Kad debit alternatif ganti tunai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kad debit alternatif ganti tunai

KEBIASAANNYA, urusan jual beli dilakukan secara tunai, namun seiring dengan peredaran masa, orang ramai kini tidak perlu risau sekiranya tiada wang di dalam poket.

Ini kerana, kad debit dan kad kredit sudah boleh digunakan di kedai, pusat membeli-belah mahupun stesen minyak secara meluas jika mahu membeli barang.

Menyedari kelemahan penggunaan kad kredit, ramai yang sudah beralih kepada transaksi menerusi kad debit.

Berdasarkan statistik Bank Negara Malaysia (BNM), terdapat peningkatan ketara bilangan kad debit di pasaran iaitu sejumlah 27.2 juta pada 2009 kepada 34.9 juta pada 2011.

Jumlah itu semakin meningkat kepada 42 juta pada 2013 dan bertambah kepada 44.5 juta sehingga Julai 2014.

Manakala, dari segi urus niaga yang menggunakan kad debit pula mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun iaitu 11.3 juta pada 2009 kepada 49.5 juta pada 2013.

Berdasarkan statistik itu, jelas menunjukkan semakin ramai pengguna mula menggunakan kad debit sebagai instrumen pembayaran ke atas pembelian yang dilakukan mereka dan dijangkakan trend itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa.


Urusan jual beli lebih mudah

Kakitangan awam, Norazira Mat Som, 30, berkata, penggunaan kad debit dalam urusan jual beli lebih mudah dan selamat kerana tidak perlu membawa tunai dalam jumlah yang banyak.

“Ini kerana, dengan hanya gunakan satu kad, kita boleh buat pembayaran dalam satu amaun yang besar sekali gus.

“Dalam sebulan, saya pasti akan guna kad debit terutama ketika membeli-belah di pusat beli-belah,” katanya.

Menurutnya, kad debit merupakan medium yang sangat baik sebagai pengganti tunai kerana ia dapat mengurangkan risiko kes-kes jenayah seperti ragut.

“Lagipun, bila kita guna kad debit, kita boleh keluarkan penyata yang lengkap setiap bulan untuk lihat ke mana wang dibelanjakan. Sekarang, pengguna sudah boleh semak setiap transaksi kad debit menerusi sistem perbankan atas talian,” katanya.


Guna kad debit lebih selamat

Bagi eksekutif, Mohd Nor Fariz Md Tugiman, 26, kad debit selamat digunakan untuk transaksi jual beli kerana setiap urus niaga memerlukan kata laluan pemilik.

“Ini dapat mengurangkan risiko kecurian, selain setiap rekod urus niaga dapat disemak menerusi sistem perbankan atas talian.

“Saya selalu menggunakan kad debit jika berbelanja dengan jumlah RM200 ke atas terutama ketika membeli barang di pasar raya, stesen minyak, kedai serbaneka dan hentian rehat dan rawat (R&R),” katanya.

Menurutnya, dia lebih gemar menggunakan kad debit berbanding tunai kerana ia mengurangkan risiko duit tercicir, selain mampu digunakan dalam keadaan kecemasan.

“Kadang kala, ada masa tertentu duit dalam dompet tidak mencukupi ketika beli barang, saya pasti akan gunakan kad debit sebagai ganti kepada tunai,” katanya.


Banyak premis sedia terima kad debit

Pekerja swasta, Siti Zaharah Arif, 32, pula berkata, sikapnya yang tidak gemar memegang tunai dalam jumlah yang banyak menyebabkannya beralih kepada kad debit untuk membuat pembayaran.

“Setiap kali saya ingin membeli barang atau makan di restoran, saya akan tanya terlebih dahulu sama ada premis itu menyediakan kemudahan pembayaran guna kad debit atau tidak.

“Paling banyak duit saya simpan dalam dompet hanyalah RM50. Jika terpaksa, baru saya akan guna tunai untuk berbelanja,” katanya.

Menurutnya, urusan menggunakan kad debit dalam transaksi jual beli adalah lebih mudah kerana kebanyakan premis sudah banyak menawarkan perkhidmatan sistem pembayaran itu.

“Setakat ini, saya tiada masalah untuk beli barang di mana-mana kedai. Kadang kala, saya hanya berbelanja RM26 di sebuah pasar raya, namun pembayaran menerusi kad debit tetap diterima.

“Lagipun, saya menyahut seruan BNM untuk mengurangkan penggunaan tunai dalam sistem kewangan,” katanya.


Perlu tambah baik

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, masyarakat Malaysia telah menerima kad debit sebagai pilihan popular instrumen pembayaran dalam transaksi mereka disebabkan kelebihan dan kemudahannya.

“Kelebihannya, penggunaan kad debit dalam urusan pembelian lebih selesa kerana kurangkan risiko wang dicuri, boleh kawal perbelanjaan, tidak perlu tunggu masa lama untuk memiliki kad debit, tiada yuran penyertaan, yuran tahunan yang rendah dan selamat mendorong orang ramai menggunakan perkhidmatan ini.

“Namun ia ada juga keburukannya iaitu risiko hilang wang kerana terdapat sesetengah kad debit dihubungkan terus ke akaun bank pengguna. Selain itu, kad debit tidak mempunyai perlindungan bagi setiap transaksi sebagaimana kad kredit. Jadi, sebaiknya ia tidak digunakan ketika beli barang yang mahal di internet,” katanya.

Bagi mengatasi kekurangan itu, Mohamad Fazli mencadangkan supaya pemberitahuan urus niaga perlu dihantar kepada pemegang kad menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada nombor telefon yang didaftarkan.

“Nombor telefon pemegang kad yang didaftarkan ini mestilah dalam satu keluarga iaitu suami, isteri, adik-beradik dan sebagainya. Selain itu, pemberitahuan urus niaga ini juga boleh dibuat menerusi e-mel yang didaftarkan bagi mengelak urus niaga melibatkan penipuan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kad debit berasaskan cip yang lebih selamat diperkenalkan dan meletakkan had maksimum transaksi yang boleh dibuat pemegang kad seperti kad kredit.

0 Komentar untuk " Kad debit alternatif ganti tunai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ