Asean atas tiga landasan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Asean atas tiga landasan

LAZIMNYA, Komuniti Asean dibicarakan dari sudut tiga tonggaknya, iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya. Tetapi, saya ingin membicarakannya dari perspektif berbeza, iaitu tiga landasan. Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam ketiga-tiganya.

Landasan pertama ialah kerajaan-kerajaan Asean yang ingin melakukan transisi.

Asean telah berjaya mencapai matlamat penubuhannya, iaitu keamanan dan keselamatan. Tetapi, ia masih bergelut untuk menjadi relevan dalam bidang-bidang lain.

Asean seperti sebuah badan yang terbahagi dua: anggota-anggota pengasas (agak maju) dan anggota-anggota terkemudian (agak ketinggalan).

Ia belum melakukan migrasi daripada paradigma konsensus dan tidak campur tangan, yang menyebabkan banyak keputusan tidak dibuat, kepada sistem membuat keputusan yang lebih praktikal.

Dari segi hak asasi manusia, Asean tidak mempunyai rekod yang baik. Sesetengah kerajaan Asean tidak selesa berinteraksi dengan CSO.

Pokoknya, Asean masih elitis. Kerana itu, Pengerusi Asean 2015, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan komitmennya untuk menjadikan Asean lebih berpusatkan-rakyat.

Malaysia telah menggariskan lapan prioritinya: merealisasikan Komuniti Asean; membangunkan Wawasan Komuniti Asean; merapatkan Asean dengan penduduknya; memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS); mengembangkan perdagangan intra-Asean; memperkasa institusi-institusi Asean; mempromosi kesederhanaan; dan meningkatkan peranan Asean di pentas global.

Landasan kedua ialah memperkasa partisipasi rakyat dalam Asean.

Apabila SCO bergerak atas satu landasan, ia menjadi gerakan yang kuat. Lazimnya, kebijaksanaan kolektif CSO lebih terkedepan berbanding kerajaan.

Sejak tertubuhnya Asean, CSO lebih berminat untuk berinteraksi dengan kerajaan daripada sebaliknya. Pada 2005, ketika Malaysia Pengerusi Asean, interaksi sistematik antara CSO-Asean telah dimulakan. CSO menganjurkan Persidangan Masyarakat Sivil Asean/Forum Rakyat Asean (ACSC/AYF) beberapa hari sebelum Sidang Kemuncak (Ketua-ketua kerajaan) Asean. Semasa Sidang Kemuncak, diadakan pertemuan antara 10 pemimpin CSO dengan 10 pemimpin Asean.

Tahun ini, ACSC/AYF diadakan pada 21-14 April, manakala Sidang Kemuncak pada 26-27 April. Pertemuan CSO-Asean ialah pada 27 April.

CSO tidak berpuas hati kerana cadangan-cadangan yang disampaikan kepada Asean sejak 2005 tidak dilaksanakan atau diambil kira secara bermakna.

Jadi, untuk 2015, CSO menggunakan pendekatan baru. Pertama, Kenyataan CSO telah disediakan lebih awal, iaitu bulan Januari. Kedua, kenyataan kali ini lebih fokus, iaitu mengemukakan empat bidang sahaja: pembangunan yang adil; melindungi proses demokratik, governans, hak-hak fundamental dan kebebasan; keamanan dan keselamatan; dan kesaksamaan. Dan ketiga, kenyataan itu diserahkan kepada kerajaan-kerajaan Asean lebih awal, iaitu pada Mac.

Dengan pendekatan baru ini, diharapkan pertemuan CSO-Asean nanti akan lebih bermanfaat.

Landasan ketiga pula merujuk jaringan mereka yang mengetengahkan dan melaksanakan program keterangkuman substantif penduduk Asean, khususnya peringkat akar umbi dan di bawah piramid, supaya benar-benar menjadi sebahagian daripada Komuniti Asean.

Contohnya, GMM, Majlis Ekonomi Solidariti Asia (ASEC) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) akan menganjurkan Sidang Meja Bulat Tentang Keusahawanan Berasaskan-Komuniti Asean, di Kuala Lumpur, pada 25 April 2015.

Ia bertujuan supaya Asean mengiktiraf inisiatif-inisiatif akar umbi dan tempatan, iaitu keusahawanan berasaskan-komuniti, sebagai antara strategi meningkatkan kualiti hidup berkomuniti dan menghakupayakan partisipasi komuniti dalam pembangunan tempatan, pemuliharaan alam sekitar dan penggunaan sumber-sumber tempatan secara mampan.

Ia akan melancarkan Jaringan Keusahawanan Berasaskan-komuniti Asean yang selari dengan lapan prioriti Malaysia sebagai pengerusi Asean 2015, terutamanya dari segi merealisasikan Komuniti Ekonomi Asean.

Ia juga akan memperkasa pengamal-pengamal keusahawanan berasaskan-komuniti, contohnya, IKS, pertanian organik, koperasi, institusi pinjaman mikro dan usahawan sosial.

Semoga ketiga-tiga landasan ini bertaut dalam Komuniti Asean yang benar-benar berpusatkan-rakyat.

* Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM). Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd.

0 Komentar untuk " Asean atas tiga landasan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ