Model ekonomi inklusif diperlukan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Model ekonomi inklusif diperlukan

MALAYSIA memerlukan satu model ekonomi yang memberi penekanan kepada aspek pertumbuhan inklusif meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera perlu dilaksanakan dengan memanfaatkan peluang-peluang ekonomi baharu tanpa mengambil apa-apa yang telah menjadi hak bagi mana-mana kaum.

Katanya, ia akan membolehkan semua kaum mendapat nikmat daripada janaan kekayaan negara secara adil dan saksama tanpa meminggirkan sesiapa.

“Apabila Bumiputera sebagai golongan majoriti penduduk negara ini memperkatakan keadaan mereka terpinggir daripada arus pembangunan ekonomi dan menuntut pelaksanaan suatu dasar serta tindakan khusus untuk membela nasib mereka, ia tidak bermakna mereka bersifat perkauman.

“Sebaliknya, ia tuntutan mendapatkan kesamarataan peluang dalam ekonomi lebih inklusif,” katanya ketika Majlis Penutup Sidang Kemuncak Ekonomi Melayu 2015 di Kuala Lumpur, semalam.

Muhyiddin berkata, model ekonomi tersebut perlu dilakukan bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran berterusan di Malaysia.

“Banyak bukti di serata dunia menunjukkan apabila golongan majoriti di sesebuah negara tersisih daripada arus perdana kemajuan ekonomi dan gagal menikmati kekayaan secara adil dan saksama, maka negara itu tidak akan aman dan stabil,” katanya.

Bagi memperkasa ekonomi Bumiputera katanya, golongan itu perlu merebut peluang dalam pelbagai sektor ekonomi di bawah 12 Bidang Ekonomi Utama Negara.

“Ini termasuk 3.3 juta peluang pekerjaan baharu pelbagai sektor berdaya maju berpendapatan lumayan seperti sektor minyak, gas dan perkhidmatan kewangan.

“Ahli perniagaan Melayu mempunyai saham RM1.4 trilion nilai pelaburan baharu yang akan dijana sehingga 2020.

Ini semua merupakan peluang-peluang baharu yang wujud hasil janaan pelbagai aktiviti ekonomi negara dalam tahun mendatang,” katanya.

Muhyiddin berkata, isu seperti jurang pendapatan antara kaum Melayu dan bangsa lain yang tinggi serta masalah ketidaksamaan antara masyarakat bandar dan luar bandar, seperti terkandung dalam laporan Status Ekonomi Bumiputera dalam Negara Berpendapatan Tinggi yang dikeluarkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), perlu diberi perhatian serius.

Berdasarkan laporan itu, beliau berkata, negara menghadapi cabaran besar menangani ketidaksamaan pelbagai aspek termasuk intra etnik, inter etnik, perjawatan korporat, jurang bandar dan luar bandar serta Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Cabaran kerajaan menangani ketidaksamaan pada hari ini, lebih rumit berbanding menstrukturkan semula masyarakat pada 1970-an kerana arus liberalisasi ekonomi dan pasaran terbuka menjadi antara halangan utama kerajaan laksana tindakan membantu golongan terpinggir,” katanya.

Antara kandungan laporan MTEM adalah jurang pendapatan antara kaum Melayu dan satu kaum lain meningkat 10 kali ganda, iaitu daripada RM2,600 pada 1970 kepada RM23,000 pada 2012.

Turut dilaporkan, data sara diri individu mengikut kelas pendapatan menunjukkan, individu kelompok 40 peratus ke bawah hanya mampu berbelanja RM34 sehari untuk makanan seisi keluarga.

Selain itu, masyarakat luar bandar majoritinya Bumiputera secara puratanya hanya menerima 60 peratus gaji masyarakat bandar.

Related Post

0 Komentar untuk " Model ekonomi inklusif diperlukan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ