Gila selfie! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Gila selfie!

PADA era telefon pintar kini, jika anda tidak memanfaatkan aplikasinya, anda seorang yang ketinggalan atau mungkin dianggap anti sosial. 
Satu daripada aplikasi yang kini menjadi trend ialah selfie (mengambil gambar sendiri) atau wefie (secara beramai-ramai) dengan si jurugambar turut berada dalam gambar. Paling popular adalah merakam gambar sendiri di hadapan cermin.  
Peralatan digunakan adalah kamera digital atau kamera telefon bimbit, dan biasanya hasil selfie atau wefie ini sering dikongsi di laman-laman sosial seperti Facebook, Google+, Instagram, Snapchat, Tumblr, Twitter, MySpace, WhatsApp dan lain-lain. 
Selepas foto dimuat naik, pastinya komen diterima dapat dibaca tuan punya badan.
Pelbagai aksi anda dapat dilihat rakan sosial. Ada bersahaja, sempoi, buat muka comel, ternganga ala mulut ikan baung atau mulut itik, senget, tutup sebelah mata dan pelbagai aksi pelik, ngeri, lucu, kreatif dan tak terfikir dek akal.
Golongan hawa tentunya tidak ketinggalan. Pastinya tiap selfie atau wefie ditayang mempunyai makna atau tujuan tersendiri oleh pengirimnya. Sama ada sebagai hobi, koleksi peribadi, mengajak ke arah kebaikan, menarik perhatian, mengisi masa untuk suka-suka melihat maklum balas rakan sosial, pamer kecantikan atau kelebihan diri dan pelbagai lagi.
Ada pula golongan selfie sanggup gadai nyawa atau hingga habis nyawa.  
Ironinya tak kurang pula golongan hawa berselfie hingga undang kontroversi - di ranjang, sambil pegang anjing dan tidak fikirkan perasaan orang lain. Pasti ia sensitif di negara kita, lebih-lebih lagi babitkan wanita Islam dan Melayu yang terkenal dengan tatasusilanya.  
  
Kadangkala gelagat berposing, ditambah status tidak sesuai di laman sosial undang rasa jelik dan tidak sepatutnya sedemikian. Jika di luar negara ia perkara biasa, tetapi bagaimana jika ia dilakukan wanita kita. 
Lebih berani ada yang tunjuk aksi mengghairahkan dengan pasangan, memalukan atau lebih teruk berposing tanpa seurat benang. 
Ada pula yang bimbo, muat naik status di laman sosial tanpa fikirkan akibat dan bahaya boleh mengundang. Beritahu esok nak pergi bercuti di mana dan sekian tarikh. Tidakkah ini mengundang penjenayah dengan mudah boleh ambil kesempatan. 
Apa pun gila selfie tidaklah jadi kesalahan, asal trend ini jangan sampai makan diri. Hati-hati dengan status di laman sosial kita.

PENGAKUAN 1
Selfie hampir setiap hari
Boleh dikatakan saya berselfie atau wefie hampir setiap hari. Biasanya saya akan muat turun gambar di Facebook (FB) atau Instagram. Tujuan biasanya hanya untuk menyimpan kenangan peribadi dan dikongsi bersama keluarga dan rakan.
Saya akan simpan di album dalam telefon bimbit. Saya mula dengan manfaatkan aplikasi ini sejak menggunakan telefon pintar.
   
Sebelum ini sebelum mendirikan rumah tangga pun saya selalu berselfie atau wefie bersama teman lelaki yang kemudian menjadi tunang saya pada ketika itu. 
Bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya dapat memperkenalkannya secara tidak langsung kepada rakan-rakan. Sekarang selepas berkahwin saya banyak berselfie dan wefie dengan suami dan anak-anak pula.
Sebagai suri rumah juga saya ada masa, jadi masa yang saya gunakan untuk simpan kenangan terutama dengan anak-anak sepanjang tempoh mereka membesar. Anak sulung saya berusia setahun 10 bulan dan kedua, baharu sebulan. 
Setiap kali keluar rumah, pasti saya akan wefie dengan anak-anak. Misalnya masa ke pasar raya atau klinik, ketika tunggu giliran dipanggil. 
Lagipun memang minat saya suka mengambil gambar dan edit, bangga bila ada kawan-kawan yang beri sokongan dengan 'like' bila gambar dipos. 
Pada saya jika ada yang 'sakit mata' atau 'bosan' lihat foto selfie dengan status di FB atau laman sosial lain seseorang itu, biarkan saja. Kalau rasa mahu mengumpat pun cukup dalam hati.
Itu haknya, lagipun nama pun laman sosial.  -  Azureen Mohd Shariff, 29, suri rumah
PENGAKUAN 2

Cucu gelar nenek siber
Ikutkan saya tidak suka berselfie tapi terpaksa. Masa tertentu sebagai Muslimat, saya selalu banyak program, jadi perlu sebar dan kongsi pada orang ramai. 
Sebelum ini ambil gambar biasa kata muka saya tak ada. Orang kata kita post gambar orang lain, konon bukan kita tangkap gambar sendiri, muka pun selalu tak keluar sama dalam gambar. Jadi bila saya sendiri hadiri program itu, saya berselfie atau wefie.
Kadangkala rasa rugi bila suasana atau tempat itu tidak ambil gambar. Jadi selfie lah. Lagi satu kadangkala selfie sebab tiada yang hendak ambilkan gambar.  
Tidaklah selalu berselfie, biasanya pada waktu-waktu gembira. Waktu sedih tak sampai hati pula. Niat kita pula hendak berkongsi informasi, kegembiraan bila muka semua ada masa berwefie, tapi tidak campur lelaki perempuan. 
Maklum balas selalu saya terima bila post gambar selfie atau wefie itu pula positif saja. Sebab itu terus berselfie. Tapi pada saya, orang kutuk pun tak apa, sebab niat kita bukan hendak mengada-ngada. Hendak berkongsi sahaja. 
Setakat ini belum pernah pula ada yang mengutuk. Selalu maklum balas saya dapat bila selfie, mereka komen seperti 'nenek gojes', 'welldone nenek cyber', anak buah pula kata 'bik terer kalah kita orang'. Kalau Muslimat pula selalu kata 'yess Mar... mak melinium'.
Pada saya okey sahaja jika orang dewasa mahu selfie atau wefie. Tapi kalau yang terlebih posing, tak ada penceritaan aisssh... jangan!. Ada yang 'kerja' asyik selfie, buat duckface itu ini bagai, tak molek begitu. Dengan suami pula jangan over posing.  
Saya pun kalau tak terpaksa, tak selfie. 
Sekarang ini pun kalau nak berselfie sudah ada setting, jadi mudah untuk semua. Lagipun suami saya pun sporting, sudah tahu tugas saya selalu ambil gambar, dia belikan telefon yang sesuai.

Gambar pun boleh ambil cantik-cantik. Seronok tengok hasilnya.   Monopod pun ada tapi jarang guna, terus snap lagi cepat. - Siti Marjunah Sadiran, 50, sukarelawan kemasyarakatan 
PENGAKUAN 3
Amal sejak ada telefon bimbit berkamera
Saya mula berselfie sejak menggunakan telefon bimbit yang kamera dengan fungsi depan dan belakang. Selalunya saya berselfie atau wefie, jika kena tempat dan pemandangan yang cantik, bersama keluarga atau rakan-rakan.
Apa yang saya dapat bila berselfie adalah kepuasan diri, tapi biarlah kena pada tempat dan masa.
Jika ada suka berselfie hingga menjengkelkan orang lain memang tidak patutlah. Misalnya di tempat pengebumian, memang amat tidak sesuai untuk berselfie. 
Ada seorang rakan yang suka sangat berselfie dan pos dalam Instagram dengan gaya memek muka yang menjengkelkan, dalam sehari empat hingga lima hantar gambar selfie. 
Apa pun terpulang pada diri sendiri sekadar suka-suka atau kepuasan diri sendiri, tapi biarlah kena pada tempat dan keadaan.
Kadangkala bila jumpa situasi orang selfie, sibuk baca dan balas komen pada gambar yang dipos, hingga abaikan urusan rumah tangga, contoh lambat masak atau tak mandikan anak, itu memang tak patutlah.
Golongan ibu yang suka berselfie patut lebih utamakan keluarga dan anak. 
Pendek kata bagi saya selfie bukanlah perkara utama dalam hidup.
Namun selagi kita masih memenuhi syariat agama dan tidak mengetepikan hukum hakam agama, ia tidaklah menjadi masalah besar. Pokok pangkalnya hati kita, wallahualam. - Siti Marjunah Sadiran, 50, sukarelawan kemasyarakatan 
PENGAKUAN 4
Minat sebab tengok ramai orang buat
Saya mula berselfie sejak menggunakan telefon pintar. Minat mula apabila lihat ramai yang selfie dan berkenan dengan jenis kamera telefon pintar yang dapat menghasilkan foto yang cantik bila kita bergambar atau selfie. 
Selalunya bila muat naik gambar selfie, saya akan maklumkan di mana lokasi tersebut, bersama siapa dan apa saya lakukan semasa itu. 
Jadi tidaklah gambar itu 'kosong' tanpa ada apa-apa makna jika setakat letakkan gambar selfie atau wefie. 
Biasa remaja termasuk saya, memang begitulah akan suka bila ramai likers dan ada yang komen positif.
Tapi kalau yang negatif atau tak dapat sambutan, mungkin sama ada gambar tu dipadamkan sebab malu. 
Kadangkala ibu saya pun pelik, sebab bila dengan kawan selalu sangat selfie. 
Walaupun suka selfie, tapi saya tak pernah suka selfie seorang-seorang sebab kurang keyakinan diri hendak ambil selfie seorang. 
Bapa pula akan selalunya cakap ‘amboi bab bergambar bukan main’. Tapi saya jarang selfie tak bertempat, jadi ibu dan bapa tak pernah marah. Walaupun gemar selfie dan wefie, tapi tak ada la gila selfie sangat kerana tahu batasannya. 
Nasihat saya terutama pada remaja masih bersekolah, kita jangan terlalu utamakan selfie terutama golongan remaja biarpun memang ramai cantik dan kacak. 
Pentingkan pelajaran dan janganlah kalau boleh sampai mendatangkan fitnah ketika berselfie terutama wanita. 
Buat masa ini saya selalu pos gambar di Instagram dan Twitter. Facebook agak jarang. Hingga kini, jika di Instagram saya ada kira-kira 707 followers dan di Twitter lebih 400. - Hairunajiha Roslan, 16, pelajar
PANDANGAN GUAMAN

Tarik perhatian,  terlibat skandal

Selfie ialah istilah yang dimaksudkan dengan mengambil gambar diri sendiri secara sendiri tanpa meminta pertolongan orang lain. Kaki selfie boleh terdiri daripada lelaki dan juga wanita tetapi berdasarkan kajian terhadap media sosial yang ada membuktikan golongan wanita lebih ramai menjadi kaki selfie.
Kebaikan berselfie dari segi peluang untuk merakamkan saat menarik dan indah tanpa bantuan orang lain memandangkan saat indah ada tikanya berlaku tanpa dirancang dan bukan dalam semua keadaan, ada orang lain di samping kita. Namun dari segi kontranya, andai saat yang dirasakan indah dan ingin dirakam sebenarnya saat-saat biasa dan jadi lebih bahaya jika rakaman dibuat bukan pada masa yang sesuai, contohnya ketika sedang memandu. 
Malah ada kes selfie melibatkan isu terlalu peribadi yang sepatutnya tak perlu dirakamkan kamera, contoh dalam satu kes yang akak kendalikan, kantoi gambar suami dalam aksi separuh bogel bersama teman wanita bila si anak gunakan telefon bimbit si ayah untuk bermain game. 
Terdapat kes suami atau isteri yang suka selfie sehingga mengganggu perhubungan mereka. Contohnya, kes selfie sebagai bukti curang. Malah ada suami yang tak gemar bila isteri suka berselfie kemudian kongsikan foto di media sosial dengan alasan cemburu bila terdapat komen memuji si isteri.

Tapi disebabkan isteri suka dipuji, isteri tetap teruskan dan timbul perbalahan. Ada kes suami tak kisah tapi disebabkan tak kisah tersebut, isteri melampau dalam berselfie dan kongsikan gambar hingga menarik perhatian lelaki lain dan akhirnya si isteri terlibat dalam skandal. 
Setakat ini, belum ada peruntukan undang-undang yang melarang penggunaan gambar yang dikongsikan di media sosial. Ikutkan kewajaran, jika ada yang menyalahgunakan, sememangnya tak boleh dipersalahkan sebab si pemilik gambar dengan sengaja membenarkan perkara itu berlaku bila kongsikan gambarnya kepada umum. 
Analogi mudah, jika pintu rumah dibiarkan tak berkunci kemudian ada pencuri yang masuk, realitinya pemilik rumah yang membenarkan kejadian tersebut sebab tidak melaksanakan tindakan perlu untuk menjaga keselamatan. Maka, berhati-hatilah dalam berkongsi gambar sendiri atau gambar yang tersayang.
- Suzana Ghazali
Perunding Psikologi Keluarga, Peguam Syarie

PANDANGAN AGAMA

Konsep sederhana,  harmoni berselfie 
HARI ini semua peringkat umur suka berselfie. Namun golongan remaja dan awal dewasa adalah antara yang sangat aktif dan kreatif sewaktu berselfie.
Saya berpandangan hukum berselfie pada asalnya adalah harus namun ia terikat dengan syarat-syarat tertentu seperti: 
1.  Niat atau tujuan, sekiranya bertujuan menunjuk-nunjuk, bangga diri, takabbur maka ia adalah dilarang.
2.  Mestilah menutup aurat yang sempurna, haram mendedahkan aurat walaupun dalam gambar tanpa alasan syarie adalah  dilihat dari sudut niat dan keadaan diri seseorang.
3.  Sopan dan bermaruah, sekiranya berselfie dengan bercampur lelaki dan perempuan tanpa batasan atau berlatarbelakangkan aktiviti yang dilarang maka berselfie adalah dilarang.
4.  Tidak menimbulkan ketidakselesaan atau gangguan terhadap orang lain, khususnya latar belakang atau orang lain yang terambil gambarnya tanpa kerelaannya.

Tabiat berselfie secara sihat tiada masalah, tetapi tabiat berselfie yang tidak sihat itu yang dilarang. Justeru, niat dan tujuan sangat penting dalam melakukan suatu perkara, takwa dan jati diri menjadi asas perlakuan baik dan bermoral. 
Keterlaluan tanpa panduan dan batasan dalam aktiviti berselfie boleh membawa kepada kemudaratan, justeru tabiat berselfie mesti ada garis panduan dan batasan dari sudut hukum-hakam agama dan nilai moral.
Islam menekankan konsep kesederhanaan dan keharmonian. Jika ingin berselfie pastikan ia suatu yang baik dan tidak melanggar batas agama. Kita perlu ingat gambar yang dihantar dalam media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram ia akan menjadi tatapan jutaan manusia di alam maya.
Sekiranya yang dihantar adalah yang baik, insya-ALLAH kita akan dapat pahala berganda, namun sekiranya yang dihantar itu adalah yang tidak bermoral dan bertentangan dengan batasan agama, pastinya ia akan mengundang kemarahan orang lain. 
Apa yang lebih bahaya adalah membawa kemarahan dan kemurkaan ALLAH yang akan menjerumuskan kita ke dalam neraka kerana dosanya juga berganda.
- Isfadiah Mohd Dasuki
Penasihat Shariah, Brainy Bunch
International Islamic Montessori
PANDANGAN MOTIVATOR

Obses yang melalaikan?
Selfie sebenarnya wujud pada kali pertama manusia melihat imej dirinya sendiri. Suatu variasi selfie ini ialah bila anda mengambil masa mencantikkan diri di depan cermin kerana menyikat rambut atau bersolek. Bezanya selfie di zaman itu dan sekarang ialah imej kita itu boleh sekarang dibawa ke merata tempat.
Selfie menjadi suatu trend yang popular hari ini kerana wujudnya telefon bimbit yang dilengkapi dengan kamera yang canggih. Gambar anda boleh diambil bila-bila masa sahaja, di mana sahaja dan dengan perisian atau apps yang tertentu, gambar itu boleh diubahsuai dengan serta-merta.
Ia juga berkaitan dengan sifat manusia yang pentingkan diri sendiri dan ini merupakan tindakan normal. Buktinya, jika ambil gambar berkumpulan, pasti kita tetap mencari wajah sendiri sebelum orang lain.

Selfie menjadi suatu obsesi bila ia dibuat berkali-kali dengan suatu perasaan untuk menghasilkan suatu pemandangan atau gambar yang sempurna. Emosi seseorang akan tertekan bila gambar diri yang terhasil tidak mencapai cita rasa yang dikehendaki. Sekiranya ini tidak dibendung, ia akan menjadi suatu permasalahan psikologi pada dirinya.
Mungkinkah selfie ini dijadikan suatu amalan untuk kita mengagungkan ALLAH? Berikut adalah doa ketika melihat diri di cermin: "Segala Puji bagi ALLAH yang memperbaiki diriku, perbaikilah budi pekertiku." Nah, berselfielah sebanyak yang anda kehendaki, selagi anda ingat ALLAH, dan jauhi diri daripada melakukan sesuatu tindakan yang melampau dan merosakkan diri. 
Ada orang yang tidak selesa dengan mereka yang suka berselfie dengan meletakkan gambar dengan pelbagai gaya di media sosial seperti Instagram dan Facebook. Apa yang penitng kita mahu bersangka baik dahulu.

Usah kita melatah kepada sesuatu yang kita lihat sahaja. Bertanyalah dan dapatkan kepastian. Sekiranya ia merupakan sesuatu yang boleh kita bantu dan perbaiki, bantulah. Ini jauh lebih baik daripada kita mencemuh dan mencela sahaja.

- Mohd Rizal Hass an, MSP, PLF (Pengasas) Pemudahcara Pembelajaran Profesional Antarabangsa

0 Komentar untuk " Gila selfie! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ