Jangan lagi dibelenggu momok 13 Mei - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan lagi dibelenggu momok 13 Mei

MOMOK 13 Mei 1969 sudah lama menghantui kita. Berkali-kali kita diingatkan tentang apa yang berlaku pada hari tersebut. Lebih dari empat dekad telah berlalu, namun kita sentiasa diingatkan supaya tidak mencabar status quo, mempersoalkan ‘perkara-perkara sensitif’ dan untuk tidak membuat tuntutan yang pelbagai.

Apa juga perkara yang menyentuh dengan kaum dan agama, dan kadangkala perkara yang langsung tidak ada kena-mengena dengan kaum dan agama seperti pilihan raya kerajaan tempatan, kononnya boleh dan akan terjadinya peristiwa 13 Mei 1969 berulang semula.

Mempelajari dan mengingati sejarah adalah penting. Seperti kata filsuf George Santayana, “mereka yang tidak mengingati masa silam akan mengulanginya.” Kita harus memahami mengapa peristiwa berdarah 13 Mei berlaku untuk memastikan kita tidak menyaksikan ulangannya pada masa hadapan.

Tetapi pada masa sama, kita harus bergerak meninggalkan, atau dalam bahasa Inggeris, ‘move on’ daripada 13 Mei 1969. Apa yang berlaku pada hari itu harus dilihat dalam konteks zaman ia berlaku.

Malaysia pada masa itu adalah sebuah negara yang masih baharu. Penjajahan kolonial yang berabad lamanya telah mewujudkan ketidakadilan sosioekonomi yang begitu besar. Jurang antara kaum begitu luas dan situasi ini telah menyebabkan ketegangan kaum yang akhirnya meletus dengan keganasan di beberapa tempat di seluruh negara.

Malahan, boleh dikatakan bahawa rusuhan kaum pada hari tersebut tidak boleh dielakkan.

Dasar Ekonomi Baru, yang telah diperkenalkan akibat rusuhan kaum itu, telah berjaya menstrukturkan semula masyarakat kita. DEB telah mewujudkan kelas menengah Melayu yang besar dan juga sedikit sebanyak mengurangkan dominasi sesuatu kaum dalam pekerjaan. Banyak kritikan dibuat terhadap DEB dan dasar ekonomi selepasnya, tetapi pada masa sama kita tidak boleh menafikan kejayaannya dalam banyak hal.

Malaysia pada tahun 1969 banyak berbeza dengan Malaysia sekarang. Ya, ramai yang mengatakan bahawa Malaysia kini kurang toleran tetapi pada masa sama, sama ada kita sedar atau tidak, masyarakat Malaysia jauh lebih bersepadu jika berbanding dahulu.

Suatu keluarga Melayu kelas menengah di Lembah Kelang mempunyai lebih persamaan dengan keluarga India atau Cina kelas menengah, berbanding dengan keluarga Melayu di..., contohnya, Kodiang, Kedah.

Isu-isu seperti nilai hartanah yang meningkat, barangan harian yang meningkat, petrol, kesesakan lalu-lintas, inflasi dan GST mempunyai kesan kepada semua, tidak kira ras atau agama. Golongan kelas rendah dan kelas menengah semua kaum berasa keperitan GST, contohnya.

Atas dasar ini, kebarangkalian tercetusnya rusuhan kaum seperti 13 Mei adalah tipis. Kalau terjadi sekalipun, ia adalah kejadian yang terpencil, tidak seperti rusuhan 13 Mei.

Jadi mengapa kita masih sentiasa dibelenggu dengan 13 Mei? Kenapa setiap kali politikus dan personaliti begitu gemar membangkitkan hari tersebut? Kenapa kita tidak 'move on' daripada apa yang berlaku pada ketika itu?

Realitinya adalah kita sebenarnya sudah lama 'move on'. Hanya politikus dan personaliti yang mempunyai kepentingan sahaja yang sering membawa kita ke peristiwa bersejarah tersebut, demi kuasa dan kepentingan. 13 Mei adalah suatu perkara yang begitu mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak ini.

Kita harus tolak mereka yang sering mahu membangkitkan momok 13 Mei ini. Secara kolektif, sebagai rakyat Malaysia, kita harus menegur mereka ini, setiap kali rusuhan kaum digunakan sebagai alat politik.

Kita harus ingatkan pada mereka bahawa kita sudah terlalu lama menjadi rakyat Malaysia, bersama, untuk kita sekali lagi menumpahkan darah sesama rakyat Malaysia.

Ayuh kita nyah momok 13 Mei.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

0 Komentar untuk " Jangan lagi dibelenggu momok 13 Mei "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ