Tidak tegas punca ideologi IS mudah meresap - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tidak tegas punca ideologi IS mudah meresap

BH:Boleh Datuk jelaskan pengaruh dan ancaman kumpulan militan IS di Malaysia ketika ini? Ayub Khan: Berdasarkan operasi, siasatan dan pengumpulan data yang kita buat setakat ini, tidak ada sebarang tanda menunjukkan ancaman IS berkurangan. Sejak Februari 2013 hingga 26 April lalu, jumlah anggota IS yang ditangkap ialah 107 orang. Daripada jumlah itu, 87 adalah lelaki dan 20 perempuan. Seramai 15 orang pula warga asing, bakinya warga tempatan. Statistik rakyat Malaysia yang berlepas ke Syria juga meningkat sekali ganda. Sejak Januari hingga Jun 2014, jumlahnya 30 orang dan Julai ke Disember meningkat kepada 60 orang. Jumlah terbaru kita kenal pasti dianggarkan 80 orang. Trend ini bukan berlaku di Malaysia sahaja, tapi ia menjadi trend global. Kita dapati pengaruh IS semakin hari semakin bertambah dan semakin ramai hendak menyertainya di Syria. BH: Berdasarkan siasatan ke atas suspek yang ditahan itu, apakah matlamat dan perancangan mereka di negara ini? Ayub Khan: Ancaman IS kini sudah masuk ke fasa kedua. Dalam fasa pertama, mereka hanya terbabit dalam usaha merekrut, penyebaran ideologi, pengumpulan dana dan penghantaran rakyat ke Syria. Kini mereka merancang untuk melancarkan serangan di Malaysia. Ini terbukti menerusi tangkapan pertama pada 5 April lalu membabitkan 17 suspek ketika sedang bermesyuarat bagi merancang melancarkan serangan dengan merompak senjata api di balai polis dan kem tentera. Mereka juga merancang menyerang pusat hiburan dan bangunan kerajaan kerana bagi mereka, Malaysia diklasifikasikan sebagai negara kufar, bukan negara Islam. Pada 25 April pula, 12 suspek berjaya diberkas. Mereka sudah memiliki bahan untuk diadun bagi dijadikan bahan letupan. Berdasarkan analisis daripada unit bom, letupan yang hendak dihasilkan itu mampu memberi kesan kemusnahan seluas 500 meter. BH: Dari mana mereka mendapat arahan untuk menyerang ini? Ayub Khan: Fasa kedua ini berlaku selepas jurucakap IS, Abu Muhammad al-Adnani mengeluarkan kenyataan menggesa sesiapa yang bersimpati dan bersetuju dengan perjuangan IS, tidak perlu datang ke Syria. Mereka boleh melancarkan serangan di negara masing-masing khasnya negara yang dianggap bukan negara Islam. Itu yang menyebabkan berlaku serangan persendirian seperti di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Belgium dan New York. Itulah yang cuba dilakukan kumpulan suspek yang ditahan di Gunung Nuang baru-baru ini. Mereka hendak menyahut seruan Abu Muhammad al-Adnani. BH: Apakah tarikan ideologi IS ini sebenarnya sehingga berjaya mempengaruhi umat Islam termasuk dari Malaysia untuk menyokong perjuangan mereka? Ayub Khan: Banyak pihak keliru. Ada yang mengatakan IS adalah khawarij baharu atau kumpulan Takfiri iaitu yang mengkafirkan orang Islam lain. Tetapi berdasarkan kajian pihak polis dan pengalaman menangani anasir militan Islam sekitar tahun 2001 hingga 2013 antaranya Jemaah Islamiah (JI), Darul Islam, al-Qaeda dan al-Shabab, tidak ada perbezaan antara ideologi IS dengan kumpulan militan terbabit. Mereka kononnya memperjuangkan 'Salafi Jihadi'. Sebenarnya, mereka bukan kumpulan Salafi, tetapi mengaku sebagai Salafi dan sering membidaahkan orang. Konsepnya mudah, bidaahkan kita, kita murtad dan darah kita adalah halal. Keduanya, kumpulan ini adalah pihak yang mengeksploitasi Islam untuk kepentingan mereka. Ada juga pihak tertentu yang mahir agama, mendakwa sesetengah daripada IS itu baik dan tidak boleh melabelkan keseluruhan IS itu pengganas. Kenyataan seperti ini akan mengelirukan orang ramai, padahal dalam konteks ini, Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengeluarkan fatwa yang mengharamkan pembabitan rakyat Malaysia dalam IS. BH: Apa sebenarnya yang menjadi tarikan rekrut baharu untuk menyertai IS? Ayub Khan: Mereka hendakkan negara Islam. Mereka memang tiada ilmu, itu hakikatnya. Ia berbeza kumpulan militan sebelum ini seperti JI kerana kebanyakan anggota mereka sebenarnya hendak belajar agama, niat memang baik, tetapi silap kumpulan. Ada juga kategori yang kecewa dan bermasalah, tetapi bukan semuanya macam itu. Ada yang mahu berjihad dan berhijrah. BH: Jika begitu, apakah peranan yang boleh dimainkan pihak berkuasa agama di negara ini bagi menangani ancaman ideologi IS? Ayub Khan: Saya berpendapat, pihak berkuasa agama negara kita perlu lebih agresif menapis dan menyiasat latar belakang pendakwah asing yang datang ke negara ini. Jangan biarkan pendakwah asing bebas berdakwah di negara ini kerana ada antara mereka pemimpin kumpulan militan, merekrut rakyat kita seperti pelajar universiti, kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan seperti yang berlaku dalam kes JI sebelum ini. Dalam isu keselamatan, saya nasihatkan semua pihak agar akur dengan nasihat polis. BH: Dalam kebanyakan kes, adakah keluarga tahu yang anak atau saudara mereka menyokong IS? Ayub Khan: Banyak kes yang memang keluarga mereka tahu. Bahkan, ada kes yang memang keluarga sendiri hendak hantar anak mereka ke Syria. Ada bapa yang tahu anak mereka hendak kahwin dengan pemuda IS. Mereka mahu kahwin selepas berkenalan melalui aplikasi talian video Skype. Majalah dalam talian mereka iaitu Dabiq banyak mempromosikan pemuda IS sebagai tarikan menyebabkan ramai wanita Melayu tertarik untuk ke sana. BH: Adakah penyokong IS mempunyai karakter tertentu? Ayub Khan: Berdasarkan siasatan kami, suspek yang ditangkap ini kebanyakannya bermasalah. Jika pelajar universiti mereka menghadapi masalah sosial, terlanjur dan mahu menebus dosa mereka. Ada juga yang hendak berhijrah ke Syria kerana mereka menganggap Malaysia bukan negara Islam, negara kufar. Kategori ketiga, mereka yang memang berniat menyertai IS hendak bertempur. BH: Apakah cabaran paling besar PDRM menghadapi ancaman militan IS? Adakah IS berbeza dengan kumpulan militan lain yang pernah dihadapi? Ayub Khan: Dalam cabaran menangani kumpulan militan, sejak tahun 1993 hingga kini, belum ada kumpulan pengganas yang seunik IS. IS amat unik dari segala segi seperti merekrut anggota, menghantar anggota ke Syria, kekuatan, kewangan, dana dan paling penting eksploitasi media sosial untuk merekrut ahli. Orang menyertai IS dari pelbagai negara, peringkat umur dan latar belakang. Ada anggota IS baharu berusia sembilan atau 10 tahun. Ia disebabkan capaian media sosial sangat luas. Ia tidak dapat dihalang. Mereka ada televisyen dan majalah dalam talian serta laman web. Segala maklumat yang mereka sediakan boleh diakses. Mereka juga ada cyber trooper. Beribu-ribu jumlahnya di serata dunia. Sudah ada golongan doktor atau anggota keselamatan menjadi ahli. Belum ada kumpulan pengganas yang dikesan begitu hebat mengeksploitasi media sosial. Hampir 95 peratus suspek yang ditangkap ini direkrut menerusi media sosial. Anggota IS juga boleh berbaiah dengan pemimpin hanya menerusi media sosial. Mereka mengeksploitasi baiah untuk mengikat ahli dan jika mereka keluar, darah mereka halal (dibunuh). IS bergerak secara sel atau kumpulan kecil antara lima hingga 10 orang. Mereka tidak ada kumpulan besar. Matlamat mereka kini ialah sama ada hendak melancarkan serangan atau pergi ke Syria. BH: Sebelum ini Datuk pernah mencadangkan perang siber perlu dipertingkatkan bagi menangani ancaman dan ideologi kumpulan militan IS daripada berkembang di negara ini. Ada sebarang maklum balas? Ayub Khan: Apa yang penting, kita perlu mendapat input yang tepat jika hendak berdepan dengan perang siber. Input yang betul dan tepat ini ibarat peluru. Agensi kerajaan yang mengawal selia internet dan media sosial ibarat senjata. Itu sebabnya kita berharap pihak berkuasa agama lebih agresif menangani ancaman IS ini. Kita sedang berdepan ancaman ideologi dan kumpulan yang mengeksploitasi ayat al-Quran dan hadis untuk kepentingan mereka. BH: Apakah benar dakwaan mengatakan pusat tahfiz, sekolah agama, maahad dan sekolah pondok menjadi sarang melahirkan militan di negara ini? Ayub Khan: Tidak ada. Itu satu kenyataan yang terburu-buru. Hanya kerana seorang gadis bawah umur yang belajar di sekolah agama ditangkap, habis semua madrasah atau sekolah agama dilabel sebagai sarang melahirkan IS. Dalam konteks militan IS ini, mereka tidak peduli kerana dalam pasukan keselamatan dan agensi kerajaan pun mereka boleh masuk. Jangan tuduh sekolah agama sahaja. BH: Sejauh manakah undang-undang pencegahan yang dimiliki negara hari ini mampu menangani ancaman kumpulan militan IS ini? Ayub Khan: Selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan pada tahun 2011, kita menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA bagi menangani ancaman keganasan. Ia adalah undang-undang prosedur, tetapi kesalahan disiasat mengikut Kanun Keseksaan. Kita sudah mula buat tangkapan dan pendakwaan. Setakat ini 30 sudah didakwa di mahkamah mengikut Kanun Keseksaan. Kita juga gunakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 dalam kes tertentu. Kita berharap apabila Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dikuatkuasakan nanti, ia juga akan dapat menangani aktiviti kumpulan militan seperti IS. Dalam POTA ada klausa yang membolehkan kita melaksanakan program pemulihan kepada individu yang didapati terbabit kegiatan militan seperti IS. Klausa ini penting kerana jika hendak menangani kumpulan keganasan, aspek pemulihan amat penting. Kita perlu memulihkan ideologi anggota kumpulan ini jika hendak membasmi ideologi mereka. Berdasarkan pengalaman memulihkan 250 ahli JI antara tahun 2001 hingga tahun 2009, kadar kejayaan kita ialah 97 peratus. Kita percaya undang-undang yang ada ini mampu menangani ancaman militan IS. BH: Bagaimana PDRM menangani masalah keghairahan rakyat Malaysia hendak ke Syria menyertai IS walaupun sudah ramai ditangkap? Ayub Khan: Dalam konteks polis, kita perlu meningkatkan pengumpulan risikan. Matlamat kita jelas iaitu hendak menyekat mereka keluar negara untuk sertai IS. Sebab itu kita banyak buat tangkapan dan siasat. Jika tidak cukup bukti, mereka akan dibebaskan. Sekurang-kurangnya kita ada peluang berinteraksi dengan mereka dan memberi penerangan yang sebenarnya mengenai IS. Kalau mereka tidak bersetuju dengan penerangan yang diberikan, tetapi sekurang-kurangnya mereka mendapat pandangan kedua. Contohnya, remaja 14 tahun yang kita tahan, tetapi tidak didakwa dan kita bawa dia berjumpa ustaz dan pegawai polis yang mempunyai latar belakang agama dan kaunseling bagi memberi nasihat kepada mereka sepanjang tempoh tahanan sebelum dibebaskan. Tanpa risikan, hampir mustahil kita hendak bertindak. Sebab itu kita perlukan sokongan masyarakat, rakan seperjuangan mereka atau kakitangan jabatan kerajaan supaya memberi sokongan padu kepada polis. BH: Apa harapan Datuk dalam usaha mengenai ancaman IS? Ayub Khan: Pertama, perlu tegas kerana kita berhadapan dengan perang ideologi. Kalau tidak tegas dalam soal agama, perkara ini akan berlarutan. Ancaman militan bukan perkara baru kerana ia sudah masuk sejak era tahun 1960-an. Sebabnya ialah kita tidak tegas, anggap semua itu tiada apa-apa jika berbeza sedikit fahaman agama. Jangan sesekali terima fahaman luar, mesti berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Sejak 1,000 tahun lebih aliran yang menjadi peneraju kepada pentafsiran Ahli Sunnah Wal-Jamaah dalam bidang akidah ialah Asha'irah dan Maturidiah dan dalam bidang fekah, ia berasaskan kepada empat imam kita iaitu Imam Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi. Jangan terpengaruh dengan sesetengah golongan yang mendakwa tidak perlu mengikut mazhab dan haram bermazhab. Golongan ini mengaku sebagai ahli sunnah Wal-Jamaah, tetapi menolak ijmak dan kias.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/52666
0 Komentar untuk " Tidak tegas punca ideologi IS mudah meresap "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ