Menjamin kebebasan beragama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menjamin kebebasan beragama

KEBANYAKAN negara anggota Asean berhadapan dengan pelbagai isu berkaitan kebebasan beragama. Dalam pada itu, sebagai Pengerusi Asean pada 2015, Malaysia ingin mewujudkan komuniti Asean yang berpusatkan rakyat. Soalnya, apakah bentuk komuniti itu, sedangkan ramai orang kebanyakan di Asean pada setiap hari menghadapi diskriminasi, malahan keganasan atas nama agama.  

Inilah latar belakang mengapa Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) menyokong Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia (HRWG) dan Gabungan NGO Indonesia Untuk Advokasi Hak Asasi Manusia yang sedang menyediakan laporan “Kebebasan Beragama di Asia Tenggara”.

Ia bakal diserahkan kepada ketua-ketua kerajaan Asean kelak.

Objektif utama laporan ini ialah menjamin hak-hak fundamental setiap individu, tanpa mengira agama dan faktor-faktor lain, dan menghapuskan segala bentuk diskriminasi serta hasutan atas nama agama.

Dalam menilai sejauh mana kebebasan beragama diamalkan di setiap negara Asean, tiga perkara utama diambil kira, iaitu undang-undang rasmi berkaitan agama, dasar dan kewangan kerajaan untuk mana-mana agama dan peraturan sosial terhadap agama.

Hari ini, antara masalahnya ialah, walaupun kebebasan beragama dijamin Perlembagaan negara-negara Asean, tetapi realitinya, masih berlaku banyak ketidakadilan, termasuk melalui undang-undang dan dasar-dasar kerajaan. Secara institusinya, Asean tidak bersungguh-sungguh membangunkan kebebasan beragama. Kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin Asean sekadar menyatakan keprihatinan sahaja. Tidak ada usaha yang konkrit.

Bagi memperbaikinya, laporan tersebut mencadangkan: Penyelarasan antara jaminan kebebasan beragama dalam Perlembagaan dengan undang-undang dan dasar-dasar; Pemansuhan undang-undang drakonian; Menggubal dasar bagi melindungi golongan minoriti;

Memperkukuh institusi-institusi Asean tentang hak asasi manusia; Mengharmonikan undang-undang negara dengan instrumen-instrumen hak asasi manusia antarabangsa; Menandatangani instrumen-instrumen antarabangsa seperti Konvensyen Antarabangsa tentang Hak Sivil dan Politik (ICCPR) dan Konvensyen Antarabangsa tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Ras (ICERD); dan Menggalakkan CSO Asean untuk mempromosi isu-isu kebebasan beragama.

Kebebasan beragama melibatkan dua bentuk: inter-agama dan intra-agama. Dalam konteks ini, antara pendekatan GMM ialah dengan berkongsi dua dokumen penting, iaitu A Common Word dan Amman Message.

A Common Word bertujuan mengajak penganut Islam dan Kristian mendalami asas-asas agama masing-masing. Diterbitkan pada 2007, ia dikarang Putera Ghazi Muhammad (Jordan) melalui perundingan dengan 450 pemimpin dan sarjana Islam dan Kristian seluruh dunia, termasuk Malaysia dan beberapa negara Asean.

Antara kandungan pentingnya ialah “Kedua-dua agama menekankan tentang mencintai Tuhan yang satu, dan mencintai jiran.”

Amman Message pula bertujuan menerangkan Islam yang sebenar. Diterbitkan pada 2005, ia dicetuskan Raja Abdullah II al-Hussein (Jordan) dan diterima pakai lebih 200 sarjana Islam terkemuka seluruh dunia, termasuk Malaysia dan beberapa negara Asean.

Tiga perkara terpenting dalamnya ialah: pertama, mengiktiraf kesemua lapan mazhab Sunni, Syiah dan Ibadhi; Ash’arisme; Sufi; dan pemikiran Salafi yang betul. Kedua, melarang mengkafirkan sesama Islam. Dan ketiga, menetapkan syarat-syarat dalam mengeluarkan fatwa bagi mendedahkan pendapat-pendapat salah yang dibuat atas nama Islam.

Walaupun kedua-dua dokumen ini hanya melibatkan dua agama yang dianuti penduduk Asean, tetapi ia signifikan kerana boleh digunakan sebagai contoh dalam rangka dialog inter/intra-agama yang melibatkan semua agama.

Satu lagi pendekatan GMM ialah menggalakkan penganut agama-agama yang berlainan membuat sesuatu pekerjaan secara bersama. Dalam hal ini, kami mempromosi kerja-kerja Kumpulan Persahabatan Perkhidmatan Inter-Agama Malaysia (FGIS). Mereka menjalankan pelbagai program, seperti kem kesihatan inter-agama, sukaneka, drama inter-agama, latihan kepemimpinan belia inter-budaya dan orkestra FGIS.

Semoga, dengan cadangan-cadangan konkrit dan contoh-contoh dokumen dialog serta kerjasama inter-agama di atas, maka komuniti Asean yang lebih baik akan dapat dibangunkan.

* Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM). Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd

0 Komentar untuk " Menjamin kebebasan beragama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ