Agama: Keputusan kes hadanah perlu ambil kira kebajikan anak - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: Keputusan kes hadanah perlu ambil kira kebajikan anak

Akhir Mac lalu, Mahkamah Tinggi Sivil di Shah Alam, memutuskan seorang bapa membayar ganti rugi kepada anaknya atas kecuaian memberi kehidupan yang selamat kepada anak yang berada di bawah kawalan serta jagaannya. Dalam kes itu, mahkamah membenarkan tuntutan saman kecuaian yang difailkan seorang ibu terhadap bekas suami dan isteri bekas suaminya selepas anaknya dirogol oleh anak lelaki tiri bapa dengan isteri barunya. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah mengarahkan kedua-dua defendan (bekas suami dan isterinya) membayar ganti rugi am berjumlah RM150,000 dan ganti rugi teladan berjumlah RM50,000 berserta kos RM20,000. Keputusan itu menzahirkan pendekatan mahkamah sivil yang melihat kebajikan kanak-kanak adalah perkara penting seperti diketengahkan dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak (UNCRC) iaitu 'dalam kes membabitkan kanak-kanak, kebajikan dan kepentingan kebajikan mereka adalah keutamaan.' Menurut peguam pihak yang membuat tuntutan, kes itu adalah kes pertama di negara ini di mana seorang anak (melalui ibunya) mendapat ganti rugi berbentuk wang dalam kes saman membabitkan kecuaian terhadap bapanya sendiri. Berdasarkan fakta kes seperti yang dilaporkan, pasangan itu sudah bercerai. Anak itu berada di bawah jagaan bapa antara tahun 2010 hingga pertengahan tahun 2012. Ibu kandung kanak-kanak itu mengambilnya daripada jagaan bapa dan isteri barunya pada Disember 2012. Pada Jun 2013, kanak-kanak itu mengadu dia pernah dirogol beberapa kali oleh abang tirinya ketika tinggal di rumah bapa. Ketika kejadian, kanak-kanak itu berusia lapan tahun. Antara perkara penting dalam keputusan itu ialah bapa dianggap gagal menjaga kebajikan dan memastikan keselamatan anak semasa berada di rumah mereka sehingga dia dirogol dan tidak diselamatkan. Anak itu ditempatkan dalam bilik yang boleh dimasuki oleh orang lain melalui laluan bilik air yang dikongsi bersama. Kes itu membawa kepada beberapa perkara penting untuk diperhalusi. Pertama, kanak-kanak adalah insan kecil yang tidak boleh menjaga dan mempertahankan diri mereka sendiri. Mereka perlukan orang dewasa untuk menjaga dan membantu mereka mendapat kehidupan yang selamat. Jaga keselamatan anak Orang yang dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk menjaga keselamatan dan kebajikan mereka, sama ada undang-undang sivil atau syariah adalah bapa dan ibu kepada kanak-kanak. Walaupun keselamatan sering dikaitkan dengan selamat secara fizikal daripada dera, dipukul dan dirogol hakikatnya keselamatan itu lebih luas skopnya. Selamat dan sejahtera dalam menjalani kehidupan dan mendapat keperluan asasi juga termasuk dalam memastikan anak selamat dari bahaya. Kedua, walaupun kes itu membabitkan tuntutan saman kegagalan bapa memastikan keselamatan anak daripada dirogol di rumahnya, adalah tidak mustahil kita akan melihat perkembangan di mana selepas ini akan ada kes tuntutan kegagalan bapa menjaga kebajikan anak yang ditinggal tanpa jagaan. Begitu juga kes tidak mendapat pendidikan, tidak dijaga makan minum dan dibiarkan bergelandangan tanpa tujuan. Ini semua membabitkan kegagalan menjalankan tanggungjawab memastikan kesejahteraan anak terjaga. Ibu yang menghadapi kes sebegini wajar mencari jalan untuk keadilan bagi anak. Ketiga, kes itu sebenarnya wajar dipandang serius oleh mahkamah syariah yang bertanggungjawab terhadap orang Islam. Dalam hal perceraian dan urusan jagaan serta nafkah anak, kita maklum bahawa semua orang Islam yang menghadapi masalah sebegini tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Hak tuntutan jagaan anak Justeru, mahkamah syariah tidak harus memandang sepi hal membabitkan keputusan kes tuntutan jagaan anak dan nafkah anak selepas perceraian. Mereka wajar melihat isu ini dari sudut bidang kuasa mereka. Apabila pasangan bercerai, anak sering menjadi rebutan dan nafkah mereka menjadi isu. Mahkamah seharusnya menjadikan kebajikan anak sebagai keutamaan dalam memutuskan sebarang tuntutan membabitkan mereka. Di samping bertanyakan pendapat anak yang mumayyis, melihat keupayaan kewangan pihak yang menuntut, sewajarnya ada pegawai yang diarahkan memeriksa beberapa perkara untuk membantu hakim membuat keputusan lebih wajar demi kebajikan kanak-kanak. Antaranya menghantar pegawai melihat rumah, taraf hidup, kawasan perumahan, jarak dengan sekolah dan kemungkinan kebajikan anak boleh tergugat jika diputuskan seorang anak tinggal dengan mana-mana pihak yang menuntut. Ia sebenarnya menunjukkan tugas Mahkamah Syariah adalah sangat besar dalam memastikan keselamatan anak sebelum diputuskan kes hadanah. Contohnya, dalam satu kes tuntutan hak jagaan anak sepasang suami isteri bukan Islam yang bercerai di mahkamah sivil pada tahun 2012, sebelum memutuskan anak tinggal dengan bapa, mahkamah membuat arahan kepada pegawai untuk menyelidik kehidupan bapa. Mahkamah akhirnya menolak tuntutan bapa kerana dalam laporan, pegawai mendapati bapa tinggal dengan beberapa adik beradik lelakinya yang belum kahwin dan ada antaranya sering mabuk di waktu malam. Ia dianggap mendedahkan kanak-kanak kepada kemudaratan jika dibenarkan tinggal dengan bapanya. Pegawai itu turut melawat tempat tinggal ibu dan melaporkan bahawa keadaan tempat tinggal ibu lebih selamat untuk anak membesar. Mahkamah akhirnya memutuskan anak tinggal bersama ibu. Keempat, kecuaian dan pengabaian kebajikan kanak-kanak boleh berlaku apabila bapa tidak memberi nafkah yang secukupnya. Justeru, apabila anak dibiarkan tanpa sebarang nafkah sehingga menyebabkan hidup tidak terurus, tidak bersekolah, maka bapa boleh dianggap gagal menjaga kebajikan anaknya. Ia juga boleh berlaku jika jumlah nafkah anak diputuskan oleh pihak mahkamah tidak bersesuaian dengan tahap kehidupan bapa. Maka tidak mustahil akan berlaku lebih banyak kes tuntutan saman kegagalan menjaga kebajikan dan kesejahteraan anak dikemukakan di mahkamah sivil di bawah Akta Kanak-Kanak.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/46711
0 Komentar untuk " Agama: Keputusan kes hadanah perlu ambil kira kebajikan anak "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ