampu membawa pemain ke tahap tertentu sahaja kerana mereka perlu bekerja keras untuk mencapai kejayaan seterusnya," kata Santokh.

Mengulas prestasi pasukan bola sepak kebangsaan yang teruk, Santokh berkata, jurulatih serta pemain tidak diberikan cukup masa untuk menyiapkan diri supaya boleh meraih kemenangan.

Sekiranya pasukan kebangsaan mahukan permainan yang baik, pasukan itu perlu bermain dengan pasukan individu di seluruh negara dan dengan cara itu mereka boleh nampak perbezaannya, tambah beliau.

Akademi dan kelab

Akademi Bola Sepak RSC Football yang diketuai bekas pemain bola sepak dan hoki kebangsaan, V Kalimuthu mengenakan yuran sebanyak RM140 sebulan.

Terdapat kira-kira 180 pemain berusia antara 8 dan 14 tahun di akademi ini.

Bakat bola sepak yang menyerlah ditawarkan biasiswa.

Di samping akademi yang berbayar, ada juga kelab yang dikendalikan badan korporat seperti Munr Kickers yang diasaskan oleh Kumpulan Perangsang Selangor Bhd sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat.

Menurut jurulatihnya, Mohd Hakimi Ahmad, 32, pasukan itu dibentuk tahun lepas selepas pencarian bakat intensif dibuat dalam kalangan pelajar berusia antara 15 dan 17 tahun di semua lapan daerah di Selangor.

"Pada mulanya kita ada 60 orang. Kemudian kita kurangkan jadi 24. Kami nak lahirkan bakat daripada budak-budak sekolah di Selangor menjadi pemain di peringkat kelab dan negeri dalam Liga Malaysia.

"Cabaran memang banyak. Antaranya kena bangun awal pagi, pergi ke sana sini, terpaksa berada di bawah panas terik matahari, namun kami tetap berusaha untuk mencapai objektif kami," katanya.

Akademi bola sepak lain yang terkenal ialah Kuala Lumpur Youth Soccer (KLYS) yang tidak asing lagi dalam kalangan pelajar sekolah antarabangsa di sekitar Kuala Lumpur.

Ia diasaskan oleh para jurulatih Luis Pablo, Mak Fatt Soon dan Aidil Sulaiman.

"Bagi diri saya, jika saya bertanggungjawab melatih mereka, saya mahu mereka berjaya. Siapa tahu beberapa pemain kit akan bermain di Eropah suatu hari nanti.

"Ini kerana 70 peratus pelajar adalah warga asing. Jadi mereka berpeluang bermain di sana (Eropah)," kata jurulatih KLYS, Yuzaiman Zahari.

Pembangunan fisikal dan mental

Bagi ibu bapa yang menghantar anak mereka ke akademi bola sepak, ianya bukan semata-mata untuk mereka meraih nama dalam sukan bola sepak tetapi untuk mengimbangkan pembangunan fizikal dan mental mereka.

Pengurus pemasaran, Mohana Alfred, 49, berkata beliau yakin kombinasi pelajaran dan sukan adalah baik untuk anaknya.

Untuk itu, Mohana yang juga aktif dalam Puchong Rovers FC berkata beliau tidak kisah untuk mengeluarkan wang sendiri untuk membantu ibu bapa menguruskan kelab bola sepak itu.

"Kami guna wang sendiri. Di samping membayar yuran yang kecil iaitu RM5 sebulan, kami juga mendapatkan bantuan ibu bapa membeli makanan, membuat sandwic dan membayar yuran penyertaan bila kami mengambil bahagian dalam kejohanan," tambahnya.

Masih ada harapan

Sementara itu, Michelle Ku, ibu Shawn Ku, 14, berkata beliau bukan semata-mata mengutamakan akademik.

"Jika anak saya berminat dalam bola sepak, mengapa tidak. Terpulanglah kepada dia, yang penting dia suka bermain bola sepak."

Mengulas isu anak dan keluarga orang Cina kurang berminat menjadi pemain bola sepak profesioal, beliau berpendapat ia lebih kepada faktor tradisional.

Sesetengah orang Cina, kata beliau, lebih suka anak mereka berjaya dalam bidang pelajaran dan pekerjaan.

Pasukan kebangsaan Malaysia mungkin tidak setanding dengan pasukan Olimpik yang Santokh pernah sertai.

Namun dengan kemunculan banyak kelab bola sepak serta sokongan kuat daripada ibu bapa serta juru latih di bahagian akar umbi, masih ada harapan pasukan kita boleh menentang pasukan hebat dunia seperti Brazil dan Jerman di peringkat piala dunia suatu hari nanti.

Usaha bersungguh-sungguh golongan muda mengasah kemahiran bola sepak mereka mungkin akan ada hasilnya.

Satu contoh yang boleh dibanggakan ialah kejayaan skuad bawah umur 13 tahun di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan yang memenangi Kejohanan Bola Sepak Remaja 2015 (Ibercup) di Costa del Sol, Sepanyol pada 27 Jun lepas. - Bernama

0 Komentar untuk " Akademi harapan pelapis skuad bola sepak "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ