TPP akan jadi legasi buruk - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

TPP akan jadi legasi buruk

PERKEMBANGAN terbaharu di Amerika Syarikat (AS) pada Mei lalu sepatutnya memberi amaran jelas kepada kerajaan Malaysia untuk tidak menandatangani perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) atau menghentikan sementara rundingan yang kini masuk peringkat akhir.

Presiden AS, Barack Obama tidak mendapat sokongan mencukupi daripada partinya sendiri untuk melaksanakan TPP secepat mungkin.

Pemimpin politik di negara itu tidak yakin dengan perjanjian perdagangan bebas (FTA) penuh kontroversi yang dikhuatiri memberi kesan buruk kepada industri domestik mereka.

Obama selama ini berharap akan diberikan kuasa ‘fast track’ untuk membolehkannya sebagai Presiden membentangkan TPP kepada Kongres untuk proses pengundian ‘ya atau tidak’ sahaja, tanpa membenarkan sebarang pindaan dibuat ke atas teks akhir TPP.

Tanpa kuasa ‘fast track’ ini, anggota Kongres AS boleh membuka semula teks TPP selepas perjanjian itu dimuktamadkan dan mereka boleh membuat tuntutan tambahan daripada semua negara anggota TPP termasuk Malaysia sebagai syarat sebelum perjanjian itu diluluskan.

Jika mereka boleh mempersoalkan presiden AS mengenai butiran dalam TPP yang dianggap akan memberi kesan negatif kepada AS, kita juga perlu menyuarakan persoalan sama.

Walau apa pun alasan diberikan  kerajaan untuk menandatangani TPP, satu perkara tidak dapat dinafikan ialah risiko dan kerugian akibat perjanjian itu jauh lebih besar berbanding manfaatnya, seperti dibincangkan MTEM dalam siri lapan artikel ini.

Bukan sahaja kerugian dari segi ekonomi dan kewangan, TPP juga akan menyebabkan Malaysia perlu menuruti prosedur ditetapkan AS dalam sebarang aktiviti kerajaan.

Ini dapat dilihat di bawah bab Kesepaduan Peraturan. Bab ini mencadangkan semua kerajaan negara TPP wajib menubuhkan agensi koordinasi yang akan berhubung antara satu sama lain bagi memastikan setiap peraturan dan dasar dibuat menepati ‘amalan terbaik’ yang ditetapkan mengikut acuan AS.

Nyata sekali TPP akan meletakkan pelbagai kekangan kepada keupayaan Malaysia untuk membuat keputusannya sendiri berhubung sebarang peraturan dan dasar.

Inilah yang dikatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, TPP bukan perjanjian perdagangan yang adil dan bukan juga perjanjian perdagangan bebas.

Sebaliknya, beliau berkata TPP adalah perjanjian untuk mengikat negara lain termasuk Malaysia menggunakan pelbagai peraturan yang akan memberi manfaat kepada konglomerat AS.

Jadi kerajaan Malaysia juga perlu mula memikirkan manfaat kepada syarikat dan ekonomi negara sebelum bersetuju dengan apa-apa perjanjian perdagangan.

Malangnya pemimpin politik sama ada BN atau pembangkang tidak memperjuangkan isu ini secara serius untuk melindungi Malaysia daripada kesan buruk TPP.

Ahli parlimen di negara ini sepatutnya menuntut lebih ketelusan dan mempersoalkan setiap butiran dalam perjanjian yang diketuai AS ini.

Kita perlu membuka minda dan melihat TPP dalam konteks lebih besar iaitu sebahagian daripada rancangan politik, ekonomi dan ketenteraan AS di rantau ini.

Pada November 2011, kerajaan AS mengumumkan dasar luarnya yang menumpukan kepada Asia atau dikenali sebagai ‘pivot to Asia’.

Di bawah dasar itu, AS mahu menjalinkan hubungan pelaburan dan keselamatan lebih meluas dengan negara Asia bagi menghalang perluasan kuasa China di rantau ini. Daripada dasar inilah lahirnya TPP.

Matlamat utama TPP bukanlah untuk mempertingkatkan dagangan negara peserta seperti yang dicanangkan tetapi semata-mata untuk menjaga ego AS yang mahu mengekalkan pengaruhnya dan menjadi polis dunia.

Malaysia tidak perlukan TPP untuk memperluaskan pasarannya kerana pada masa ini, satu lagi perjanjian perdagangan lebih baik iaitu Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sedang dirundingkan Asean sebagai sebuah blok dengan enam negara rakan dagangnya iaitu China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia.

RCEP menekankan kepada penubuhan satu rangka kerja ekonomi serantau. Perjanjian itu juga memastikan objektif dan komitmen setiap negara peserta dijalankan secara konsensus iaitu persetujuan bersama.

RCEP juga mengambil kira tahap pembangunan berbeza di setiap negara anggota dan memberikan kelonggaran diperlukan dalam usaha mencapai matlamat akhirnya. Berbeza dengan TPP yang menuntut komitmen tidak munasabah tanpa mengambil kira kedudukan ekonomi, latar belakang politik atau budaya sesebuah negara.

Kesimpulannya, FTA generasi baharu seperti TPP sememangnya dipenuhi pelbagai istilah dan konsep perdagangan yang sedap didengar tetapi mempunyai kesan memusnahkan terhadap industri domestik, dasar sesebuah negara dan kepentingan awam.

Diakui isu TPP ini agak rumit dan teknikal untuk difahami rakyat, namun MTEM berusaha sebaik mungkin untuk menerangkan isu ini dengan mudah dan secara terperinci melalui buku “TPPA: Malaysia is not for sale” yang dilancarkan Dr Mahathir, tahun lalu.

Semua rakyat Malaysia perlu mengambil tahu mengenai TPP kerana ia kononnya dirundingkan bagi pihak rakyat, walaupun kerajaan tidak pernah memaklumkan butiran atau meminta kebenaran daripada rakyat, iaitu kumpulan yang akan paling terkesan dengan pelaksanaannya.

Bagi MTEM, TPP akan hanya menjadi legasi buruk kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak jika Malaysia tetap berkeras mahu menandatanganinya.

Ingatlah, generasi selepas ini akan mempertanggungjawabkan kepimpinan sedia ada berhubung segala kesan buruk yang berlaku akibat TPP.

0 Komentar untuk " TPP akan jadi legasi buruk "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ