PKR menganggap pengumuman DAP bahawa Pakatan Rakyat sudah berkubur adalah satu tindakan gopoh. Ia mengatakan bahawa pakatan itu masih wujud cuma tidak bergerak secara formal sahaja.
Bagaimanapun DAP pula menyifatkan bahawa ia bertindak demikian adalah kerana PAS telah dengan gopohnya mahu putuskan hubungan dengan DAP dalam muktamarnya.
Sementara PAS pula merumuskan bahawa tindakan kurang tenang DAP memutuskan hubungan dengan presiden PAS sebelum itu, adalah tindakan politik yang kurang budiman dan terburu-buru.
Anehnya, PKR pula yang menghimpunkan kesalahan bertindak gopoh itu kepada DAP dan PAS yang kini sah tidak mampu mengawal emosi masing-masing bagi mensejahterakan pakatan politik tujuh tahun itu.
PKR sebenarnya punca Pakatan Rakyat retak
Namun sebaliknya, sikap dan pendirian PKR sebagai parti yang mahu dilihat bijaksana dan adil dalam Pakatan Rakyat itu juga sebenarnya yang menjadi penyumbang besar kepada “kematian” Pakatan Rakyat.
Memang sejak awal lagi rakyat maklum bahawa DAP dan PAS tidak serasi tidur sebantal. Impian mereka berbeza. PAS berpandukan al Quran dan DAP berpedomankan fahaman sosialis demokratik.
Bagaimanapun apabila perhatian mereka difokus kepada matlamat yang sama – menjatuhkan Umno-BN -- perbezaan itu dapat dipendam selama enam tahun.
Malangnya, PKR sendiri nampaknya yang menjadi pemicu PAS dan DAP berbalik kepada tabiat lama dalam menilai hubungan politik sesama mereka dengan mengutamakan perbezaan di antara perjuangan mereka, sebagai isu.
Langkah Kajang tajaan PKR perlu bertanggungjawab
PKR melancarkan program politik dipanggil Langkah Kajang tahun lalu. Matlamatnya untuk meletakkan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
PKR mahu Selangor menjadi tapak pelancar perang menguburkan Umno-BN sekaligus meletakkan parti itu sebagai pemikir, strategis dan pemimpin Pakatan Rakyat.
Namun PAS kekok dengan pendekatan bersifat Machiavelli – matlamat menghalalkan cara – PKR itu. Di segi teknikalnya mengarahkan ahli dewan undangan negerinya yang baru setahun dipilih rakyat letak jawatan memang bukan sesuatu yang salah.
Namun di segi moral politiknya, PAS melihat banyak yang tidak kena dengan pendekatan sebegitu. Kompas moral politik PAS sukar menerima apatah lagi menyokong strategi yang dianggap ‘mengkhianati’ amanah rakyat.
Apabila projek Langkah Kajang itu semakin kusut kerana Anwar “dilarang” undang-undang daripada bertanding dan kemudian digantikan oleh isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, kecurigaan PAS berganda.
Pengganti Anwar itu menang. Sementara itu, idea untuk menyisihkan Menteri Besar PKR sedia ada ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, juga menjadi kenyataan. PKR berkeras mahu Wan Azizah mengisi kerusi berkenaan.
Di sini bermulanya kecurigaan dan bibit tidak puas hati PAS dengan sikap PKR yang dianggap berada di luar lingkaran kerangka kerjasama Pakatan Rakyat di antara ketiga-tiga parti itu. Langkah Kajang dirancang dan dilancar sebelum PAS dimaklumkan.
PAS tidak senang dengan politik licik PKR
PAS kurang gemar dengan calon PKR untuk kerusi berkenaan sebaliknya mencalonkan timbalan Wan Azizah, Azmin Ali sebagai menteri yang kemudian mendapat perkenan Sultan.
Dalam pada itu, PAS sukar menelan hakikat bahawa dalam memastikan ia mendapat kerusi menteri besar, PKR telah “menggoda” dua ahli dewan undangan negerinya supaya meninggalkan saf mesyuaratnya di Selangor.
Kekecewaan PAS ini menyebabkan presidennya, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang mempamerkan sikap dingin terhadap formaliti kepimpinan dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat. Beliau selera menghadiri mesyuarat majlis berkenaan.
Lantas, tidak sampai setahun kemudian apabila PAS cuba menghidupkan impiannya mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan, DAP pula menyambar peluang menunjukkan amarahnya terhadap ‘perjuangan agama PAS’ itu.
Tiba-tiba soal hudud menjadi isu besar bagi DAP walaupun setahun sebelum pilihan raya umum ke-13 ia telah bersetuju mengizinkan PAS memburu cita-cita agamanya itu yang dimaktubkan oleh tandatangan Lim Guan Eng dan Haji Abdul Hadi.
Kisah selanjutnya kini ialah sejarah yang terhampar di depan mata rakyat minggu ini. Lantas, PKR pula kini disambar kebimbangan. Kemungkinan ia hilang kerusi menteri besar adalah satu igauan ngeri.
Langkah Kajang yang diniatkan untuk menjadi wadah meletakkan PKR sebagai parti teras dalam Pakatan Rakyat kerana ia sepatutnya menjadi anak kunci menawan Putrajaya kini terbukti menjadi langkah mengusung kematiannya.
Memang benar kata Wan Azizah, Pakatan Rakyat tidak lagi bergerak secara formal. Ini kerana yang mula-mula melangkah kemurniaan hidup bermuafakat Pakatan itu ialah PKR sendiri apabila ia menghayun Langkah Kajangnya. - AntaraPOS
0 Komentar untuk " Langkah Kajang mengusung Pakatan Rakyat ke pusara "