Jikalau diajak pemandu kereta yang berulang-alik setiap hari untuk mencuba kenderaan awam, rata-rata, tidak sukar mengajak mereka menaiki tren. Tapi, jika dipelawa pula menaiki bas, belum tentu mereka mahu. Puncanya, ramai serik menunggu bas yang sering tidak kunjung tiba atau terpaksa menahan sabar tatkala bas terlewat disebabkan kesesakan jalan raya. SEBUAH bas elektrik tiba di stesen Sun-U Monash di Sunway. Bagaimanapun, mungkin semua ini akan berubah tidak lama nanti. Bulan lalu, Perdana Menteri melancarkan sistem perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Sunway yang menjadi lambang model jalinan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta. Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menanggung 85 peratus daripada kos keseluruhan pembinaan laluan bertingkat BRT Sunway yang berjumlah RM661 juta, sementara Sunway Bhd pula menyuntik kos selebihnya. Bas BRT dipandu di laluan khusus Uniknya, bas BRT ini dipandu hanya di laluan khusus justeru, tidak perlulah lagi bas ini berasak-asak dengan beratus kenderaan yang turut berhimpit-himpit di lebuh raya. Penumpang bas cuma perlu ke stesen, membayar tiket dan masuk ke dalam bas menerusi pintu-pintu bas yang tersedia. Apabila tidak perlu lagi bersesak-sesak di jalan raya, bas akan tiba tepat pada waktunya dan penumpang pula akan sampai di destinasi mereka secara efisien serta menurut jadual. Bas elektrik berteknologi tinggi yang berulang-alik di sepanjang laluan bertingkat sejauh 5.4 kilometer (km) ini melintasi tujuh stesen dan meliputi radius populasi penduduk seramai 500,000 orang. Bas ini menghubungkan masyarakat Sunway dengan terminal LRT dan KTM Komuter tanpa sebarang masalah. KOMPLEKS BRT Sunway dilengkapi fasiliti Park and Ride untuk 1,153 kereta. Malah, terminal utama BRT dilengkapi kemudahan 'Park & Ride' yang mampu memuatkan 1,153 kereta termasuklah ruang khas untuk wanita dan orang kurang upaya, manakala setiap stesen pula mempunyai eskalator, lif, kios dan Sistem Maklumat Penumpang. Sistem BRT begitu popular dan digunakan secara meluas di bandar-bandar dunia yang padat dan sesak. Bandar seperti Bogota di Columbia, Guangzhou di China, malah di Jakarta, Indonesia juga menggunakan sistem bas ini sebagai kaedah transit penumpang yang ramai. Buktinya, lebih 163 bandar di seluruh dunia melaksanakan sistem BRT, manakala 82 bandar lagi sedang merancang atau sudah pun membangunkan infrastruktur BRT. Lagi pula, perancangan bandar membabitkan BRT tidak kurang pentingnya berbanding perancangan laluan tren. Hal ini kerana pembinaan trek dan stesen tren sama ada di atas tanah atau bawah tanah di lokasi yang terlampau sarat penduduk akan menyebabkan kerumitan yang tidak terkendali dan begitu menyukarkan orang awam. Apatah lagi, kos pembinaan rel adalah tinggi jika dibandingkan dengan kos BRT. Hal ini disebabkan infrastruktur dan keteknikan pembinaan rel. Mod berkesan bawa penumpang ke sistem pengangkutan lain Selain itu, faktor lain seperti permintaan, topografi kawasan dari segi jarak, hal-hal kejuruteraan dan kos turut memainkan peranan apabila memutuskan mod pengangkutan terbaik. Bagi kawasan Lembah Klang, sistem BRT dilihat sebagai mod yang paling berkesan untuk membawa penumpang ke sistem pengangkutan lain yang lebih tinggi daya muatannya, seperti LRT, MRT dan sistem rel metro. BRT Sunway bukan sahaja berperanan sebagai penghubung yang menautkan dua laluan rel - KTM Komuter dan LRT Laluan Kelana Jaya, malah menjadi sebahagian pelan induk yang akan menjadi sandaran kepada pewujudan sebuah rangkaian pengangkutan awam yang bersepadu di Greater KL. PENUMPANG menaiki bas di sistem BRT Sunway. - Foto hiasan Yang saya maksudkan dengan 'kesepaduan' di sini adalah apabila sistem MRT, BRT dan kereta api berkelajuan tinggi semua saling terhubung melalui sistem yang sedia ada seperti KTM Komuter, LRT dan bas, justeru berupaya memperluas jangkauan dan kesalinghubungan antara sistem pengangkutan. Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, penambahbaikan terhadap kesalinghubungan antara destinasi first and last mile, kemudahan park & ride dan sistem bayaran tambang secara tunggal juga wajar diberi penekanan. Bagi kawasan penempatan sepadat Sunway, sistem BRT amat sesuai dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan. Kepadatan penduduk yang tinggi dan kedudukan bangunan serta infrastruktur yang berselirat menyebabkan penjajaran LRT di Sunway amat susah. Oleh itu, BRT dilihat sebagai pilihan yang paling tepat untuk mengatasi kesesakan lalu lintas. Kerajaan juga sedang merancang pembinaan sistem BRT Kuala Lumpur-Klang sejauh 34km sepanjang Lebuhraya Persekutuan menjelang tahun 2016. Malah, kami sedang mengkaji kesesuaian sistem BRT ini di 10 kawasan yang padat penduduk di sekitar Lembah Klang. Saya difahamkan, Iskandar Malaysia di Johor juga sedang dalam perancangan untuk melaksanakan sistem BRT milik mereka sendiri. Tambang BRT Sunway adalah percuma dalam tempoh bermula 1 Jun sehingga 31 Julai. Selepas itu, barulah tambang akan dikenakan. Penentuan kadar tambang sedang dikaji oleh kerajaan supaya mekanisme terbaik digunakan yang bukan hanya memastikan kadar tambang yang adil kepada penumpang, malah mekanisme tersebut mestilah mapan. Kaedah tambang dinamik Saya yakin kaedah penentuan tambang yang dinamik dengan satu kadar maksimum adalah mekanisme yang terbaik. Format ini bererti tambang akan diselaraskan menurut kadar permintaan penumpang bagi setiap perjalanan; berdasarkan permintaan pada hari-hari biasa dan hari minggu, cuti awam serta trend ketika musim-musim tertentu. Boleh dikatakan mekanisme yang dimaksudkan ini lebih kurang sama seperti diamalkan syarikat penerbangan untuk menentukan harga tiket mereka. Menurut simulasi semasa yang dijalankan sekiranya penetapan tambang bas berformat dinamik ini dilaksanakan, Prasarana dijangka berpotensi mengurangkan subsidi yang dibelanjakan kerajaan untuk pengangkutan awam, iaitu daripada RM18 juta kepada RM15 juta setahun. Memandangkan populasi di Greater KL akan meningkat kepada 10 juta penduduk menjelang tahun 2020, mahu tidak mahu, kita perlu berdepan dengan isu kesesakan dan pencemaran yang semakin kritikal sehingga menjejaskan pergerakan, produktiviti dan kualiti hidup kita. Tarik minat penumpang naiki tren, bas Justeru, penggunaan pengangkutan awam ialah cara terbaik pada masa akan datang, namun sistem yang kita wujudkan mestilah sistem yang boleh diharap, mudah diakses dan efisien. Jika tidak, penumpang akan hilang minat menaiki tren dan bas lalu kembali memandu kereta mereka. Tidak mustahil bandar kita akan terus kaku tidak mampu lagi bergerak jika hal ini berlaku. Usaha untuk menambah baik perjalanan pergi balik di ibu kota kita menerusi pelbagai projek seperti Laluan 1 MRT (63 peratus siap), Laluan 2 MRT (proses tender menjelang Oktober 2015), Laluan LRT Ampang (sasaran siap menjelang Mac 2016) dan penambahan laluan LRT dari Bandar Utama ke Klang (pembinaan akan bermula pada 2016) kini sudah mula terlaksana. Saya yakin yang pelancaran BRT Sunway ini ialah petanda baik bahawa masalah kesesakan lalu lintas yang tidak sudah-sudah di Kuala Lumpur akan mula reda, malah akan membawa perubahan yang ketara dalam pengalaman harian penumpang. Apa kata, anda cubalah sendiri.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/62145
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/62145
0 Komentar untuk " Sistem BRT ikut waktu, tak perlu bersesak di jalan raya "