LKY: Legasi & masa depan dwihala - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

LKY: Legasi & masa depan dwihala

HARRY Lee Kuan Yew (LKY) telah pergi meninggal nama baik dan harum. Seperti harimau, tidak segan dan takut, menunjuk dan menggunakan kekuasaan mempertahan,
memperteguh kepentingan dan ketahanan Singapura, pemerintahan, parti, dasar dan survival politiknya.

Riwayatnya dan Singapura moden sinonim. Kematiannya menimbulkan satu soalan penting: masa depan republik itu dalam era rakyat mendesak dan menuntut lebih kebebasan, keprihatinan kepada hak asasi manusia dan perbelanjaan lebih banyak untuk sosial dan kebajikan.

Madah kritiknya, saya percaya sekarang pun, mereka menegaskan tanda sebuah masyarakat itu atau sebuah negara sudah benar-benar matang dan mencapai tahap dunia pertama, kedua-dua yakni rakyat dan negara mestilah tidak terlampau sangat dikongkong.

Apa pun kelancaran dan tahap profesionalisme - ringkas, padat tanpa mengorbankan tradisi, upacara istiadat persemadian negara Lee Kuan Yew jelas menunjukkan Singapura, perkhidmatan awam, angkatan bersenjatanya dan tingkah-laku rakyatnya memberi penghormatan kepada Bapa Kemerdekaan, Bapa Kemakmuran dan Keselamatan - telah memasuki tamadun dunia kelas pertama.  

Impak Kuan Yew kepada sejarah Malaysia kalaupun tidak besar- powerful- berpengaruh melalui konsep Malaysian Malaysia antonim pada Kontrak Sosial atau Ketuanan Melayu jika keutamaan untuk Peribumi diterjemahkan demikian. Kerana Malaysian Malaysia Singapura terpaksa 'diceraikan' tegas Kuan Yew. Beliau betul, kerana itu antara sebabnya tetapi tidak, “the sole reason” jelas Speaking.

Justeru, kita kehilangan New York (yakni Singapura) dan Singapura Washington DC (yakni Kuala Lumpur). Pada peringkat peribadi pula, saya bersama Datuk Abdullah Majid dan Tan Sri Abdul Samad Ismail dimomokkan oleh musuh kami sebagai ‘Tiga Abdul’ ditahan kerana intervensi pemerintahan Singapura dalam urusan pentadbiran Hussein Onn / Ghulam (Ghazali Shafei) dalam tahun 1976.

Justeru, riwayat saya berlainan dan juga kesudahan kerjaya politik saya tidak sama seperti yang dirancang oleh Tun Razak atau seperti ditakuti oleh lawan.

Menunjuk dan membuktikan kami bertamadun, Kuan Yew serta saya berkomunikasi dan bertemu - bukan satu dua kali- tetapi kami tidak sekali pun pernah membangkit apa lagi membincangkan masa silam terutama manipulasinya dalam politik Malaysia selepas kemangkatan Tun Razak.

Konsentrasi kami adalah menilai politik semasa, masa kemuka, potensi dan kapasiti Malaysia serta Singapura menghadapi cabaran globalisasi, Political Islam, perpaduan etnik dan geopolitik yang berubah-ubah.

Kekecewaan terbesar Kuan Yew - beliau mengaku dalam tulisan dan temu ramahnya - adalah kegagalannya mengekalkan perjuangan seumur hayatnya iaitu percantuman Singapura dan Malaya.

Itulah kata Speaking, “Lee Kuan Yew’s greatest moment of anguish” iaitu  tatkala Kuan Yew menitis air mata mengumumkan serentak dengan Tunku Abdul Rahman Putra di Kuala Lumpur dan Kuan Yew di Singapura penceraian antara kedua wilayah pagi 9 Ogos 1965.

Sepanjang minggu lepas, Singapura wajar teruja memperingati Kuan Yew seperti tulis Tash Aw, novelis peranakan Malaysia: “by reliving the heady, optimistic days of 1960s politics. At the same time, it was reminding its citizens, especially the young, that its transformation from backwater to economic powerhouse should continue to be a cause for celebration and gratitude,”- transformasi Singapura ke tahap sekarang harus diingati terutama oleh muda-mudi Singapura; dirayakan juga berterima kasih terhadap sumbangan Kuan Yew.

Tangisan, kesedihan dan kehormatan yang dizahirkan mereka jujur dan ikhlas. Meskipun begitu rakyat Singapura termasuklah kumpulan yang cepat marah (disgruntled) tidak bijak menganggap kejayaan mega mereka akan berterusan.

Benar Singapura kini mendahului negara lain dalam Asean. Kita pun, dari segi per kapita GDP, seperti seorang kerdil (dwarf) berbanding Singapura, seorang gergasi apatah pula Kemboja, Laos hatta Indonesia, Filipina, Thailand, Myanmar dan Vietnam.

Hanya Brunei setaraf Singapura. Singapura maju, makmur, menikmati taraf  hidup tinggi (juga sara hidup antara tertinggi di dunia) tetapi  40 peratus pengundi menolak parti pemerintah PAP pada Pilihan Raya Umum Singapura tahun 2011.

Masa depan Singapura? Ramai yakin cerah sebab anak Kuan Yew, Hsien Loong, 63, sudah lama jadi Perdana Menteri dan kebolehannya sudah teruji. Walaupun dia tidak mempunyai karisma dan ketokohan bapanya (stature) beliau juga tidak dilihat keras dan kejam (ruthless).

Saya dengar Hsien Loong lebih kosultatif dan bertimbang rasa. Saya hanya pernah bercakap dengan Hsien Loong beberapa patah dalam majlis makan malam tahunan dan syarahan Pyramid Club Singapura di mana saya pemidato tujuh tahun lalu.

Saya duduk di sebelah bapanya di meja utama dan Hsien Loong di meja lain. Ada pemerhati berkata, Hsien Loong akan meneruskan warisan bapanya. Ada juga mengatakan beliau akan menguruskan transisi warisan Kuan Yew kepada Politik Baru yang lebih bebas, sederhana, kurang keras dan kejam; lebih demokratik dan liberal.

Kuan Yew meninggal dalam jawatan sebagai wakil rakyat (MP) biasa Tanjung Pagar dari 1955-2015, selama 60 tahun, satu rekod yang sukar dipecahkan baik dalam sebuah demokrasi ataupun negara dictatorship.

Saya percaya jika kejayaan PAP lebih besar dari kemenangannya dalam PRU 2011, Kuan Yew terus dalam Kabinet anaknya sebagai Menteri Mentor. Namun Kuan Yew disemadikan sebagai Bapa Singapura Moden.

Apakah warisan wira unggul Singapura itu? Legasinya Singapura sekarang! Kuan Yew telah membuktikan melalui disiplin, demokrasi terpimpin dan kepimpinan cekap, berani, berbakat, berintegriti; dasar pendidikan berkualiti tinggi sebuah negara mesti mencapai kecemerlangan dan kegemilangan. Pemimpin luar biasa bisa menjadi negaranya ternama, terbilang dan contoh.

Hsien Loong, seperti Najib Tun Razak, mengikut jejak bapa masing-masing bukan sebab nepotisme. Hsien Loong sepintar jika tidak lebih bestari daripada bapanya dan jadi PM setelah dipilih oleh rakannya dalam PAP dan Kabinet, bukan oleh Kuan Yew.

Itu pun setelah 13 tahun sebagai timbalan perdana menteri. Najib pula jadi Perdana Menteri lebih dari tiga dekad selepas Tun Razak kembali ke rahmatullah. Benar ‘name recognition’ dan keturunan membantu dan satu kelebihan.

Dalam kepimpinan asalkan wujud bakat - jangan tidak ada bakat langsung atau sedikit kebolehan pun; tidak mediocre sangat pun jadilah. Kebolehan menguruskan checks and balances, ada ketulusan, ketelusan, kejujuran dan integriti, siapa pun boleh jadi perdana menteri.

Jika orang itu mempunyai kualiti di atas orang itu akan berjaya, dihormati, disanjung oleh rakyat dan kita dapat melihatnya dalam masa dia hidup lagi. Tangisan rakyat kerana kematiannya hanya mengesahkan pandangan rakyat kepadanya. Rakyat amat sedih apabila Tun Razak kembali ke rahmatullah dan hiba bila Tunku mangkat.

Sama ada sistem politik Singapura kini - campuran penghayatan tamadun dan tradisi Barat dengan warisan Cina dan Confucius - boleh menjamin kesinambungan pemerintahan PAP dan cara pemerintahan Singapura bergantung pada fleksibiliti republik itu menyahut cabaran globalisasi, terrorisme dan dunia digital serta perkembangan geopolitik.

Liberal, demokrat dan sekular nampaknya tidak begitu yakin seperti dibayangkan oleh rencana pengarang The Economist, "the Singapore model may yet prove unsustainable even in Singapore.”- sistem ala Singapura mungkin tidak dapat  bertahan di pulau itu pun.

Bagaimana pula masa depan hubungan dua hala KL dan Temasek selepas Kuan Yew? Sungguhpun kedua negara menghadapi pelbagai isu yang menimbulkan pertelingkahan (contentious issues) semenjak perpisahan, sudah begitu lama, parut makin pudar.

Walaupun begitu kemungkinan persengketaan timbul kembali wujud. Namun saya berharap bilateral relations di bawah Hsien Loong dan Najib tidak merosot jika tidak pun mesra; kelihatan nampaknya kecuali sesuatu di luar dugaan dan kuasa kedua-dua pemimpin ada tanda hubungan dua hala akan bertambah cerah.

Apa pun saya berdoa kita dapat melihat fajar baru menyinsing dalam perhubungan kedua negara yang sepatutnya terus bercantum.

Soalan ini, saya kira, jitu - quite relevant. Siapa selepas Hsien Loong dan Najib? Kononnya Hsien Loong mahu bersara beberapa ketika selepas PRU Singapura akan datang. Siapa penggantinya dan siapa pula pengganti Najib jika Umno / BN menang  PRU14 dan jika Najib seperti Hsien Loong mahu bersara?

Singapura terkenal menyediakan bakal pemimpin. Teo Chee Hean atau Tharman Shanmugaratnam yang kedua-dua kini TPM atau seorang lebih muda lagi mengganti Hsien Loong?

0 Komentar untuk " LKY: Legasi & masa depan dwihala "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ