Suplemen kalsium sebabkan strok? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Suplemen kalsium sebabkan strok?

KALSIUM merupakan mineral penting dalam tubuh manusia. Kekurangan kalsium akan menyebabkan osteoporosis, kekejangan otot, insomnia, kemurungan dan halusinasi. Ia juga menyebabkan rasa kebas atau mencucuk-cucuk pada kaki, tangan dan muka. Kalsium berlebihan pula boleh menyebabkan ia terenap di bahagian tertentu tubuh termasuk arteri.

Osteoporosis paling dibimbangkan oleh golongan pertengahan umur. Adakah pengambilan suplemen kalsium membantu atau menyumbang padah? Sila baca perbincangan penulis seterusnya.

Perubahan hormon reproduktif iaitu kekurangan estrogen pada golongan wanita dan testosteron pada golongan lelaki dipercayai antara faktor utama mengapa golongan ini mudah terdedah dengan risiko osteoporosis.

Vitamin D yang terbina daripada kolesterol amat penting untuk penyerapan kalsium. Namun pengambilan ubat mengawal kolesterol iaitu statin mengurangkan pengeluaran kolesterol. Seterusnya ia dipercayai menyebabkan paras vitamin D rendah. Statin juga dipercayai mengganggu keseimbangan paras hormon reproduktif.

Dari sudut perubatan alternatif, satu daripada cara untuk menyeimbangkan hormon reproduktif ialah mengambil herba bersifat adaptogen. Ia dipercayai membantu menyelaras pengeluaran hormon dehydroepiandrosterone (DHEA) dan seterusnya mengharmonikan paras hormon reproduktif.


Terlalu berpantang

Punca lain dipercayai kerana biasa menggunakan minyak sayuran tidak tepu dan mengelakkan lemak tepu. Makanan berlemak tepu sering dikaitkan dengan peningkatan kolesterol yang dipercayai akan terenap dalam arteri koronari dan seterusnya menyebabkan penyakit jantung.

Sebenarnya terdapat beberapa teori lain yang dikaitkan dengan kerosakan arteri termasuk misalnya berpunca daripada makan makanan bergula tinggi, stres berpanjangan, nutrien tidak seimbang dan serangan radikal bebas.

Antara teori punca kerosakan arteri yang jarang anda dengar yang tiada kena mengena dengan kolesterol ialah ketidakseimbangan antara radikal superoksida dan nitrik oksida. Pada bahagian arteri yang membelok, shear stress dikatakan berubah nilai berbanding dengan arteri lurus.

Arteri lurus dengan nilai shear stress ideal dikatakan membantu sel-sel endothelium arteri jantung membina nitrik oksida pada kadar optimum. Sebaliknya pada bahagian arteri yang membelok, kadar pengeluaran nitrik oksida dikatakan berkurangan.

Radikal bebas superoksida amat reaktif dan merosakkan pelbagai molekul termasuk komponen membran plasma atau membran sel. Namun dalam arteri lurus di mana nitrik oksida dikeluarkan pada paras optimum berupaya meneutral superoksida pada kadar yang optimum juga. Pengeluaran nitrik oksida pada arteri yang membelok berkurangan maka superoksida tidak dapat dineutral sepenuhnya.

Akibatnya ialah kerosakan sel-sel endothelium arteri. Ramai orang percaya kerosakan sel-sel tersebut menyebabkan sistem imun membantu memulihkannya dengan sel-sel buih diikuti dengan tampalan kolesterol. Lama kelamaan bahagian arteri yang rosak akan memerangkap ion kalsium dan menyebabkan kalsium terenap.

Penulis pula menganuti teori yang berbeza. Kekurangan nitrik oksida di bahagian arteri jantung yang membelok atau berlaku ketidakseimbangan nitrik oksida-superoksida pada arteri lurus menyebabkan superoksida menyerang komponen membran sel termasuk laluan/pintu Kalsium yang terbina dari protein.

Kerosakan laluan/pintu Kalsium ini seterusnya menyebabkan Kalsium dari luar sel masuk ke dalam sel-sel dan tidak boleh keluar. Akhirnya, sel-sel dengan kandungan Kalsium berlebihan ini mengalami kerosakan dan berubah sifat dari segi struktur dan juzuk bahan. Sila semak kajian berjudul ‘Calcium Phosphate Crystals Induce Cell Death in Human Vascular Smooth Muscle Cells’ yang terbit dalam jurnal Circulation Research (2008).

Membran sel yang wujud dalam plak atherosklerosis hasil analisa saintis adalah dalam bentuk cebisan! Plak ini juga didapati penuh dengan Kalsium di samping beberapa ion lain seperti sulfur, silikon dan fosfat.  Sila semak kajian berjudul ‘Calcified Atherosclerotic Plaque – where exactly is the Calcium and What does It Contains?’ yang terbit dalam jurnal Indian Journal Thorac Cardsiovascular Surgery’ (2012).

Kandungan Kalsium dalam plak aterosklerosis pada mereka yang mengalami paras gula tinggi seperti yang dihidapi oleh penghidap diabetes dikatakan adalah tinggi berbanding dengan mereka yang tidak mengalami hiperglisemia.

Mari kita lihat beberapa keburukan akibat pengambilan suplemen kalsium dari sudut kajian sains.

Berikut ialah kesimpulan saintis penyelidik dalam kajian berjudul ‘Elevated brain lesion volumes in older adults who use calcium supplements: a cross-sectional clinical observational study’ yang terbit dalam British Journal of Nutririon (2014), kajian kami menunjukkan bahawa pengambilan suplemen Kalsium meski pun pada dos rendah oleh golongan berusia (orang tua) dapat dikaitkan dengan jumlah kerosakan tisu otak yang besar.

Penyelidik kajian tersebut menggunakan kajian terdahulu yang mengaitkan suplemen Kalsium dengan peningkatan risiko strok di mana pengambilan suplemen Kalsium dipercayai membentuk enapan Kalsium dalam arteri terutama pada plak berlemak.

Keadaan ini seterusnya menyebabkan arteri tersumbat dan menyebabkan kekurangan oksigen pada tisu otak.


Sel otak mati

Kemungkinan mekanism lain ialah Kalsium berlebihan terutama jika blood brain barrier bermasalah akan menyebabkan sel-sel otak mati. Blood brain barrier ialah penapis dalam otak berfungsi membenarkan molekul tertentu sahaja masuk ke otak.

Dua kajian lain menunjukkan pengambilan suplemen Kalsium dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung. Sila semak dua kajian masing-masing berjudul ‘Effect of Calcium supplements on Risk of Myocardial Infarction and Cardiovascular Events: Meta-analysis’ dalam British Medical Journal (2010) dan ‘Calcium Supplements with or without Vitamin D and Risk of Cardiovascular Events: reanalysis of the ‘Women’s Health Initiative limited access dataset and meta-analysis’ dalam jurnal yang sama (2011).

Setelah menyemak 135 kajian, the United States Preventive Services Task Force dalam kajiannya (2013) berjudul ‘Vitamin D and Calcium to Prevent Fractures: Preventive Medication’ membuat kesimpulan bahawa tiada bukti kukuh bagi mengaitkan pengambilan suplemen Kalsium bagi menghalang keretakan tulang pada golongan wanita. Dengan itu ia juga mencadangkan agar wanita menopaus tidak mengambil Kalsium bersama vitamin D (penulis: namun begitu vitamin tetap penting).

Lihat pula kajian ini. Ketumpatan tulang yang tinggi meningkatkan risiko kanser payudara malignan pada wanita sebanyak 300 peratus atau lebih! Sila semak kajian berjudul ‘Elderly Women with High Bone Mineral Density (BMD) have up to 2.7 times greater risk of having breast cancer, especially advanced cancer, compared with women with low BMD’ yang terbit dalam  Journal National Cancer Institute (2001).


Bersambung minggu hadapan

Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)
Herbalis profesional bertaraf dunia, Juru runding dan pendidik nutrisi holistik.

0 Komentar untuk " Suplemen kalsium sebabkan strok? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ