Georgia tingkat kerjasama ekonomi dengan Malaysia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Georgia tingkat kerjasama ekonomi dengan Malaysia

KUALA LUMPUR -  Georgia berminat untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dengan Malaysia, yang mempunyai antara ekonomi paling terbuka di dunia, kata Kuasa Usaha Sementara Georgia di Malaysia Levan Machavariani.

"Malaysia merupakan satu daripada ekonomi paling terbuka di dunia dan bersepadu sepenuhnya dalam hubungan dagangan dan ekonomi dunia, dan menjadi negara contoh kepada kami dalam bidang ini," katanya dalam satu temu bual bersama-sama Bernama di ibu pejabat agensi berita itu di sini baru-baru ini.
 
Beliau menjelaskan Georgia turut mengamalkan ekonomi terbuka dan memegang kedudukan utama dalam ranking seperti kemudahan dalam menjalankan perniagaaan oleh Bank Dunia, Indeks Persepsi Rasuah oleh Global Corruption Barometer serta Indeks Kebebasan Ekonomi oleh Yayasan Warisan Dunia.

Oleh yang demikian kedua-dua negara sewajarnya berusaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti perniagaan bagi kedua-dua negara, kata beliau.

Machavariani berkata, Georgia berminat untuk meningkatkan dagangan dua hala dan menarik lebih banyak pelaburan dari Malaysia dalam pelbagai sektor.

Beliau berkata pada tahun lepas, dagangan dua hala adalah melebihi US$25 juta dengan berpihak kepada Malaysia terutama import getah dan minyak sawit manakala Georgia mengeksport logam dan barangan lain.

"Kami berusaha ke arah mempromosi produk Georgia yang boleh ditawarkan kepada pasaran Malaysia dan saya berharap sangat angka itu akan meningkat," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata dagangan pada empat tahun lepas menunjukkan aliran positif dan meningkat empat kali ganda, menjelaskan angka pada 2011 adalah sangat rendah iaitu kira-kira US$7 juta, tetapi ia telah meingkat kepada US$25 juta pada 2013.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata pada masa kini kedua-dua negara sedang berunding mengenai perjanjian dua hala dalam bidang kewangan bagi Perjanjian Pengelakkan Percukaian Dua Kali (DTAA), yang mungkin akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

Perjanjian itu akan sangat membantu sektor swasta dan akan menyokong banyak hubungan pelaburan, dagangan dan perniagaan, katanya.

Machavariani turut memuji Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang akan dibentuk pada akhir tahun ini.

"Ia satu insentif yang sangat baik untuk mempunyai satu komuniti ekonomi, untuk mempunyai satu aliran barangan dan tenaga kerja bebas yang akan menyokong rantau itu dan saya yakin ia akan memberi peluang serantau untuk membangun secara sama rata dan terangkum," katanya.

Beliau turut menjelaskan AEC akan menjadi sangat penting kepada Georgia dan menyediakan peluang perniagaan yang sangat luas.

Machavariani berpendapat adalah lebih baik berurusan dengan 10 negara Asean sebagai satu blok, yang akan menjadi lebih bermanfaat, bagaimanapun hubungan ekonomi dua hala masih penting memandangkan ia adalah "batu asas kepada apa sahaja perhubungan".
 
AEC, satu daripada tiga tonggak Komuniti Asean (AC), akan menyatukan 10 negara Asean dengan lebih 600 juta penduduk dalam pasaran yang sama.

Malaysia merupakan pengerusi Asean tahun ini, ia adalah blok meliputi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. - Bernama

0 Komentar untuk " Georgia tingkat kerjasama ekonomi dengan Malaysia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ