Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa penting yang menjadi anugerah tinggi nilainya dari segi kerohanian. Peristiwa ini juga sebenarnya memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan Allah SWT. Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm setiap Jumaat jam 10.15 pagi, menjelaskan mengenai peristiwa Israk Mikraj yang juga satu peristiwa tidak logik apabila difikirkan oleh akal manusia yang lemah, tetap ia benar-benar berlaku malah tidak mustahil jika dinilai dengan iman. Di sini letak bezanya antara logik akal dan iman. Bagi orang Mukmin, yang didahulukan ialah iman dan bukannya logik akal kerana ada ketikanya akal tidak mampu menanggapi sesuatu perkara yang di luar kemampuannya. Pengajaran dan asas terpenting di sebalik peristiwa tersebut selain daripada kewajipan solat serta keadaan penghuni syurga dan neraka, lebih penting dari itu adalah untuk memaku akidah umat Islam terhadap ajaran Islam itu sendiri. Bilakah terjadi peristiwa Israk Mikraj? Beberapa riwayat menjelaskan pendapat berbeza. Ulama berpendapat bahawa peristiwa Israk Mikraj itu terjadi pada hari Jumaat, 27 Rejab. Pengajaran di sebalik Israk Mikraj Ini pandangan paling mahsyur dalam kalangan umat Islam. Imam al-Nawawi sendiri memiliki dua pendapat yang berlainan. Dalam kitab al-Raudah beliau menegaskan bahawa Israk Mikraj berlaku pada 27 Rejab. Sementara dalam kitab Fatawa, beliau mengatakan ia berlaku pada 27 Rabiulawal. Apapun bila secara tepat peristiwa Israk Mikraj itu berlaku bukan perkara pokok, yang lebih penting ialah mengimani ia berlaku dan mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut. Peristiwa Israk Mikraj tertulis di dalam al-Quran, melalui Surah al Israa' ayat pertama di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." Perjalanan spiritual Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh, seperti mana yang digambarkan oleh al-Quran dalam Surah an-Najm, ayat 13 hingga 18, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat Jibril (dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain di Sidratul Muntaha. Di situ ada syurga tempat tinggal (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar. Dengan ini jelas bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah satu perjalanan spiritual Nabi Muhammad SAW pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha, bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama. Sememangnya peristiwa Israk Mikraj ini sangat hebat dan luar biasa, bahkan jika dinilai oleh logik akal manusia yang lemah tidak mampu untuk mempercayai peristiwa ini, namun kerana keimanan yang tinggi akan kekuasaan Allah SWT sudah pasti ia adalah perkara yang sebenar-benar berlaku dan dengan izin Allah tidak pernah ada perkara mustahil di dalam dunia ini. Teladani akhlak sahabat Nabi Apabila berbicara tentang soal sama ada peristiwa Israk Mikraj perkara benar atau sebaliknya, Tuan Syed Norhisyam mengajak pembaca mengambil teladan dari akhlak sahabat Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang membenarkan dan meyakini sepenuhnya akan peristiwa ini. Saidina Abu Bakar dengan keimanan yang tinggi tidak mempertikaikan apatah lagi meragui peristiwa luar biasa yang dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW pada saat ada penduduk Makkah ketika itu yang ragu tentang peristiwa tersebut. Hari ini banyak pandangan ilmiah daripada ahli sains yang membuktikan peristiwa Israk Mikraj bukan perkara mustahil berlaku. Misalannya mengambil teori kelajuan cahaya iaitu kaitan perjalanan dan kelajuan perjalanan Israk dan Mikraj ini melalui teori kecepatan kelajuan cahaya. Perkara ini didedahkan oleh pakar fizik iaitu Albert Einstein, yang mengambil masa kira-kira 12 tahun untuk melengkapkan Teori Relativiti Khas kepada Teori Relativiti Umum. Teori ini menjelaskan mengenai cahaya iaitu kelajuan cahaya, seseorang itu tidak akan tertakluk atau terhad kepada masa dan tempat. Bagaimanapun, sebagai umat Islam yang beriman, tidak perlu kita untuk mencari bahan bukti bagi mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini. Marilah sama-sama kita menuruti apa yang dilakukan oleh Abu Bakar yang menerima peristiwa tersebut tanpa ragu-ragu kerana keimanan yang tinggi kepada Allah SWT. Peristiwa Israk Mikraj adalah suatu perjalanan agung yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa ketakwaan terhadap Allah SWT menerusi sebahagian tanda kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Penulis ialah Penyampai, Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm, Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa IKIMfm
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/56629
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/56629
0 Komentar untuk " Agama: Israk Mikraj dinilai ikut iman bukan logik akal "