Siratulmustakim...Petunjuk jalan lurus - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Siratulmustakim...Petunjuk jalan lurus

ALLAH SWT berfirman: "Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya; bukan (jalan) orang dimurkai dan bukan (pula jalan) orang yang sesat." (Surah Al-Fatihah: 6-7)

Sungguh, nikmat berada atas Siratulmustakim, nikmat agung bagi seorang hamba.

Nikmat Siratulmustakim

Ini adalah nikmat yang besar bagi seseorang. Tidak semua diberi nikmat mulia ini. Pastinya nikmat ini hanya ALLAH SWT berikan kepada orang yang dikehendaki-Nya.

Dimaksudkan hidayah dalam ayat ini mencakupi dua makna iaitu hidayah untuk mendapat petunjuk Siratulmustakim dan juga hidayah untuk tetap istiqamah dalam meniti Siratulmustakim.

Syeikh Abdurrahman bin Nashir As Si’di RA menjelaskan, hidayah mendapat petunjuk Siratulmustakim adalah hidayah memeluk agama Islam dan meninggalkan agama lain selain Islam.

Ada pun hidayah dalam meniti Siratulmustakim mencakupi seluruh pengilmuan dan pelaksanaan ajaran agama Islam secara terperinci.

Makna Siratulmustakim

Ulama ahli tafsir baik dalam kalangan sahabat mahu pun yang hidup sesudahnya banyak memberi penjelasan makna Siratulmustakim.

Imam Ibnu Jauzi RA menjelaskan ada empat perkataan ulama mengenai makna Siratulmustakim. Pertama, maksudnya ialah kitabullah. Ini adalah pendapat yang diriwayatkan oleh sahabat Ali dari Nabi SAW. Kedua adalah agama Islam.

Ini menurut pendapat Ibnu Mas’us, Ibnu ‘Abbas, Al Hassan dan Abul ‘Aliyah RA. Bagi Abu Shalih (sahabat Ibnu ‘Abbas) dan Mujahid RA, Siratulmustakim adalah jalan petunjuk menuju agama ALLAH dan  terakhir, pendapat dinukilkan Ibnu ‘Abbas RA membawa maksud jalan (menuju) syurga.

Sheikh Abdurrahman bin Nashir As Si’di RA menjelaskan lagi, Siratulmustakim adalah jalan jelas dan mampu membawa menuju ALLAH dan syurga-Nya iaitu dengan mengenal kebenaran dan mengamalkannya.

Perbezaan penjelasan ulama mengenai makna Siratulmustakim tidaklah bertentangan malah saling melengkapi. Dapat kita simpulkan daripada penjelasan di atas Siratulmustakim adalah agama Islam yang perlu dipelajari dan diamalkan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, sehingga mampu menjadikan pelakunya masuk ke syurga ALLAH. Jalan inilah yang ditempuh Nabi SAW dan sahabat.

HANYA SATU Siratulmustakim

Siratulmustakim  adalah jalan kebenaran, jumlahnya hanya satu dan tidak terbilang. Hal ini ditegaskan dengan pentafsiran Nabi SAW perihal ayat di atas. Diriwayatkan daripada sahabat, Abdullah Ibnu Mas’ud RA, beliau menceritakan, suatu ketika Rasulullah SAW pernah membuat satu garis lurus, kemudian Baginda SAW bersabda: "Ini adalah jalan ALLAH." Kemudian Baginda SAW membuat garis yang banyak di samping kiri dan kanan garis lurus tersebut. Setelah itu, Baginda SAW bersabda: "Ini adalah jalan (menyimpang). Di setiap jalan tersebut ada syaitan yang menyeru kepada jalan (menyimpang) tersebut." (Riwayat Ahmad)

Meniti Siratulmustakim

Siratulmustakim adalah jalan orang yang ALLAH berikan nikmat. ALLAH berfirman: "(Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya.” (Surah Al-Fatihah: 7)
Lalu siapakah orang-orang yang ALLAH beri nikmat yang dimaksudkan dalam ayat di atas? Hal ini dijelaskan dalam firman ALLAH dalam ayat lain:

“Dan barang siapa mentaati ALLAH dan Rasul (Muhammad) maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat ALLAH, (iaitu) nabi, pencinta kebenaran, orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Mereka itulah teman yang sebaik-baiknya." (Surah Al-Nisa’: 69)

Simpang  Siratulmustakim

Selain menunjukkan golongan yang berada di atas Siratulmustakim, ALLAH menjelaskan perihal golongan yang menyimpang dari jalan lurus ini dalam lanjutan ayat di surah Al-Fatihah ayat 7.

Dalam ayat ini dijelaskan dua golongan yang menyimpang. Pertama ialah golongan orang dimurkai ALLAH. Mereka adalah orang yang mengenal kebenaran tetapi tidak mahu mengamalkannya. ALLAH menjelaskan dalam firman-Nya: "Katakanlah (Muhammad), "Apakah akan aku beritakan kepadamu tentang orang yang lebih buruk pembalasannya daripada (orang fasik) di sisi ALLAH?

Iaitu, orang dilaknat dan dimurkai ALLAH, antara mereka (ada) dijadikan kera dan babi dan (orang yang) menyembah Taghut. Mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat dari jalan lurus." (Surah Al-Ma’idah: 60)

Golongan kedua ialah orang sesat. Mereka ialah orang yang meninggalkan kebenaran atas kejahilan dan kesesatan.

Setelah mengetahui kelompok yang menyimpang, kita mampu mengetahui sebab-sebab kesesatan mereka. Ada dua perkara pokok yang menyebabkan seseorang boleh menyimpang dari Siratulmustakim.

Pertama, meninggalkan ilmu. Ini adalah sikap golongan orang yang sesat. Punca utama kesesatan mereka adalah disebabkan kejahilan kerana meninggalkan ilmu.

Perkara kedua ialah kerana meninggalkan amal. Bagi golongan mereka dimurkai ALLAH, mereka ini adalah orang yang mengenal kebenaran namun tidak mahu mengamalkannya. Mereka dimurkai kerana menolak dengan tidak mahu beramal dengan ilmu dimiliki.

Oleh kerana itu, untuk menjadi seseorang yang istiqamah di Siratulmustakim, kita seharusnya sentiasa berada atas landasan ilmu dan amal.

Mempelajari ilmu agar terhindar dari golongan sesat serta beramal dengan ilmu dimiliki agar terhindar dari menjadi golongan dimurkai ALLAH. Lebih penting, sentiasa berdoa kepada ALLAH, zat yang sentiasa memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.

The Straight Path 2015

Konvensyen The Straight Path 2015  bakal berlangsung selama dua hari bermula 28 – 29 Mac ini di Shah Alam Convention Centre (SACC) bertujuan memberikan penjelasan terperinci untuk terus berada dalam nikmat Siratulmustakim berlandaskan Quran dan Sunnah.

Pelbagai kajian, perbincangan dan penjelasan diadakan dalam konvensyen ini bagi mendapatkan pencerahan dalam menangani kefahaman mengelirukan masyarakat.

Kini kita lihat, kepercayaan utuh agama sepatutnya diukur berlandaskan Quran dan Sunnah sepenuhnya dinafikan serta mula diukur dengan kebendaan dan materialistik masyarakat umum sekarang. Di mana perginya ajaran agama yang diseru berkurun lamanya oleh junjungan Nabi SAW?

Konvensyen dihadiri ilmuwan antarabangsa tersohor yang boleh dijadikan sumber rujukan dan mampu memberikan penjelasan akan isu berkaitan asas agama Islam.

Konvensyen The Straight Path 2015 ingin menjemput semua golongan masyarakat yang berminat untuk menyertai dan mendapatkan tiket pada harga terendah RM100 sahaja.

Maklumat lanjut boleh layari http://thestraightpath.com.my/v2/ atau hubungi pejabat di talian 03 7931 1156 atau 03 7728 0070.

0 Komentar untuk " Siratulmustakim...Petunjuk jalan lurus "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ