Khutbah Jumaat: Masa tingkat prestasi, buru rahmat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Khutbah Jumaat: Masa tingkat prestasi, buru rahmat

Hebatnya, setiap orang yang berpuasa mampu menahan lapar dan dahaga selama lebih 12 jam pada setiap hari. Pakar perubatan Amerika Syarikat, Dr Allan Cott, mendedahkan dalam bukunya Why Fast bahawa puasa mampu menurunkan tekanan darah dan kadar lemak serta melambatkan proses penuaan. Di samping manfaat fisiologi badan, ibadah puasa turut menambahkan kesihatan jiwa apabila dikaji dari sudut psikologi. Selain manfaat kesihatan, Ramadan hadir dengan tawaran hebat kepada setiap umat Islam yang melaksanakan ibadah sepenuh jiwa. Cuba hayati maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu dan sesiapa yang mendirikan malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu." Seawal zaman kanak-kanak lagi kita tahu ibadah puasa Ramadan adalah salah satu rukun Islam. Kewajipan menahan diri daripada makan minum dan perkara membatalkan puasa pada siang hari sepanjang bulan ini turut mendorong setiap jiwa untuk bermuhasabah menjadi insan lebih baik. Justeru, marilah bersama kita gunakan kesempatan berada pada bulan barakah ini untuk meningkatkan prestasi diri bagi memburu rahmat Allah SWT dengan perbanyakkan amalan salih. Ingatlah, hanya dengan melakukan kebaikan, diri kita akan lebih dekat kepada Allah SWT. Perbanyak amalan salih Bacalah al-Quran dan hayatilah maknanya dalam kehidupan. Banyakkan bersedekah dan jauhkan jual beli yang salah. Hidupkanlah masjid dengan beriktikaf, berselawat, berzikir dan qiamullail. Bertaubatlah kepada Allah SWT supaya kita mendapat rahmat dan keampunan-Nya. Rapatkan ukhuwah sesama insan. Marilah kita semaikan nilai kasih sayang sesama insan khususnya kepada ibu bapa, adik beradik dan keluarga. Gunakan kesempatan Ramadan untuk bersahur dan berbuka puasa bersama mereka. Sebaiknya, ikutilah sunah Rasulullah SAW ketika berbuka puasa sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud daripada Anas bin Malik: "Bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa kurma basah (rutob) sebelum solat Maghrib, sekiranya tidak ada kurma basah, Baginda akan berbuka dengan beberapa biji tamar (kurma kering), jika tidak ada tamar, Baginda akan meneguk beberapa teguk air." Sesudah berbuka puasa, alangkah baiknya jika seisi keluarga terus menunaikan solat secara berjemaah, berzikir dan bertadarus al-Quran bersama. Layani ibu bapa dan orang yang lebih tua dengan perasaan hormat, sayangilah orang muda dan kanak-kanak, berilah perhatian kepada kerabat yang berhajat. Bagi sesiapa yang pernah bersengketa, mohonlah kemaafan sesama kita. Tunjukkanlah kemurnian akhlak Islam dengan memaafkan segala kesalahan orang lain. Mana yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan, yang rapat kita eratkan. Betapa indahnya Ramadan ini jika umat Islam mampu menggambarkan nilai kasih seumpama satu binaan yang saling memperkuatkan satu sama lain. Berjihad bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu. Walaupun syaitan dibelenggu pada bulan ini, kita masih lagi mempunyai musuh yang wajib ditangani. Itulah nafsu yang sentiasa meruntun-runtun supaya manusia terjerumus ke lembah kemurkaan Allah SWT. Justeru, Allah SWT mewajibkan ibadah puasa kepada umat Islam pada Ramadan supaya nafsu dapat dikekang. Inilah sebenar-benar jihad yang wajib dilakukan setiap umat Islam. Jihad lawan nafsu Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mujahid adalah orang yang berjihad melawan nafsunya di jalan Allah SWT." (Riwayat al-Tirmizi) Mudah-mudahan kita mampu mengawal jiwa dan nafsu masing-masing demi mencari rahmat Allah SWT pada Ramadan al-Mubarak ini. Jauhkan diri daripada perkara sia-sia. Ambillah peluang keemasan di bulan barakah ini dengan menjauhkan diri daripada segala perkara yang tidak berfaedah sama ada perbuatan atau perkataan. Jagalah lidah daripada perkara sia-sia, tutuplah mata daripada pandangan dosa, pekakkan telinga dari perkara tercela dan jagalah hati daripada perasaan kotor serta buruk sangka. Sayang sekali jika keberkatan Ramadan dicemari dengan umpatan, celaan dan fitnah. Jangan sampai pahala yang dicita, tetapi dosa yang dicipta. Renungkan hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Setiap amalan yang dilakukan anak Adam pada Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda." Rebutlah kelebihan Ramadan selagi peluang masih ada. Asasnya, jika kita berusaha mencari, maka rahmat Allah SWT akan menghampiri. Namun jika diri kita sendiri menjauhi, mana mungkin rahmat Allah SWT mendekati. Sumber Khutbah Jumaat Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/62359

Related Post

0 Komentar untuk " Khutbah Jumaat: Masa tingkat prestasi, buru rahmat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ