New Delhi bandar ‘manis’ - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

New Delhi bandar ‘manis’

CUACA di kebanyakan tempat di utara India tanpa syak lagi semakin berubah bukan sahaja dapat dilihat dari segi peningkatan suhu tetapi juga cara masyarakat tempatan berpakaian.
 
Rata-rata orang tidak lagi memakai pakaian musim sejuk yang tebal dan saya sendiri begitu lega dengan cuaca yang tidak lagi dingin.
 
Anak muda sudah mula keluar dengan memakai seluar jeans dan kemeja-T sementara kaum wanita pula mengenakan sari dan "shalwar kameez” (sut tradisi blaus labuh dan seluar panjang). Kaum lelaki pula kelihatan kemas dengan pakaian pejabat.
 
Saya juga melihat semakin ramai anak yang bersekolah di kawasan terbuka. Mereka lengkap dengan pakaian seragam sekolah yang berwarna-warni.
 
Perubahan suasana ini menggambarkan seolah-olah New Delhi sedang meraikan perayaan yang penuh gilang-gemilang.
 
Bercakap mengenai perayaan, minggu pertama Mac sememangnya minggu penuh warna-warni untuk masyarakat India kerana mereka akan menyambut pesta warna atau Holi.
 
Saya sendiri berasa teruja dan tidak sabar menunggu hari Jumaat 6 Mac untuk sama-sama menyambut pesta yang penuh warna-warni ini dengan masyarakat di Delhi.

Saya akan berkongsi pengalaman ini dalam artikel saya minggu hadapan.

Delhi bandar "manis"
 
Delhi bukan sahaja bandar penuh warna-warni bahkan 'bandar manis' kerana ia mempunyai lebih banyak kedai menjual manisan daripada restoran.
 
Mereka yang tinggal di sini pastinya akan turut tergoda untuk menjamu selera dengan manisan dan pencuci mulut India.
 
Pastinya anda tidak akan menyesal membeli manisan serta pencuci mulut ini dan setiap Rupee yang dibelanjakan memang berbaloi.
 
Pelbagai jenis barfi, ladoo, halwa, rasagulla, gulab jamun, kheer dan manisan lain disusun cantik dan dipamer dalam rak kaca.
 
"Malahan saya sendiri pun sukar untuk mengawal diri dan membeli juga manisan tersebut meskipun saya perlu menjaga paras gula saya".

Kehidupan sebagai pemberita
 
Sebagai pemberita dan koresponden luar negara, setiap pagi saya akan membaca beberapa buah akhbar utama tempatan dan memantau rangkaian televisyen sekiranya ada laporan berita besar.
 
Sejak hari pertama di Delhi, saluran berita dan sukan di TV kabel India menjadi kegemaran saya.
 
Sesi debat dijalankan begitu meriah dengan moderator membincangkan isu semasa yang turut melibatkan tetamu jemputan mewakili beberapa pihak.
 
Topik perbincangan adalah pelbagai daripada isu sosial yang dihadapi masyarakat serta isu politik panas atau ekonomi.
 
Sememangnya mengagumkan bagaimana teknologi membantu menghubungkan orang dari negeri-negeri yang berbeza untuk melahirkan pandangan mereka menerusi saluran televisyen.
 
Program “Newshour” of Times Now (9.00 malam hingga 9.30 malam), yang dikendalikan Arnab Goswani adalah saluran television yang paling banyak saya tonton apabila berada di rumah.
 
Arnab begitu dikagumi kerana bijak melontar soalan-soalannya yang tajam mengenai pelbagai perkara.
 
Ada kalanya, tetamu jemputan terpaksa "melindungi diri" mereka daripada diasak dengan soalan-soalan yang sukar.
 
Bagi program temu bual India, adalah menjadi perkara biasa sekiranya berlaku insiden jerit-menjerit dan kata-mengata. Situasi bertambah hangat apabila penonton turut serta.
 
Malahan isu yang berkait dengan laluan khas di stesen kereta api dan jalan raya menghala ke lapangan terbang untuk VVOP dan ahli parlimen turut dibahaskan.
 
Boleh dikatakan semua boleh menjadi bahan berita di India. - Bernama

0 Komentar untuk " New Delhi bandar ‘manis’ "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ