Inisiatif Malaysia jadi pengeluar vaksin halal tindakan bijak - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Inisiatif Malaysia jadi pengeluar vaksin halal tindakan bijak

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, dalam ucapan perasmian bagi World Halal Forum 2014, mengumumkan bahawa Malaysia bakal menjadi pengeluar utama vaksin halal pada tahun 2017. Menurut beliau beberapa syarikat dari negara Islam lain telah bersedia untuk melabur kira-kira AS$100 juta (RM360 juta) untuk tujuan penghasilan vaksin halal bagi penyakit seperti meningtis, hepatitis dan meningococcal. Dalam pada itu, kira-kira setahun sebelum pengumuman ini dibuat, Exco Kesihatan bagi kerajaan negeri Pulau Pinang membuat kenyataan media bagi mendedahkan tindakan kurang bijak sebahagian ibu bapa kini yang menolak program imunisasi bagi anak mereka atas faktor keagamaan. Beliau menyatakan bahawa kini sudah ada trend dalam kalangan ibu bapa sangsi terhadap garis panduan imunisasi yang telah ditetapkan kerajaan. Keluhan Exco berkenaan adalah berasas berikutan terdapatnya kes yang dilaporkan mengenai kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun akibat jangkitan penyakit diptheria disebabkan ibu bapa kanak-kanak itu menolak program imunisasi terhadap anak mereka. Penolakan itu atas alasan ragu-ragu terhadap keselamatan, keberkesanan dan status halal bagi vaksin. Isu ini menimbulkan tanda tanya adakah penghasilan vaksin halal dapat meleraikan kesangsian terhadap program imunisasi dalam kalangan masyarakat Islam di negara kita? Kenal pasti kesan positif atau negatif Tumpuan terhadap isu etika dalam program imunisasi kini mendapat perhatian sarjana dan pengkaji. Isu terbabit adalah kerangka pelaksanaan program imunisasi seperti peranan yang dimainkan kerajaan dalam membangunkan, mempromosi dan mengawal selia program imunisasi. Ini menyangkut aktiviti seperti menjalankan uji kaji terhadap manusia, memastikan akses jangka panjang terhadap imunisasi, serta mengenal pasti kesan positif atau negatif daripada program pencegahan ini. Konsep herd immunity iaitu perlindungan daripada penyakit akibat tingginya tahap imunisasi dalam sesebuah kelompok masyarakat juga membangkit beberapa isu etika. Sebarang keputusan seseorang individu berkaitan imunisasi tidak hanya memberi kesan terhadap dirinya semata-mata tetapi turut juga membabitkan masyarakat secara keseluruhannya. Isu lain berhubung etika dalam program imunisasi adalah berkaitan dengan konsep preventive problem. Hal ini membabitkan persoalan seperti kewajaran menjalankan usaha pencegahan ke atas individu sihat, kewajaran menghadapi risiko tertentu oleh kerana imunisasi sering didakwa mempunyai kesan sampingan serta persoalan kontradiksi antara manfaat kolektif serta risiko bagi individu. Program imunisasi walaupun memberi manfaat secara kolektif kepada masyarakat, tidak dinafikan kadangkala membawa risiko kepada individu tertentu yang mungkin terdedah kepada kesan sampingannya. Persoalan ini perlu dicermati. Program imunisasi perlu penuhi kriteria maqasid al-syariah Daripada sudut pandang Islam, segala program berkaitan dengan perubatan seharusnya memenuhi kriteria digariskan maqasid al-syariah. Berhubung hal ini, Prof Abu Fadl Mohsin Ibrahim menjelaskan bahawa program imunisasi secara dasarnya memenuhi kelima-lima elemen dalam objektif syarak. Contohnya, dari sudut pemeliharaan agama (hifz al-din), individu yang melalui imunisasi mampu menjalankan kewajipan agama dengan lebih baik berikutan kualiti kesihatannya terpelihara. Program imunisasi di seluruh dunia juga telah memperlihatkan kejayaan dalam menyelamatkan jutaan nyawa daripada jangkitan pelbagai jenis penyakit, justeru memenuhi aspek pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs). Ibu bapa yang membekalkan imunisasi kepada anak supaya mereka terhindar daripada penyakit berjangkit telah memenuhi tuntutan pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl). Melalui imunisasi, seseorang dapat menikmati ketenangan fikiran apabila menyedari bahawa keluarga dan masyarakatnya terpelihara daripada penyakit berjangkit dan ini memenuhi aspek pemeliharaan akal (hifz al-aql). Akhir sekali, program imunisasi dapat menjamin pemeliharaan perbendaharaan negara (hifz al-mal) kerana ia menawarkan kaedah pencegahan yang berkos efektif berbanding perbelanjaan merawat penyakit atau wabak yang telah merebak. Walau bagaimanapun, dengan hanya memenuhi kriteria maqasid al-syariah semata-mata tidak memadai untuk menangani isu yang kompleks dan mempunyai pelbagai dimensi ini. Penulis mencadangkan agar beberapa prinsip utama dalam etika perubatan, melalui kaca mata Islam hendaklah juga diambil kira dalam rangka memberi penyelesaian yang tuntas dalam isu ini. Tiga prinsip itu adalah: autonomi, kemanfaatan dan keadilan. Dalam etika bio-perubatan Barat, konsep autonomi mereka menyatakan bahawa keputusan pesakit hendaklah diterima oleh pegawai perubatan walaupun ia keputusan yang salah. Sebaliknya dalam sudut pandang Islam, kebajikan seseorang individu berkait rapat dengan kebajikan keluarga dan masyarakatnya. Oleh itu, keabsahan autonomi individu adalah bergantung kepada kesannya terhadap dua institusi yang disebutkan. Seorang doktor misalnya dibolehkan menolak untuk merawat pesakit atau menjalankan rawatan bukan di atas kerelaan pesakit itu dengan berpandukan kepakaran dan pertimbangan beliau mengenai kesan jangkitan kepada pihak lain. Walau bagaimanapun ini tidaklah bermakna autonomi individu diabaikan. Dalam program imunisasi contohnya, pegawai perubatan yang menjalankan suntikan vaksin dicadangkan memaklumkan kepada pihak ibu bapa mengenai kepentingan imunisasi, manfaat serta risiko yang berkaitan dengan hal itu. Malahan sebahagian pengkaji menyarankan agar ibu bapa diberi hak menolak imunisasi dalam keadaan potensi jangkitan penyakit ke atas anak mereka adalah rendah. Prinsip kemanfaatan Prinsip kemanfaatan di sini mempunyai persamaan dengan konsep memelihara kemaslahatan (jalbu al-masalih) dan menolak sebarang kemudaratan (dar'u al-mafsadah) dalam Islam. Ini juga membawa kepada prinsip lain iaitu kemudaratan dapat dijustifikasikan hanya apabila ia dapat membawa kemanfaatan lebih besar. Ini disentuh oleh kaedah fiqah Islam yang berbunyi: 'manfaat yang lebih besar diutamakan daripada mudarat yang kecil.' Berhubung program imunisasi, kemanfaatan bagi seseorang kanak-kanak berkait rapat dengan tahap imunisasi komunitinya. Jika 95 peratus kanak-kanak dalam sesebuah komuniti mendapat imunisasi, maka kebarangkalian seseorang kanak-kanak mendapat jangkitan adalah rendah. Untuk menjalankan imunisasi ke atasnya akan membabitkan isu etika akibat kebarangkalian untuk mendapat kesan sampingan daripada suntikan vaksin. Dalam keadaan kurang daripada 80 peratus kanak-kanak yang menjalani imunisasi iaitu tidak wujudnya herd immunity. maka memilih imunisasi bagi seseorang kanak-kanak adalah memenuhi prinsip etika. Dalam kondisi ini adalah lebih penting melindungi kanak-kanak daripada penyakit daripada mempertimbangkan isu kesan sampingan. Walau bagaimanapun, dengan merujuk kepada perkembangan semasa dalam penyelidikan saintifik, kemanfaatan paling maksimum bagi seseorang kanak-kanak dapat dipenuhi dengan mendapatkan imunisasi dan berada dalam komuniti yang mempunyai tahap imunisasi yang tinggi. Mampu penuhi permintaan dalam kalangan negara Islam Prinsip keadilan pula bermaksud hak yang sama rata untuk mendapatkan imunisasi tanpa mengira aspek umur, gender, etnik, kewarganegaraan, tahap ekonomi dan sebagainya. Namun begitu, untuk merealisasikan hal ini agak sukar kerana realitinya bekalan vaksin dihasilkan oleh syarikat multinasional yang terhad bilangannya serta penghasilannya memerlukan kos yang tinggi dan memakan masa panjang. Melalui inisiatif Malaysia untuk menghasilkan vaksin halal ini, diharapkan ia sedikit sebanyak mampu untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah khususnya dalam kalangan negara Islam yang sedang membangun serta mempunyai tahap imunisasi yang rendah. Inisiatif Malaysia untuk menjadi pengeluar vaksin halal tidak dinafikan lagi adalah tindakan yang bijak. Ia secara tidak langsung mampu meleraikan kesangsian terhadap program imunisasi dalam kalangan masyarakat Islam. Walau bagaimanapun, isu-isu etika yang sudah lama dikaitkan dengan program imunisasi hendaklah dicermati dan ditangani dengan bijak oleh pihak berwajib. Berbekalkan prinsip maqasid al-syariah dan etika perubatan kontemporari, inisiatif ini diharapkan mampu membawa kemanfaatan dari sudut pembangunan sosioekonomi negara dan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/53146
0 Komentar untuk " Inisiatif Malaysia jadi pengeluar vaksin halal tindakan bijak "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ