UNIVERSITI yang menawarkan pendidikan berkualiti tinggi akan membentuk kitaran positif dalam aspek ekonomi dan sosial. Institusi pendidikan di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman, Jepun dan Korea Selatan berjaya menghasilkan pelbagai teknologi hasil penyelidikannya. Teknologi itu akhirnya digunakan oleh industri untuk pasaran tempatan atau global. Pulangannya dalam bentuk keuntungan atau dana akan diberikan kepada universiti semula. Kitaran ini harus diteladani oleh institusi di Malaysia. Dalam Quacquarelli Symonds (QS) University Rankings: Asia 2015 yang diterbitkan Selasa lalu, 17 universiti negara ini menunjukkan peningkatan anak tangga. Universiti Malaya (UM) berada dalam kelompok 30 Terbaik Asia apabila menduduki tangga ke-29 berbanding ke-32, tahun lalu. Beberapa universiti di Korea Selatan berada dalam kedudukan 10 teratas walaupun kedudukan utama didominasi oleh institusi dari Singapura dan Hong Kong. Sebahagian besar universiti di Jepun juga menduduki tangga 100 teratas. Budaya kerja sistematik Institusi di Jepun tidak banyak menarik kemasukan pelajar antarabangsa tetapi menerima dana yang besar untuk penyelidikan. Budaya kerja yang sistematik dan tumpuan terhadap pendidikan tinggi yang sejak berdekad-dekad lalu membuahkan hasil kepada negara berkenaan. Tugas pentadbiran universiti di negara ini sekarang ialah untuk menjadi lebih baik seperti peningkatan secara konsisten yang ditunjukkan oleh Universiti Nasional Singapura atau University of Hong Kong, atau kita harus mengejar institusi di Korea Selatan dan Jepun. Kita mempunyai Dasar Pandang ke Timur 2.0 dan mesti menyusun strategi untuk universiti kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan institusi di Jepun atau Korea Selatan. Malaysia juga mempunyai ramai pensyarah lulusan universiti terkemuka dunia. Mereka seharusnya diberi peranan besar untuk menjalin hubungan rapat dengan Cambridge University, Imperial College London, Stamford University atau University of Tokyo. Kedudukan Malaysia dalam wilayah Tropika seharusnya digunakan untuk bekerjasama dengan institusi di wilayah lain. Presiden, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata dalam bidang biodiversiti tropika, Malaysia di kedudukan baik pada pandangan antarabangsa tetapi penyelidikan dalam bidang berkenaan belum diteroka secara meluas. "Untuk menarik pakar luar bekerja dengan kita, Malaysia mesti mempunyai kualiti yang mereka percaya dan terima," katanya. Beliau turut mencadangkan profesor di negara ini perlu diberi penarafan berasaskan kepakaran dalam pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, memimpin penyelidikan, perancangan masa depan, penerbitan, kerjasama antarabangsa, pemindahan maklumat kepada masyarakat dan pengalaman pentadbiran. "Penarafan ini akan menggalakkan profesor untuk lebih aktif pada peringkat antarabangsa sehingga dikenali oleh rakan sebidang," katanya. Universiti tempatan menunjukkan kedudukan yang berbeza-beza dalam penarafan agensi lain seperti oleh Times Higher Education atau Webmotectrics Ranking of World Universities kerana pemberatannya tidak sama. UNIVERSITI Malaya berjaya melahirkan pelajar berkemahiran hasil daripada proses pembelajaran yang berkualiti. - Foto hiasan Capai hasrat jadi hab pendidikan Penarafan universiti penting untuk memberi persepsi positif bagi menarik kedatangan pelajar luar ke negara ini. Kedudukan yang lebih baik akan membuka mata pelajar dan pensyarah antarabangsa untuk datang ke Malaysia. Penyediaan geran penyelidikan yang besar pula dapat 'mengumpan' pensyarah asing untuk berkhidmat di negara ini. Kedua-dua faktor itu diambil kira di dalam kebanyakan agensi yang membuat penarafan universiti dan aspek ini dapat menjayakan hasrat negara untuk menjadi hab pendidikan tinggi serantau. Kedudukan yang baik oleh agensi penilai akan memberi persepsi yang tinggi pada kaca mata pelajar. Pada masa sama, pentadbiran universiti perlu lebih agresif untuk meningkatkan kualiti pendidikan di institusi masing-masing. Aspek kebebasan akademik juga perlu diambil kira kerana ini akan membuka ruang perbincangan dan idea baharu. Walaupun tiada kebebasan mutlak, ahli akademik dan pelajar mesti diberi ruang yang lebih besar untuk berbicara dan mengkaji. Universiti tempatan haruslah mempunyai sistem untuk mencetuskan kerjasama dan mencontohi bidang penting untuk mendapat penarafan tinggi. Kita tidak boleh mempertahan birokrasi dan momentum lama. Terpulang kepada kebijaksanaan pentadbiran universiti untuk menyusun strategik seterusnya kerana universiti di negara lain tidak pernah berdiam diri.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/60967
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/60967
0 Komentar untuk " Pendidikan tingkat ekonomi, sosial negara "