Hidupkan kembali ‘nadi Kuala Lumpur’ - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hidupkan kembali ‘nadi Kuala Lumpur’

SASTERAWAN, Abdul Latif Mohidin pernah meluahkan rasa sedih menerusi puisinya 'Sungai Kelang' apabila melihat keadaan sungai itu yang kotor dipenuhi sampah sarap.

Bagi beliau sungai berkenaan tidak lain daripada sebuah longkang besar, tiada pemandangan menarik yang tersaji di sepanjang Sungai Gombak dan Sungai Kelang yang menyelusuri di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Airnya yang keruh bertukar warna menjadi teh susu terutama selepas hujan. Peranannya pula tidak lebih sebagai tempat menerima limpahan air hujan dan air kumbahan terawat. Kepentingannya hanya disedari setiap kali banjir kilat melanda.

Bagaimanapun, imej Sungai Kelang sebagai sungai yang lesu dan tidak dihargai akan hanya tinggal sejarah menjelang 2017 ekoran Projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL)) yang bermula pada tahun 2010.


MENGHIDUPKAN NADI KUALA LUMPUR

Sebanyak 11 anak sungai bersambung dengan Sungai Gombak membentuk Sungai Kelang yang mengalir melalui Kuala Lumpur dan Selangor sejauh 110 kilometer sebelum berakhir di Selat Melaka.

Projek ROL yang membabitkan pemulihan, pemuliharaan dan pengindahkan Sungai Kelang dan Gombak kini 50 peratus siap. Ia meliputi 11 lokasi bermula dari koridor Sungai Gombak di Titiwangsa, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sime Darby, Dang Wangi, Raja Laut, Masjid Jamek, stesen kereta api, Brickfields, Kuala Lumpur Sentral dan Seputeh.

Fasa pertama dan kedua, yang sedang berjalan, tertumpu di Masjid Jamek di tengah-tengah ibu kota yang menempatkan banyak bangunan warisan sejarah antaranya Bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek, Pasar Seni dan Dataran Merdeka.

Kejayaan Korea, Singapura dan banyak negara maju di dunia membersih dan menaiktaraf sungai di tengah-tengah kota raya masing-masing menjadi sandaran perlaksanaan projek ROL.

Para perancang bandar percaya jika Kota London terkenal dengan Sungai Thames dan Paris dengan Sungai Seine, tidak mustahil nanti Kuala Lumpur pula berbangga dengan Sungai Kelang yang akan mengubah persekitaran wajah ibu negara.

Untuk mencapai ke tahap itu, Sungai Kelang harus mencapai kualiti air sekurang-kurangnya Kelas IIB (indeks kualiti air paling minimum 76.5 peratus) bagi membolehkan aktiviti rekreasi, menurut Pengarah Lembangan Sungai dan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Ir Hanapi Mohamad Noor.

Kualiti minimum IIB itu akan membolehkan orang ramai menyentuh, bermain dalam air tanpa rasa geli atau takut akan sebarang penyakit bawaan air.

Kebanyakan bahagian Sungai Kelang kini puratanya berada dalam Kelas IV dan V manakala di pusat bandar Kuala Lumpur, sungai itu mencatat Kelas III (indeks kualiti air 63 peratus).


PUSAT REKREASI

Selain menjadikan Sungai Kelang lokasi tarikan pelancong, pengunjung dan masyarakat setempat juga dapat menikmati persekitaran yang selesa dan sihat dengan pelbagai kemudahan.

Kedua-dua tebing sungai sepanjang 110 kilometer itu akan diperindah dengan landskap dan ruang pejalan kaki bagi membolehkan aktiviti riadah dan santai.

Di pusat bandar, perkhidmatan teksi air seperti yang tersedia di Melaka akan turut disediakan untuk memberi peluang kepada orang ramai menikmati pemandangan ibu kota bermula dari bangunan Dayabumi sehingga ke Pusat Dagangan Dunia Putra.

Aktiviti rekreasi air lain turut dirangka oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menjadikan Kuala Lumpur tersenarai antara bandaraya terbaik dunia.


PERANGKAP SAMPAH

Mencari penyelesaian masalah sampah di sepanjang sungai menjadi cabaran utama dalam usaha pembersihan Sungai Kelang. Sampah yang masuk ke Sungai Kelang dan Sungai Gombak kebanyakannya datang dari kawasan hulu bermula dari Taman Melawati, Gombak.

Kawasan-kawasan perumahan setinggan dan kedai makan terutama di sepanjang Sungai Kelang, Sungai Gombak, Sungai Bunus, Sungai Kerayong, Sungai Jinjang dan Sungai Batu dikenalpasti antara penyumbang utama kepada masalah sampah.

Pada tahun 2010 sebanyak 268 meter padu sampah terkumpul di loji takungan air terowong SMART, di Kampung Berembang dan jumlah itu telah berkurangan kepada 70 meter padu pada tahun lepas.

"Pemasangan 500 perangkap sampah di anak-anak sungai, parit dan longkang yang dilakukan JPS telah menampakkan kesan positif," kata Ir Hanapi.

AIR TERAWAT

Bagi meningkatkan kualiti air, sebanyak 12 loji rawatan air sungai dibina dengan loji di Sungai Sering, Sungai Gisir, Sungai Au 3, Sungai Kemensah dan Sungai Kelang telah siap manakala selebihnya masih dalam pembinaan.

Air kotor dari sungai akan diproses terlebih dahulu sebelum dikeluarkan bagi mencapai kualiti indeks Kelas IIB.

Penapisan air kumbahan dari tandas rumah, pejabat, bangunan perniagaan juga sedang dinaiktaraf oleh Jabatan Perkhidmatan Pembentungan bagi memastikan kualiti air di Sungai Kelang bersih dan selamat.

DBKL juga membina loji rawatan air dan sisa pepejal di kawasan pasar awam bagi memastikan hanya air bersih sahaja yang mengalir masuk ke dalam sungai.

Darah penyembelihan antaranya dari Pasar Borong Selayang, Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Sentul, Pasar Jalan Kelang Lama dan Pasar Air Panas Setapak selain air basuhan yang sebelum ini terus ke dalam longkang dan sungai akan disalurkan terlebih dahulu ke loji pembersihan.


TINGKAT KESEDARAN

Bagaimanapun, dikhuatiri kesedaran masyarakat yang masih rendah tentang penjagaan sungai boleh menggagalkan kelangsungan projek yang menelan belanja RM4 billion ini.

Program pendidikan melibatkan komuniti yang digerakkan JPS sejak tahun lepas telah mula menampakkan hasilnya dalam menanam kesedaran dan cinta kepada sungai dalam kalangan masyarakat.

Kumpulan sasaran adalah mereka yang tinggal di kawasan hulu sungai seperti di Gombak, Wangsa Maju, Setiawangsa, Jinjang dan Setapak serta pengusaha kedai makan dan bengkel kenderaan.

"Kita hendak pastikan mereka bekerjasama supaya tidak membuang sisa-sisa makanan dan minyak ke dalam longkang kerana ia boleh menjejaskan ekologi hidupan air dalam sungai itu," katanya.

Program mengumpul minyak masak terpakai antara yang terawal dimulakan sebagai langkah proaktif menggalakkan komuniti terlibat dalam penjagaan sungai.

Mereka diajar memberi nilai kepada sampah seperti menjadikan baja daripada sisa buangan, membuat lilin daripada minyak masak yang terbuang, kertas sebagai produk kraf dan banyak lagi, katanya.

"Pelajar sekolah juga adalah fokus utama dalam program kesedaran yang diadakan kerana kita mahu pendedahan tentang sayangi sungai dilakukan pada peringkat lebih awal," katanya, yang berharap kejayaan memulihkan Sungai Kelang akan menjadi antara mercu tanda keupayaan negara. - Bernama

0 Komentar untuk " Hidupkan kembali ‘nadi Kuala Lumpur’ "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ