Membangun jiwa rukuk & sujud - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Membangun jiwa rukuk & sujud

IBADAH dalam erti kata yang terbatas lebih bersifat tatacara kerohanian menghubungkan hamba dengan Khaliq. Ibadah dalam erti kata yang luas mencakup hubungan dengan ALLAH, sesama manusia, persekitaran dan sistem.

Rukuk dan sujud tidak hanya dibatasi dalam solat sahaja tetapi ia terkandung hikmah yang besar para abid atau ahli ibadah.

Jiwa rukuk dan sujud membayangkan rasa kehambaan yang tinggi terhadap Pencipta. Ia membawa natijah patuh, taat, akur dan tunduk dalam kehidupan.

Kehidupan manusia memerlukan sifat patuh kepada titah-perintah ALLAH, sifat taat kepada pantang larang ALLAH, sifat akur kepada pedoman baik daripada ALLAH dan sifat tunduk kepada hikmah kejadian ALLAH.

Konsep ibadulullah dan ibadurrahman ini adalah simbolik kepada asas pembentukan sikap, watak dan akhlak supaya apa yang diimani dan diyakini diterjemah dalam amal. Amal yang soleh menghasilkan iklim hidup dan hubungan sesama manusia yang soleh.

Pada hakikatnya alam dan segala kejadian yang berkaitan dengannya memiliki sifat “kehambaan” juga. Memahami Sunatullah ialah memahami gerak kerja alam yang sentiasa patuh dengan ketentuan ALLAH dan menatijahkan keseimbangan, keteraturan dan ketertiban terjadi.

 Jiwa rukuk dan sujud membawa kepada khusyuk dan menjadikan akal, hati dan amal manusia dalam fokus. Fokus ini dipandu oleh ihsan yang tinggi bahawa meskipun dalam melakukan amal soleh (hadis) kita tidak melihat ALLAH tetapi keyakinan yang tinggi pada hati ialah ALLAH melihat kita (God-Conciuosness).

Asas ihsan (God-Conciousness) menjadi terlalu penting kepada para abid kerana ia menjadi barometer yang membezakan manusia melakukan amal dengan pertimbangan ALLAH (ikhlas) dan sentiasa merasakan apa yang dicakap, dibuat dan diamalkan sentiasa dalam pemerhatian ALLAH.

Jiwa rukuk dan sujud bakal membangunkan suatu peribadi yang terhubung baik dengan ALLAH dan memiliki keyakinan ALLAH itu adalah segala-gala dalam hidup ini.

Daripadanya manusia memiliki daya tawakal yang tinggi di samping usaha yang berterusan untuk mencari redaNya. ALLAH berikan kita akal untuk berfikir dan menjana ilmu.

ALLAH berikan kita hati untuk melakukan pertimbangan yang terbaik dan ALLAH berikan kita daya untuk melakukan amal yang dizinkanNya lalu amal ini akan berkembang sebagai barakah.

Barakah dalam konteks jiwa rukuk dan sujud tidak saja memberi manfaat kepada diri sendiri tetapi juga kepada yang lain. Sifatnya ibarat mata rantai yang berkembang memberi manfaat kepada yang lain.

Kejujuran yang dimiliki bila diterjemahkan dalam amal memberi kebaikan kepada yang lain dan yang lain memiliki sifat sama, bakal memberi manfaat kepada yang lain pula.

Ibadah dalam erti kata luas tidak sekadar melepasi lingkungan spiritual. Asas spiritualiti yang menghubungkan kita dengan ALLAH secara rohaniah menjadi landasan mengembangkan amal soleh dalam pelbagai dimensi kehidupan.

Jiwa rukuk dan sujud nantinya terlihat dalam dakwah dan tarbiah, ia terguna pakai dalam proses pengilmuan dan pendidikan. Ia dimanfaatkan dalam muamalah dan membina jaringan komunikasi serta muafakat.

Ia membangunkan jiwa jemaah dan pintar memahami cabaran dan maslahat. Daripadanya menjadikan umat Islam lebih berhemah dan bijaksana.

Justeru membangun jiwa rukuk dan sujud dalam konteks ibadah yang luas menjadikan asas takwa sebagai tunjang amalan. T

anpanya manusia cenderung lupa dan lalai serta menyebabkan kecelaruan dan kekeliruan terjadi. Sebab itu konsep aqimussolat atau bina solat itu memberi natijah mengenai pekerti manusia yang berwatak fahsya’ dan mungkar.

Fahsya’ dan mungkar boleh terjadi dalam hubungan sesama manusia, boleh berlaku dalam sistem muamalah dan jual-beli, boleh berlaku dan proses pengilmuan dan pendidikan, boleh terjadi dalam usaha mengatur sistem melainkan jiwa rukuk dan sujud menjadi pedoman kepada kita apa saja yang dilakukan terhubung kait dengan maksud kekhusyukan kita dalam membina solat.

Jiwa rukuk dan sujud ini menjadi terlalu penting dalam dan di luar solat kerana Islam itu agama yang indah. Keindahan Islam tidak saja terlihat dalam solat tetapi roh assolat terlihat dalam pekerti dan sahsiah, amalan dan sistem.

Melakukan solat kita dianjur membersihkan hati dan mensucikan diri, istiqamah dalam jemaah dan binaan ukhuwah supaya roh al masajid terpancar di luar dan menjadi sumber ikutan serta pedoman kepada manusia lain. Itulah Islam dalam konteks ibadah yang menjadi sumber contoh kepada umat manusia.

* Prof Dr Sidek Baba ialah pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Membangun jiwa rukuk & sujud "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ