Isu dalam undang-undang syariah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Isu dalam undang-undang syariah



APABILA negeri Terengganu menguar-uarkan penguatkuasaan Seksyen 34 dan 35 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) 2001, umat Islam secara umumnya menyokong supaya mana-mana orang Islam yang melakukan perbuatan tidak sopan (Sek. 34) dan mendedahkan tubuh di khalayak awam (Sek. 35), supaya dikenakan tindakan mengikut peruntukan yang terkandung dalam undang-undang berkenaan.

Tindakan berkenaan secara tidak langsung menemukan bahawa sebahagian daripada masyarakat kita kurang mempunyai pengetahuan tentang undang-undang yang melingkungi kehidupan bermasyarakat. Apatah lagi, dari aspek perkembangannya apabila menganggap ia adalah undang-undang yang baru hendak dikuatkuasakan.

Masyarakat Islam di Malaysia bukan hanya dilindungi oleh undang-undang sivil sahaja, malahan mereka dilindungi secara berganda dengan wujudnya undang-undang kesalahan jenayah syariah dan kesalahan matrimoni dalam undang-undang keluarga Islam.

Persoalannya, apakah masyarakat kita gerun dan mengiktiraf kredibiliti undang-undang yang ada jika hukumannya dilihat begitu ringan? Sejak lebih dua dekad yang lalu sekurang-kurangnya, Undang-undang Islam di Malaysia, meletakkan hukuman maksimum tiga tahun penjara, enam sebatan dan denda RM5,000. Amalan di kebanyakan mahkamah syariah juga sekadar memberikan hukuman berbentuk denda, kurang menghantar pesalah ke penjara, dan hampir tidak pernah mengarahkan sebatan.

Kecuali negeri Kelantan yang sudah lama berupaya untuk mengguna pakai hukuman sebat untuk mengajar pesalah. Dalam pada itu, sekalung tahniah buat Sabah yang telah membuktikan kredibiliti mereka dengan mengenakan sebatan syariah terhadap pesalah pada Oktober 2014 yang lepas.

Tindakan negeri Terengganu yang menguar-uarkan perkara berkenaan merupakan tindakan terpuji dan perlu mendapat sokongan padu daripada seluruh umat Islam di Malaysia. Adalah amat baik jika tindakan ini disambut oleh semua negeri di Malaysia dengan giat.

Walau bagaimanapun, hukuman yang sudah menjangkau dua dekad ini perlu disemak semula supaya penambahbaikannya lebih relevan dengan perubahan semasa. Jika hukuman alternatif dilihat amat berpotensi untuk mendidik pesalah, maka ia perlu diberikan perhatian yang serius.

Aspek penguatkuasaan perlu diberi perhatian yang serius supaya setiap bahagian penguatkuasaan benar-benar telah bersedia untuk melaksanakan tugas secara cekap dan berkesan. Sumber manusia, pelbagai infrastruktur, dan kemudahan di mahkamah syariah perlu dalam keadaan yang amat bersedia. Sudah tentu juga penjara syariah perlu diwujudkan supaya pesalah mempunyai tempat khusus tanpa terus menumpang penjara sivil.

Kemungkinan juga akan ada pihak-pihak yang berani mencabar wibawa undang-undang Islam seperti golongan liberalis. Apa yang sedang dilalui oleh saudara-saudara kita di Negeri Sembilan, tentunya memberi pengajaran kepada negeri-negeri lain untuk membuat persediaan dari pelbagai sudut termasuklah dari sudut kekuatan mental.

Umat Islam perlu menyokong dan memberikan sokong moral kepada pihak penguat kuasa dan pihak berkuasa. Kelemahan yang wujud bukan ruang untuk mereka dikritik dan dikecam. Hidup secara sejahtera bukan tanggungjawab pihak-pihak tertentu sahaja, masyarakat awam juga harus peka apabila timbulnya isu-isu yang bersangkutan dengan kesucian agama Islam.

* Penulis Pegawai Penyelidik Kanan
Pusat Kajian Syariah, Undang undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

0 Komentar untuk " Isu dalam undang-undang syariah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ