Perkuat akal melalui ilmu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perkuat akal melalui ilmu

Akal memainkan peranan penting dalam membina kekuatan diri. Islam menggalakkan penggunaan akal, namun bukan akal secara mutlak dan bersendirian sebaliknya akal yang dipandu dengan panduan agama dan syariat. Felo Utama dan Pengarah Syarak, Dr Mohd Farid Mohd Syahran menyentuh hal ini dalam bicaranya mengenai 'Membina Kekuatan Jiwa Dalam Pendidikan' yang bersiaran dalam program Guru dan Pendidikan di radio IKIMfm, hari Selasa jam 5.15 petang. Terdahulu, beliau mengupas perkataan jiwa itu sendiri yang sering dikenali sebagai kalbu, roh, diri dan satu lagi istilah ialah 'akal'. Akal sentiasa dirujuk kepada intelek, aspek logik, aspek rasional dan kalau dirujuk kepada al-Quran, 'akal' amat rapat dan sentiasa merujuk kepada perkara yang tinggi termasuklah aspek ketuhanan. Mereka yang kuat akalnya itulah orang yang dekat dengan ketuhanan. Orang yang kuat akal akan menjadi orang yang mampu mengawal emosinya. Perkara ini perlu dijelaskan kerana kita tidak boleh menjauhkan 'akal' itu dari aspek ketuhanan kerana ada kecenderungan dalam masyarakat kita yang melihat bahawa penilaian akal itu tidak benar dan hanya bersifat duniawi semata-mata, tersasar daripada iman dan membawa kesesatan. Kecenderungan ini kurang tepat kerana 'akal' juga memainkan peranan penting dalam Islam dan lantaran itulah kita sering menemui ayat-ayat al-Quran yang menyebut 'afala ta'qilun' atau 'afala tatafakkarun' dan seumpamanya (kenapa kamu tidak berfikir?). Galak akal berfikir kebesaran Allah Islam menggalakkan penganutnya menggunakan akal dalam memikirkan tanda kebesaran Allah SWT. Orang yang serius dalam menggunakan akalnya itu akan menghampiri kebenaran. Penggunaan akal tidak boleh dipisahkan daripada agama, tetapi akal perlu bergerak seiring agama. Akal ini mengikut Imam al-Ghazali seperti yang dinukilkan dalam Kitab Ajaib al-Qalb yang merujuk kepada empat perkara. Pertama, pembawaan tabii dalam diri manusia yang membezakan manusia daripada makhluk lain. Maknanya apabila manusia menggunakan akal yang juga tabii dalam dirinya dengan betul dan memperkukuhkan elemen yang membawa kepada kuatnya akal, ia mampu membezakan manusia dengan haiwan. Bahkan ia menjadi manusia sebagai makhluk yang sebaik-baik kejadian (ahsanul taqwim). Oleh itu, untuk menjadi manusia yang paling baik ialah dengan cara memperkuatkan akal dan cara memperkuatkan akal itu ialah melalui ilmu. Lantaran itu, kita sering mendengar pesan orang tua-tua dahulu setiap kali menghantar anak mereka ke sekolah dengan ungkapan "kau pergi sekolah ini agar menjadi manusia". Sebenarnya orang tua dulu faham mengenai falsafah pendidikan itu sendiri dalam konteks yang paling mudah difahami iaitu untuk melahirkan manusia kerana hanya dengan ilmu sahajalah 'manusia' sebenarnya akan dapat dilahirkan. Tanpa ilmu walaupun manusia itu jasadnya manusia, namun akhlak dan peribadinya mungkin lebih teruk daripada binatang bahkan lebih daripada itu sehingga adanya istilah yang sering digunakan iaitu 'syaitan bertopengkan manusia' sebagai menggambarkan bagaimana sifat manusiawi yang mulia itu sudah tiada pada individu berkenaan. Maksud kedua mengikut Imam al-Ghazali, akal itu ialah apabila ilmu daruri atau 'ilmu yang pasti' datang pada diri seseorang. Oleh itu, dalam Islam ada istilah 'akil baligh' yang merujuk kepada sampainya umur akalnya dan kemampuan akal untuk menerima tanggungjawab (taklif). Justeru, mereka ini disebut mukalaf iaitu orang yang dipertanggungjawabkan. Kenapa mereka mula dipertanggungjawabkan? Kemampuan akal mereka untuk memilih baik dan buruk, benar dan jahat. Sekiranya akal mereka masih belum sempurna untuk menilai dan membezakan sesuatu, maka selama itu mereka tidak dibebankan dengan tanggungjawab. Kepentingan akal dalam agama Oleh sebab itu kanak-kanak, orang gila atau orang terlalu tua yang sudah nyanyuk atau lemah daya akalnya tidak lagi dibebankan dengan tanggungjawab agama kerana kemampuan akalnya yang sudah tidak sempurna. Ini jelas menunjukkan betapa akal itu amat penting dalam agama. Ketiga, akal merujuk kepada pengalaman hidupnya. Jika seseorang itu lama hidupnya, lebih banyak pengalamannya dan sepatutnya lebih kuat daya akalnya. Keempat, akal itu merujuk kepada kekuatan dalam diri membolehkan seseorang itu mengetahui akibat sesuatu itu baik atau buruk. Lagi kuat seseorang itu untuk membuat penilaian terhadap baik buruk sesuatu perkara, maka menjadi dalil betapa kuat akalnya. Sebab itu antara ciri pemimpin ialah memiliki akal yang 'tadabbur' iaitu mampu merenung jauh dalam setiap tindakan yang diambil. Jika pemimpin tidak mampu membuat analisis dengan lebih baik terhadap sesuatu baik atau buruk, maka beliau bukan seorang pemimpin yang baik. Bagaimana pula cara untuk memantapkan daya pemikiran dan akalnya? Akal manusia ini mempunyai kemampuan menggambarkan (tasawur) sesuatu. Sebagai contoh konsep kecantikan mampu digambarkan secara automatik oleh akal. Akhirnya manusia seakan boleh sepakat terhadap sesuatu itu cantik, walaupun ia sesuatu yang bersifat konsep dan abstrak. Begitu juga apabila kita melihat kereta atau pokok. Kita seakan sepakat mengenai konsep kereta atau pokok dalam akal kita. Begitu juga peranan akal ialah menyusun cara berhujah, menggunakan premis yang logik dalam menyampaikan kepada kesimpulan atau rumusan. Dalam gagasan pendidikan baharu bagi melahirkan pelajar yang mampu berfikir aras tinggi, kemampuan akal perlu dipertingkatkan sehingga mampu membuat perbandingan, menganalisis (analitikal), dan mengaplikasi teori baharu dalam kehidupan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/48843
0 Komentar untuk " Perkuat akal melalui ilmu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ