Ke mana ukuran pendidikan negara? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ke mana ukuran pendidikan negara?

1. PELAN Pembangunan Pendidikan (Pengajian Tinggi) 2015-2020 akan mengulangi kegagalan yang sama jika kerajaan tidak serius memperbaiki taraf pendidikan tinggi di negara ini.

Pendidikan seringkali menghadapi perubahan polisi dan perancangan namun seringkali ia juga mengundurkan standard pendidikan negara ke belakang dan tersasar daripada makna dan penghayatan kepada Falsafah Pendidikan Negara.

2. Sebelum ini, pelbagai polisi yang diperkenalkan kerajaan akhirnya membawa padah dan terpaksa berhenti di tengah jalan kerana seolah-olah tiada perancangan yang lebih teliti terhadapnya seperti perlaksanaan “Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di Dalam Bahasa Inggeris” (PPSMI) yang bermula pada 2003 dan akhirnya dimansuhkan pada 2007.

3. Begitu juga Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang bermula pada 2006 yang tidak mencapai sasaran yang membanggakan. Kini, PPPM (PT) 2015-2020 pula diperkenalkan dengan pelbagai perancangan tetapi kelihatannya hanya bertukar kulit dan warna.

4. Laporan ‘United Nations Education Index’, ‘Trends In Mathematics and Sciences Study’ (TIMSS) dan ‘The Programs for International Students Assessment’ (PISA) menunjukkan pendidikan di negara kita semakin jauh ketinggalan ke belakang terutamanya dikalangan negara Asia seperti Korea Selatan dan Vietnam.

5. Masalah yang membelenggu pendidikan negara adalah struktur pendidikan yang tidak mencapai tahap yang sepatutnya. Adakah semua rakyat pedalaman menerima kualiti pendidikan yang memuaskan? Apakah belenggu yuran pengajian yang tinggi di IPT dapat dikurangkan dengan pembiayaan terus oleh kerajaan?

6. Kegagalan kerajaan melihat masalah pendidikan secara objektif menyebabkan pendidikan negara semakin mundur setapak ke belakang. Tiada apa yang mampu dibanggakan jika jurang pendidikan luar bandar dan bandar terus meningkat.

7. Malah, lebih membimbangkan, kerajaan di dalam pelan yang sama berhasrat untuk mengurangi pembiayaan terhadap IPT di samping membuka sumber pembiayaan kewangan yang lain.  Keadaan ini seolah-olahnya melepaskan tanggungjawab sosial kerajaan terhadap pendidikan negara.

8. Saya melihat kerajaan sepatutnya memberikan keutamaan kewangannya dalam melestarikan pendidikan di negara ini, bukan bertindak sebaliknya. Wang yang diperolehi kerajaan hari ini adalah daripada rakyat melalui kutipan cukai dan sebagainya, maka, keutamaan kepada pendidikan tidak harus dikurangkan, termasuk juga kesihatan dan perumahan.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Pasir Mas

Related Post

  • Bumi adalah masjid PERKATAAN masjid berasal daripada 'sajada-yasjudu' bererti sujud, kemudian membentuk kata 'masjid' yang bererti tempa…
  • Bersederhana rai nikah RAMAI yang mengimpikan majlis perkahwinan  gilang-gemilang. Bangganya hati ini apabila semua mata terpaku meliha…
  • Hari di mana bumi New Delhi bergegar SABTU lepas bukanlah hari biasa dan pening yang dialami juga bukanlah berkaitan kesihatan penulis. Sepertimana mingg…
  • Menjejaki Melayu Islam Australia SEJARAH penghijrahan orang Melayu ke Australia sebagai pengusaha pertanian kelapa, tebu dan penuaian mutiara menjadi …
  • Hantaran kahwin mahal? PERIHAL hantaran perkahwinan yang mahal ini sebenarnya isu klise yang berbolak-balik sejak zaman pasca moden. Meski …
0 Komentar untuk " Ke mana ukuran pendidikan negara? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ