Jangan pandang rendah kuasa pengundi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan pandang rendah kuasa pengundi

SEJAK hari penamaan calon semua orang sudah meramalkan bahawa kerusi Parlimen Rompin akan kekal milik BN, dan kerusi Parlimen Permatang Pauh akan terus dipegang PR.

Maka tidak mengejutkan apabila pada 5 Mei calon BN Datuk Hasan Arifin diisytiharkan pemenang pada PRK Rompin, dan dua hari kemudian isteri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menang di Permatang Pauh.

Patut diperhatikan ialah majoriti pemenang dan peratusan keluar mengundi pada kedua PRK itu merosot. Ini semua patut membuka mata parti-parti terlibat bahawa kita tidak boleh sepatah kata orang putih take voters for granted.

Kedua pemenang patut ambil iktibar bahawa kalau mereka tidak buat kerja dengan baik mereka boleh ditolak rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Baik Wan Azizah atau Hasan, pamerkan kecemerlangan dan berkhidmatlah dengan bersih dan jujur kepada rakyat. Rakyat pinjamkan kerusi itu untuk sementara waktu, jangan naik tocang dan lupa diri.

TRAGEDI berdarah awal pagi minggu itu amat pilu. Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan anaknya yang berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa maut dalam kemalangan di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke).

Tiba-tiba sahaja dua orang anak mereka, Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4, menjadi yatim-piatu dan kini tinggal bersama nenek mereka.

Mengikut laporan awal, dan berdasarkan video yang menjadi viral, nahas tersebut berpunca daripada sikap pemandu enam buah kereta Myvi yang dikatakan berlumba sehingga kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa bergesel dan tersasar.

Polis berjanji akan menyiasat kes ini hingga ke akar umbi, dan pihak yang terlibat tidak akan terlepas daripada hukuman. Kalau betul seperti yang dikata, pelumba-pelumba haram itu patut diheret ke muka pengadilan.

APA yang terjadi di Duke adalah satu lagi bukti bahawa ramai pemandu kita kurang ajar dan menjadi samseng jalanan. Hanya beberapa hari sebelum tragedi tersebut pihak berkuasa memberi perangkaan maut sebagai peringatan untuk pengguna jalan raya. Purata, 18 orang mati setiap hari di jalan raya kita.

Itu yang disebut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan disahkan pula Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad.

Statistik 2014 menyebut sejumlah 6,674 maut di jalan raya seluruh negara. Angka ini terlalu tinggi, berbanding England dengan penduduk 60 juta, hanya sekitar 800 orang maut di jalan raya setiap tahun.

Kita ada litar lumba bertaraf dunia, tetapi pemandu kita yang kurang siuman lebih suka berlumba di lebuh raya. Sebab itu sampai sekarang kita belum ada pelumba profesional bertaraf dunia.

MEMANG menyakitkan hati. Pada 1 Januari sekilo kacang bendi yang biasanya dijual RM3.10 sekilogram tiba-tiba naik menjadi RM6.60. Pada 3 hingga 20 Januari sayuran yang sama dijual RM9.70 sekilogram.

Kerana kenaikan mendadak itu Jaya Grocer menjadi pasar raya pertama di negara ini dihadapkan ke mahkamah mengikut pertuduhan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Pengarahnya, Ting Pooi Guan, 59, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang didakwa dilakukan di premis Lot C8, Aras Bawah, Blok A, Pusat Beli-Belah Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 dan untuk kesalahan kali kedua serta berikutnya boleh didenda maksimum RM1 juta. Semoga ini menjadi iktibar kepada peniaga lain, supaya tidak sesuka hati naik harga.

AKHIR kalam, ngeri ada lucu pun ada. Berita dua hari lalu menyebut Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya mengeluarkan sebentuk cincin yang terlekat pada kemaluan seorang lelaki berusia 44 tahun yang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Timbul soalan, bagaimana cincin yang biasanya tersarung di jari manis tiba-tiba melekat di zakar?

Selain memadam kebakaran pasukan bomba juga kerap diminta menangkap ular masuk rumah, menyelamatkan mangsa banjir dan membantu hal-hal kecemasan. Kini bertambah satu lagi tugas bomba: menyelamatkan zakar!

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Jangan pandang rendah kuasa pengundi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ