Malaysia pacu pertumbuhan Frost & Sullivan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Malaysia pacu pertumbuhan Frost & Sullivan

FROST & Sullivan yakin terhadap potensi Malaysia, bukan sahaja sebagai pemacu pertumbuhan bagi syarikat itu, malah sebagai batu loncatan untuk mengukuhkan kedudukannya di rantau Asia Pasifik pada masa hadapan.

Sambil menyifatkan lokasinya yang strategik di rantau ini, Rakan Kanan dan Pengarah Urusan Asia Pasifik syarikat itu Manoj Menon berkata kedudukannya yang berhampiran banyak negara berpertumbuhan tinggi di rantau ini, merupakan antara kekuatan Malaysia yang mendorong Frost & Sullivan untuk melabur lebih banyak di negara ini.

Beliau berkata, Malaysia, yang mempunyai infrastruktur yang hebat dan kukuh, mempunyai kumpulan bakat yang baik, berkedudukan hampir dengan pasaran berpertumbuhan tinggi seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Jepun dan Korea Selatan, malah mempunyai akses dan fleksibiliti untuk bekerja rapat dengan Singapura.

"Kelebihan ini meletakkan Malaysia pada kedudukan yang sangat baik yang  mahu kami lihat di Asean (dan) atas faktor itulah kami akan melabur di Malaysia secara khususnya.

"Kami melihat peluang besar untuk memacu pertumbuhan di rantau ini dengan Malaysia sebagai asas yang menyokong pertumbuhan kami di Frost & Sullivan," katanya kepada Bernama menjelang perasmian pejabat baharunya di Iskandar Malaysia hari ini.

Selain itu, Menon berkata sebagai pelabur, syarikat itu juga optimis terhadap pertumbuhan dalam negara, didorong oleh projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi.

Syarikat itu yang tidak hanya berpuas hati terhadap pejabat di Kuala Lumpur, melabur di Iskandar Malaysia kerana mahu berkembang secara agresif, dengan memanfaatkan potensi pertumbuhan koridor ekonomi itu.

Menon berkata, Malaysia kini merupakan pejabat kedua terbesar Frost & Sullivan di Asia Pasifik selepas India, dengan 120 pekerja di Kuala Lumpur dan 80 lagi di Iskandar Malaysia pada masa kini.

"Kami mahu menambah petugas kepada kira-kira 800 pekerja di Iskandar dalam tempoh enam hingga tujuh tahun akan datang. Pejabat kami di sini akan menjadi enjin pertumbuhan bagi Frost & Sullivan di Asia Pasifik.

"Ia berpotensi menjadi antara pejabat terbesar kami di seluruh dunia. Itulah hasrat kami dan kami mengambil banyak eksekutif kanan untuk berkhidmat di pejabat Iskandar.

"Berdasarkan lokasinya yang strategik dan pelan induk pembangunan yang matang, ia membolehkan kami memacu pertumbuhan dengan lebih cepat," kata Menon.

Menerusi kehadiran di Iskandar Malaysia, Frost & Sullivan berharap dapat memainkan peranan yang lebih penting dalam negara, kerajaan dan industri, dan menyokong pelanggan di Singapura dan rantau ini.

"Pejabat Iskandar akan menjadi pejabat operasi global syarikat dalam menyediakan peluang kepada pekerja tempatan untuk bekerja dalam projek global.

"Pasukan kami di Iskandar sudah memiliki keupayaan tertentu yang akan menyokong produk dan perkhidmatan baharu untuk membantu para pelanggan kami berkembang," katanya.

Pejabat Iskandar syarikat itu yang dibuka tiga tahun lepas, kini mempunyai lima pusat kecemerlangan - pusat perundingan, pusat inovasi, Universiti Pertumbuhan, Inovasi & Kepimpinan (GIL), pusat kewangan dan pusat media digital.

Frost & Sullivan kini memberi perkhidmatan kepada pelanggan termasuk dalam bidang ICT, automotif, tenaga, penjagaan kesihatan, logistik, persekitaran, perniagaan dan kewangan, aeroangkasa dan pertahanan, bahan kimia dan sektor
makanan.

Menon juga menggalakkan lebih banyak syarikat supaya menimbangkan untuk meluaskan perniagaan mereka ke Iskandar Malaysia dan menjadi sebahagian daripada ekosistem dan memainkan peranan dalam pertumbuhan Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Pada Khamis, Ketua Eksekutif Lembaga Wilayah Pembangunan Iskandar Datuk Ismail Ibrahim berkata pelaburan berjumlah RM595 juta oleh Frost & Sullivan di Iskandar Malaysia merupakan contoh pewujudan pekerjaan bernilai tinggi oleh
sebuah syarikat global.

Sejak memulakan operasi di Iskandar Malaysia, Ismail berkata syarikat itu mengambil 61 peratus penduduk Johor dan 15 peratus lagi rakyat Malaysia yang pulang dari di luar negara, yang membuktikan bahawa Iskandar Malaysia terus menarik bakat untuk menyokong pembangunan masa depan koridor ekonomi itu. - Bernama

0 Komentar untuk " Malaysia pacu pertumbuhan Frost & Sullivan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ