Penangan ‘Baby Mac’ - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Penangan ‘Baby Mac’

SESIAPA sahaja pasti tertawan dengan kecomelan pastri mini Macaroons atau lebih dikenali dengan nama, Baby Mac yang mempunyai rasa manis dengan pelbagai warna dan juga inti.

Jika dahulu, saiz pastri tersebut agak besar tetapi Baby Mac hanya bersaiz duit syiling 20 sen dan sesuai dijadikan door gift atau hantaran kahwin.

Rasa kurang manis penuhi cita rasa

Bagi seorang suri rumah, Ainawaty Hanany Yusoff, 37, yang tidak meminati makanan manis mengakui setelah mencuba Baby Mac buatan Fads Homemade Kitchen beliau kini menggemarinya.

“Saya bukan penggemar makanan manis seperti Baby Mac, tetapi selepas mencubanya pertama kali rasanya sangat berbeza dan saya menyukainya begitu juga anak-anak saya," katanya."

Ainawaty Hanany juga turut membantu Fads Homemade Kitchen mempromosi kek dan biskut tersebut kepada rakan dan jirannya jika mereka bertandang ke rumahnya.

“Dalam banyak inti, saya paling menggemari mentega kacang kerana gabungannya menjadikan ia satu kombinasi yang sesuai dengan selera saya," katanya.

Sesuai dijadikan hantaran, hadiah

Sementara itu, seorang penjawat awam, Nor Ain Zainuddin, 26, menjadikan Baby Mac sebagai hadiah kepada sahabat-sahabatnya atau hidangan untuk tetamu yang datang ke rumahnya.

“Baby Mac mempunyai jangka hayat yang tahan lama berbanding makanan atau manisan lain yang cepat rosak dan kerana itu saya selesa menjadikannya sebagai hadiah," katanya.

Menurut Nor Ain, manisan itu kini menjadi trend kepada golongan muda terutamanya pasangan pengantin untuk dijadikan sebagai salah satu hantaran perkahwinan.
“Walaupun ia tampak ringkas, tetapi warnanya yang pelbagai di dalam satu bekas menjadikan ia cantik dipandang dan menarik untuk dimakan," katanya.

Harga Baby Mac berpatutan

Manakala bagi pelajar universiti, Siti Munirah Mohammed Pauzi, 23, beliau menyukai manisan tersebut kerana rasanya dan bentuk Baby Mac itu sendiri yang comel.

“Ia tampak eksklusif terutamanya untuk majlis keraian atau perayaan apabila dihidangkan kepada tetamu yang datang atau sesuai sebagai hidangan minum petang,” katanya.

Menurutnya, harga yang ditawarkan sangat berpatutan apatah lagi tepung yang digunakan adalah berkualiti dan sukar didapati dalam pasaran tempatan.

Permintaan luar biasa

Bagi pengusaha kek dan biskut, Norhidayah Mohd Ariffin, 33, berkata permintaan terhadap Baby Mac sangat luar biasa berbanding kek atau biskut lain buatannya.

Katanya, idea untuk menjual pastri tersebut tercetus selepas memikirkan kebanyakan produk bakeri tidak tahan lama dan mempunyai jangka hayat tidak lebih daripada seminggu.

“Baby Mac mampu bertahan berbulan berbanding biskut biasa ataupun kek yang sedia ada di pasaran.

“Walaupun saya baharu mengusahakan awal tahun ini, namun jualan Baby Mac sangat memberangsangkan di mana saya menerima tempahan setiap hari dari pelanggan dan juga ejen saya,” katanya yang turut mendapat tempahan daripada sahabatnya bekerja di Arab Saudi.

Menurutnya, Baby Mac buatannya itu kurang manis kerana tidak semua orang suka makan makanan manis.

“Terdapat banyak perisa inti seperti mentega kacang, coklat dan juga Nutella yang dijual dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata ini sangat aktif memasarkan pelbagai pastri buatannya di laman sosial seperti Facebook dan Instagram menggunakan nama sendiri, Norhidayah Mohd Ariffin untuk tempahan.

0 Komentar untuk " Penangan ‘Baby Mac’ "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ