Baru puasa sudah beraya! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Baru puasa sudah beraya!

*ADA orang terlalu awal mengutus kad Selamat Hari Raya! Khamis, hari pertama Ramadan, ketika keletihan selepas solat Zuhur di surau pejabat, saya terkejut menerima kad raya.

Ada gambar ketupat, juga gambar pelita minyak tanah, yang sejak dulu-dulu dikaitkan dan disinonimkan dengan Aidilfitri.

Dan ada pantun: Debaran kini kian terasa, hampir sebulan kita berpuasa; tidak kira apa juga bangsa, hari raya disambut bersama. Kad itu diakhiri dengan kata-kata ‘Maaf zahir dan batin’.

Kad itu datangnya dari sebuah agensi pengiklanan di KL. Orang iklan memang selalu ingin mendahului masa, dan mahu mesejnya melekat di hati. Syabas, gambar ketupat dan pelita minyak tanah itu memang melekat di sanubari.

Cuma saya rasa tak berapa sesuai – dan janggal – dinyatakan ‘hampir sebulan kita berpuasa’, pada hal hari pertama puasa pun belum langsai.

*APA pun di tempat kita memang sudah menjadi kebiasaan suasana raya di semarak dan diuar-uarkan sebaik sahaja puasa bermula. Malah, di sesetengah tempat lagu Selamat Hari Raya – oleh Saloma dan Fazedah Joned – sudah dimainkan sebelum anak bulan

Ramadan kelihatan.

Di KL Ahad terakhir sebelum ketibaan puasa, banyak pusat beli-belah terkemuka sudah pun meletakkan poster dan iklan Jualan Murah Hari Raya. Puasa belum tiba jualan raya sudah bermula!

Hiasan Syawal memeriahkan suasana. Ada ketupat sebesar pemeluk, ada meriam buluh, ada anak bulan. Dan, tentu sekali ada ‘Diskaun 80 Peratus!’, ‘Beli Satu, Percuma Satu!’, ‘Hadiah Lumayan Menanti Anda!’ dan lain-lain pujukan yang mendebarkan perasaan.

Pendek kata, dalam bab raya, orang kita memang selalu mendahului masa!

*SETAKAT semalam sudah dua hari berpuasa, surau di kawasan perumahan saya di Bandar Sunway penuh sesak dengan para jemaah yang datang untuk menunaikan solat sunat tarawih.

Pada hari-hari biasa tidak ramai datang ke surau untuk solat berjemaah, lebih-lebih lagi waktu Subuh tidak sampai dua saf @ kira-kira 15 orang. Yang tidak pernah ponteng setiap waktu ialah imam dan AJK surau.

Tetapi hari-hari awal puasa semua datang untuk bertarawih – dan bermoreh! – sehingga ruang solat yang boleh muat 100 orang penuh sesak. Sejadah tambahan dibentang di luar surau untuk menampung jemaah lain.

Itulah tanda-tanda rahmat dan nikmat Ramadan al-Mubarak. Masing-masing ingin mengambil peluang untuk meningkatkan amalan dan ketakwaan. Terasa benar kesatuan dan perpaduan umah.

Semoga tahun ini jemaah akan memadatkan ruang solat hingga ke akhir Ramadan. Biasanya tahun-tahun sebelum ini kesesakan dan keinsafan hanya pada minggu pertama. Minggu kedua mula renggang. Minggu ketiga ruang solat semakin lapang. Minggu akhir hanya imam dan AJK.

*DALAM pada gembira sakan ketika berbuka puasa dan ghairah membuat persiapan raya, patut sekali kita mengingati dan bersimpati pada mereka yang berpuasa dalam kedukaan, dan tidak terfikir pun mengenai raya.

Di Kelantan @ Serambi Mekah, masih ramai lagi keluarga yang menyambut bulan al-Mubarak dalam khemah berdebu, sebab rumah mereka yang musnah akibat banjir besar akhir tahun lalu, masih belum siap.

Di Sabah @ Negeri Bawah Bayu, ramai keluarga masih dalam trauma akibat ledakan gempa bumi 6 skala Richter yang bukan sahaja memusnahkan kediaman dan harta benda, tetapi turun mengorbankan banyak nyawa.

Hingga kelmarin, gegaran gempa kecil-kecilan masih melanda kawasan terlibat, menyebabkan penduduk sentiasa dalam ketakutan dan berjaga-jaga. Lebih malang lagi mereka dilanda banjir lumpur dan terputus bekalan air bersih.

Juga yang berwalang durja awal Ramadan ini ialah keluarga dan sanak saudara kapten dan anak-anak kapal Orkim Harmony yang dirampas lanun. Kapal milik Malaysia itu telah dikesan. Doakan semuanya selamat pulang ke pangkuan orang tersayang, dan dapat sama-sama berbuka puasa seperti biasa.

*AKHIR kalam, masih mengenai puasa. Kata yang empunya cerita, satu-satunya benda yang orang kita betul-betul menepati waktu ialah ketika berbuka puasa. Sebaik azan Maghrib dilaungkan mereka akan berbuka, tepat pada waktunya, tidak lambat walau sesaat pun.

Bagi yang bekerja di surat khabar, hatta wartawan yang selalu tidak menepati deadline pun, akan tetap mematuhi waktu apabila tiba saat berbuka puasa!

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Baru puasa sudah beraya! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ