Jana pemikiran kreatif - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jana pemikiran kreatif

KEHADIRANNYA dalam industri perfileman, pengarahan dan pengajian media cukup dikagumi. Kesungguhannya mengangkat martabat pengajian kreatif terutama dalam kursus perfileman, teater dan animasi semakin jelas dengan wujudnya Fakulti Filem Teater dan Animasi (FiTA) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Shah Alam.

Personaliti Kampus Legend minggu ini, bukan asing dalam industri perfileman, juga tersohor dalam kalangan kampus. Loghat Penang yang begitu ketara mencerminkan beliau adalah anak jati Pulau Pinang tanpa selindung.

Bertindak sebagai dekan, Datuk Profesor Abdul Razak Mohaideen, 50, berkata, tanggungjawab beliau tidak tertumpu kepada mengajar dan mendidik, malah perhatian juga terarah kepada penjenamaan fakulti tersebut.

"Pada awalnya fakulti ini dikenali sebagai Fakulti Seni Persembahan (1998), waktu itu, ramai yang kurang mengenali program yang cuba ditonjolkan, kemasukan pelajar buat kali pertama adalah 27 orang sahaja, kemudian semakin diterima sehinggalah perubahan demi perubahan, dan kini sudah empat tahun dijenamakan sebagai Fakulti Filem, Teater, dan Animasi," jelasnya.

Katanya, penglibatan sepanjang 23 tahun sebagai pemain industri,  adalah detik berharga dalam memberi didikan juga tunjuk ajar kepada pelapis baharu, terutama penuntut program seni kreatif, seni penulisan, filem, teater dan animasi bagi peringkat diploma, ijazah dan pascaijazah.

"Selepas saya ambil alih, perkara utama adalah penjenamaan, saya dapati masyarakat lebih faham sekiranya menggunakan nama yang mudah, dan mesejnya juga sampai," katanya.

Berkarya sambil berdakwah

Menceritakan tentang karyanya, beliau berkata, meskipun ada yang mengkritik naskah diarahkannya, namun sebagai sutradara, beliau akan memastikan setiap karya, sama ada drama atau filem yang dihasilkan sarat dengan mesej.

"Contoh yang paling ringkas, filem Anak Mami, meskipun dikritik dari pelbagai sudut,  namun saya berjaya menonjolkan kisah masyarakat bersama mesej dan ia sampai kepada golongan sasaran. Kini masih mengekalkan fokus yang sama, bakal ditayangkan filem terbaharu, Chowrasta.

Lebih menarik, produksi untuk filem ini, datangnya daripada tenaga pengajar dan penuntut fakulti itu sendiri, bersama barisan pelakon terkenal," katanya.

Menurutnya, penglibatan langsung pelajar dalam pembikinan filem itu memberi pendedahan kepada mereka secara lebih jelas dalam lapangan pengajian bertepatan dengan objektif program dan wawasan beliau sendiri yang ingin melahirkan penggiat seni profesional.

Ujarnya, jalan cerita yang ringkas bersama mesej, mampu menjadikan filem itu mempunyai nilai tersendiri dan sebagai pembikin filem, itu salah satu daripada dakwah tanpa sedar yang mampu menjadi santapan rohani masyarakat serta mempengaruhi minda dan corak pemikiran.

Tambah beliau juga, menjadi kelebihan kepada penuntut program ini apabila mereka banyak menerima input yang segar daripada tenaga pengajar yang juga penggiat aktif dalam industri.

"Pelajar bukan sahaja didedahkan dengan pengajian di kuliah, bahkan campuran teori dan praktikal digabung terus ke dalam industri," katanya.

Berminat arah filem sejarah

Melihat pada karya sama ada arahan bersama mahupun diarahkan sepenuhnya oleh beliau boleh dikatakan semua genre sudah digarap. Namun bagi menjawab persoalan itu, beliau berkata, masih terdapat genre yang masih belum dicuba.

"Jika berpeluang saya berminat menghasilkan filem sejarah, namun tidak mudah kerana filem seperti ini menelan kos pembikinan cukup tinggi, lagipun tidak ramai kalangan penerbit sanggup melabur," katanya.

Menceritakan tugasan terbaharunya pula, A Razak berkata, filem yang sedang dalam proses penggambaran adalah Anak Mami Nasi Kandaq, yang dibintangi pelakon terkenal, Fasha Sandha. Masih memberi tumpuan pada komedi, Muluq juga arahan terbaharu dan sebuah lagi judul dengan genre romantik, Teman Jiwa pada Disember ini.

Dalam kesibukan sebagai sutradara, A Razak juga menjalani kehidupan harian sebagai ketua keluarga seperti orang lain. Isterinya, Datin Nazeera Ahmed Bazari dan anak-anaknya, Aniq Aqil Abdul Razak, dan Batrisyia Abdul Razak adalah antara pendorong utama kejayaannya.

0 Komentar untuk " Jana pemikiran kreatif "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ