Doakan kebahagiaan anak sejak dalam kandungan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Doakan kebahagiaan anak sejak dalam kandungan

Islam menganjurkan ibu bapa supaya memberi didikan sempurna kepada anak mereka dan didikan itu sebenarnya perlu bermula sejak dari dalam rahim lagi. Ikuti kupasan lanjut Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman yang dikongsikan dalam program Ibrah minggu lalu. 

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Itulah ungkapan dan pepatah Melayu yang biasa didengar. Al-Quran memperjelaskan, pendidikan anak perlu bermula sejak dalam rahim ibu dan ini boleh difahami melalui teladan sejarah seorang insan bernama Maryam. 

Mengikuti rancangan Ibrah minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membincangkan kisah keluarga Imran iaitu cerita Maryam. Ulama menjelaskan, empat wanita yang mempunyai kelebihan dalam agama Islam ialah Aishah, Khadijah, Fatimah dan Maryam.

Sebelum ini, dibicarakan kisah Nabi Zakaria yang memohon kepada Allah SWT dikurniakan zuriat keturunan. Doa penuh harapan itu, Allah SWT gantikan dengan anak diberi nama Yahya. 

Peristiwa itu juga menjadi asas kepada Hannah, isteri Imran untuk berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat. Hannah meluahkan isi hatinya kepada Allah SWT dan hasil daripada doa yang tidak putus-putus, Allah SWT mengurniakan kepadanya seorang anak. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepada-Mu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (daripada segala urusan dunia untuk berkhidmat kepada-Mu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah Ali-Imran, ayat 35) 

Prinsip asas dalam permintaan doa (isteri Imran) adalah supaya anak itu nanti akan berkhidmat untuk Masjidil Aqsa. Permintaan Hannah itu bertujuan untuk 'memerdekakan' (anaknya) daripada sebarang kehidupan dunia. 

Lahirkan anak untuk berkhidmat ke jalan Allah SWT 

Perwatakan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh Hannah adalah satu prinsip penting untuk difahami semua ibu bahawa tujuan mendapatkan zuriat bukanlah semata-mata kerana inginkan anak tetapi lebih daripada itu, mengharapkan zuriat dilahirkan akan berkhidmat untuk Allah SWT. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya daripada godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)." (Surah Ali-Imran, ayat 36) 

Hannah tidak menyangka anak yang dilahirkan adalah perempuan, namun beliau tetap reda terhadap kurniaan Allah SWT. Ulama mentafsirkan, anak perempuan yang dilahirkan itu bukanlah sebarang wanita yang wujud di atas muka bumi ini. 

Prinsip kedua yang perlu difahami semua ibu ialah bersyukur dengan anak dikurniakan Allah SWT, manakala prinsip ketiga, memberikan nama yang baik kepada anak yang dilahirkan. Nama Maryam membawa maksud seorang yang rajin beribadah ('abidah). 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Maryam menjawab: "Ia daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira." (Surah Ali-Imran, ayat 37)

Prinsip keempat pula dijelaskan melalui permohonan Hannah supaya diberi perlindungan kepada Maryam dan anak yang dikandungnya. Ini menunjukkan bahawa Hannah telah mendoakan anaknya Maryam dan anak yang bakal dikandung Maryam (zuriat mendatang nanti). 

Beri pendidikan terbaik kepada anak 

Prinsip kelima yang ditekankan supaya anak diberikan pendidikan yang terbaik. Allah SWT telah mendidik Maryam dengan sebaik-baik pendidikan untuk membesar dalam peliharaan-Nya. 

Maryam dibesarkan dalam jagaan penuh kasih dan sayang. Nabi Zakaria yang menjaganya juga terpaksa bersaing ketika menjaga Maryam kerana beliau sentiasa mengabdikan diri kepada Allah SWT. 

Selain itu, Nabi Zakaria berasa pelik dan janggal bagaimana Maryam menerima makanan dalam mihrabnya itu kerana setiap kali Nabi Zakaria masuk ke dalam mihrab pada waktu pagi dan petang, didapatinya ada rezeki untuk Maryam. 

Rezeki anak, makan minum, kehidupan dan kesenangan itu ditentukan Allah SWT. Justeru, sebagai hamba kita memahami bahawa setiap ketentuan sama ada baik atau buruk mempunyai hikmah yang tidak terfikir oleh akal fikiran yang dangkal ini. 

Perjalanan kisah Maryam akan diperincikan lagi selepas ini bagi memahami cerita mengenai wanita istimewa (Maryam) yang melahirkan zuriat tanpa bapa, iaitu Nabi Isa. 

Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio IKIMfm 

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/46300
0 Komentar untuk " Doakan kebahagiaan anak sejak dalam kandungan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ