Apa lagi yang anda fobia? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Apa lagi yang anda fobia?

SAYA berpendapat bahawa mereka yang membahagikan rakyat kepada Muslim dan bukan Muslim telah mengetepikan satu dimensi psikologi yang penting iaitu masalah fobia yang melanda semua penganut agama dan ateis.

Rakyat perlu dibahagikan kepada dua iaitu rakyat fobia dan rakyat bokia (tidak takut).

Bagi bangsa Cina, naluri economic survival menanamkan semangat kiasu atau pantang kalah dalam dunia persaingan perniagaan yang sengit. Begitu fobia sekali tentang kalah ekonomi sehingga sebahagian antara mereka yang “sembah Melayu” dalam bentuk berhala yang bergelar Datuk Gong atau Latuk Gong atau Tua Pek Gong.

Berhala ini terbina di luar premis bisnes dan biasanya berbentuk patung yang memakai songkok atau serban. Malaysia adalah Tanah Melayu. Maka, kalau tak puja keramat Melayu, takut hantu-hantu Melayu akan murka kepada premis perniagaan mereka, lalu akan berlaku sial.

Mengapa tidak berhenti dan berfikir sejenak, “Siapa Tuhan yang Maha Berkuasa yang mampu menguasai semua hantu-hantu ini? Mengapa tidak berdoa kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa ini sahaja untuk hapuskan semua hantu jahat dan tak perlu pun fobia kepada keramat Melayu lagi?”

Cuba bokia (jangan takut) keluar dari zon selesa yang diwarisi. Beranikan diri untuk tidak berfikir secara rutin.

Kalau seorang Cina beriman kepada ALLAH SWT, dia tidak akan fobia kepada apa saja hantu. Dia bersifat bokia (tidak takut) kerana ALLAH SWT adalah Tuhan yang menciptakan alam semesta dan semua galaksi.

Pandang ke langit waktu malam dan kita akan kagum ciptaan ALLAH SWT. Kalau sekadar hantu-hantu di bumi, no problemlah untuk ALLAH SWT binasakan dengan sekelip mata!

ALLAH SWT adalah Tuhan untuk Muslim dan penganut agama lain. Cuba berdoalah kepada ALLAH SWT untuk meminta tolong tidak kira kamu beragama apa. Tak perlulah puja keramat Melayu. Bangsa Melayu sendiri pun tidak mahu mereka dipuja.

Berdoalah dengan doa ini, “Ya ALLAH, tunjukkanlah aku jalan yang benar untuk hilang fobia dalam diriku ini supaya aku menjadi bokia (tidak takut)!”

Adakah fobia melanda kepada bangsa Cina sahaja? Bagaimana dengan bangsa Melayu?

Bagi bangsa Melayu, religious survival paling utama. Tunggak Islam ialah ulama. Maka, menjaga maruah Islam maknanya menjaga maruah ulama. Ada sebahagian yang begitu fobia sebarang kritikan terhadap pendapat ulama sehingga ulama dipuja.

Sesiapa yang tidak setuju dengan pendapat ulama yang dipuja akan diblacklist sebagai ‘hantu’.

Maka, kita lihat bagaimana pengikut setia seorang ulama mungkin akan menganggap setiap pandangan yang bertentangan dengan pandangan ulama yang dipujanya sudah pasti dilabel “hantu wahabi” atau “hantu liberal” atau “hantu bidaah”.

Memuja keramat ulama menjadi keutamaan, bukan memahami penghujahan. Kuburnya menjadi pemujaan, bukan hujahnya menjadi penilaian.

Kita lihat bagaimana sebahagian umat Islam begitu fobia sebarang kritikan terhadap hujah ulama. Mereka sanggup belanja ratusan ribu untuk konsert majlis selawat bersama ulama-ulama keturunan Nabi. Tetapi tiada pun majlis penghujahan ilmiah antara ulama-ulama yang berbeza pendapat.

Rakyat yang cerdik ingin melihat perbezaan pendapat antara para ulama dan penghujahan masing-masing dalam keadaan harmoni. Ulama fobia kritikan sebenarnya bukan ulama sejati kerana dia tidak takut pada ALLAH SWT.

Mengkritik pendapat ulama fobia maknanya mencalar maruahnya. Tidak setuju dengan pendapatnya maknanya menghina ilmunya.

Pendapatnya adalah hukum Tuhan.
Ulama yang sejati adalah bokia (tidak takut) kritikan terhadap pendapatnya. Bahkan dia berterima kasih kerana ada yang berani bangun dan nyatakan tidak persetujuannya dengan hujah ilmiah.

Dia berterima kasih walaupun kritikan ini dibuat secara umum kerana dia takut ALLAH SWT akan menyoalnya nanti di akhirat mengapa memberi pendapat yang salah kepada umum. Seorang ulama yang sejati akan merendahkan diri untuk diperiksa hujah-hujahnya.

Kedua-dua bangsa perlu menilai semula pandangan keagamaan mereka. Prof Malik Bennabi telah berhujah bahawa pandangan agamalah pencetus ketamadunan. Sejauh mana pandangan agama kita tidak kira bangsa apa membina ketamadunan?

* Abdul Naser Tun Rahman tokoh pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Apa lagi yang anda fobia? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ