Yayasan Peneraju bagi peluang kedua - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Yayasan Peneraju bagi peluang kedua

MUHAMMAD Sayuti Rameli menganggap dia diberi peluang kedua apabila ditawarkan mengikuti program pembelajaran oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) setelah gagal di peringkat sekolah menengah.

Disebabkan suka ponteng sekolah, ramai yang menganggap Muhamad Sayuti tidak mempunyai masa hadapan, apatah lagi sikap malas belajarnya begitu ketara kerana boleh tidur di bawah meja ketika guru mengajar.

Anak keenam daripada 11 beradik ini merasakan pelajaran sangat membosankan dan telah menghampakan ibu bapanya apabila pernah digantung sekolah selama dua minggu.

"Saya memang bermasalah. Ibu, ayah beberapa kali kena datang ke sekolah disebabkan kelakuan saya. Mereka malu, sedih dan marah. Harapan untuk melihat saya berjaya juga musnah kerana keputusan peperiksaan teruk," kata Muhammad Sayuti, 20 tahun.

Namun peluang kedua itu menyedarkan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini bahawa masa depannya masih boleh dirancang dengan baik lantas menyertai program pembelajaran di bawah Yayasan Peneraju.

Buka mata

Memilih program Peneraju Skil Jurukimpal, pemuda ini mula menyedari akan kepentingan pendidikan, serius untuk melakar nasib masa depan yang baik.

Di sini jugalah, dia mula mempelajari bahawa kegagalan akademik bukanlah pengakhiran mengecapi masa hadapan yang sempurna.

"Yayasan Peneraju, penyelamat saya menerusi peluang kedua yang disediakan. Tidak perlu bimbang mengenai pekerjaan kerana selepas tamat menjalani latihan selama tiga bulan, saya terus dapat bekerja dengan Sapura Kencana Petroleum Bhd dengan gaji RM3,800.

"Ibu, ayah paling gembira kerana tidak menyangka anak yang dilihat sudah tidak ada harapan ini akhirnya boleh membantu keluarga," katanya kepada Bernama.

Jika sebelum ini ada rasa malu melihat rakan lain masuk universiti, sekarang tidak lagi kerana Muhammad Sayuti membuktikan orang yang tidak begitu cemerlang dalam akademik boleh berjaya jika serius mengasah kepakaran dalam bidang kemahiran.

Memperkasa kemahiran

Mengubah mentaliti dan persepsi golongan pelajar Bumiputera yang rendah mahupun tercicir dari landskap dunia akademik, adalah antara agenda utama Yayasan Peneraju.

Dalam perjalanan ini, Yayasan Peneraju yang baru menjangkaui usia tiga tahun ini menggalas amanah berat melahirkan modal insan Bumiputera berilmu, berkemahiran tinggi dan kompetitif di peringkat global menerusi pendidikan.

Atas matlamat itu, bidang kemahiran teknikal dan vokasional dikenalpasti antara yang mampu melonjakkan ekonomi golongan Bumiputera.

"Bagi mereka yang gagal akademik, dunia belum berakhir di situ. Ini yang kita hendak perjuangkan iaitu 'kejayaan akademik bukan segala-galanya'.

"Jika kita mempunyai kemahiran yang baik, ia dapat membantu untuk mendapat peluang kedua dan meraih pendapatan tinggi," kata Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Raja Azura Raja Mahayuddin.

Tambah beliau, masih belum terlambat untuk mereka yang berkenaan mengubah masa depan dengan merebut peluang keemasan yang ditawarkan dalam bidang kemahiran seperti yang disediakan Yayasan Peneraju.

Ini kerana, permintaan terhadap tenaga mahir dalam sektor kemahiran teknikal dan vokasional begitu diperlukan negara yang ketika ini mengorak langkah sebagai sebuah negara maju.

Akan tetapi, komuniti pekerja berkemahiran di negara ini hanyalah sekitar 28 dan 29 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja. Walhal, sasarannya pada tahun ini adalah 33 peratus dan 50 peratus menjelang 2020.

Tidak lepaskan peluang

Dengan masa yang ada ini, pelbagai gerakan dan usaha dipergiat bagi mendaya kebolehpasaran tenaga kerja dalam sektor berkenaan dan ini yang menjadi antara sasaran utama Yayasan Peneraju.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan baru-baru ini bahawa yayasan akan memperuntukkan RM72 juta untuk membangunkan kira-kira 5,000 modal insan Bumiputera tahun hadapan.

Peneraju Skil, antara yang tertinggi diperuntukkan untuk menerima manfaat iaitu sebanyak 3,500 penerima biasiswa akan diberi peluang berbanding dua teras lain yang diperkenalkan.

Yayasan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri ini menyediakan tiga program teras dalam memacu keupayaan Bumiputera iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.

Bagi Peneraju Skil, terdapat lima peluang yang disediakan iaitu program di bawah Peneraju Skil Iltizam, Peneraju Skil Jurukimpal, Peneraju Skil Inspektor Kimpalan, Peneraju Juruteknik Pesawat Berlesen serta Peneraju Skil Perakaunan.

Pembangunan kerjaya

Menurut Raja Azura, rangkaian program dan latihan yang disediakan di sini bertindak sebagai tambahan kepada institusi sedia ada seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) adalah mengikut keperluan semasa dan industri.

Atas kepentingan itu, golongan Bumiputera amat digalak merebut peluang yang disediakan, contohnya Peneraju Skil Iltizam yang menyasarkan pelajar lepasan menengah rendah yang kurang bernasib baik dalam pelajaran untuk dilatih di bawah program berkenaan.

Program yang ditawarkan dalam Peneraju Skil Iltizam juga menarik seperti animasi, penjagaan kesihatan, industri minyak dan gas serta pelabuhan.

Hanya perlu tahu membaca, menulis dan berminat mengubah kehidupan ke arah lebih baik, potensi golongan Bumiputera berumur 17-21 tahun itu akan digilap bagi memenuhi permintaan tenaga mahir.

Sesuatu yang menarik perhatian, mereka tidak perlu bersusah payah mencari pekerjaan kerana urusan penempatan itu akan diambil alih Yayasan Peneraju.

Malah, bagi mereka yang sebelum ini sudah mempunyai kemahiran daripada pusat latihan lain, masih berpeluang meningkatkan keupayaan kemahiran dengan mendapat tajaan belajar di yayasan bagi mendapatkan sijil antarabangsa.

"Satu daripada contohnya ialah program jurukimpal yang kami tawarkan di mana pelajar-pelajar yang sebelum ini sudah mempunyai sijil kemahiran dari pusat lain dibawa masuk ke dalam program kami.

"Sekiranya, gaji mereka sebelum ini hanyalah RM800-RM1,200, dengan mengikuti program yang disediakan Yayasan Peneraju membolehkan mereka berpeluang menjana pendapatan lebih tinggi dengan sijil antarabangsa," katanya.

Terus komited

Sehingga kini, Yayasan Peneraju mempunyai lebih 4,000 penerima tajaan dan menyasarkan sebanyak 40,000 peserta (bermula dari penubuhan) yang akan dibimbing dan dibangunkan sehingga tahun 2020.

Bergerak hasil daripada dana kerajaan dan sumbangan syarikat korporat, yayasan ini unik kerana bersifat universal yang tidak mengehadkan mendaya kebolehpasaran Bumiputera melalui bidang kemahiran teknikal sahaja.

Malahan, bantuan berbentuk biasiswa turut diberi kepada pelajar sekolah menengah dan pengajian tinggi yang berpotensi dengan isi rumah tidak melebihi RM3,000 menerusi Peneraju Tunas.

Golongan profesional juga tidak dilupakan apabila turut ditawarkan program khusus peningkatan kepakaran dalam bidang profesional seperti perakaunan, kewangan dan kejuruteraan.

Menariknya, ia tidak hanya menumpukan pengupayaan kemahiran dan bakat Bumiputera sahaja malahan aspek insaniah seperti pendedahan agama dan kerohanian turut diberi penekanan.

Roadmap

Usaha murni yayasan dalam memperkasakan golongan Bumiputera ini menampakkan impak positif dengan peningkatan ekonomi para pesertanya selain berketrampilan kompetitif dan mempunyai nilai kepimpinan.

"Kami sudah keluarkan 'roadmap' Yayasan Peneraju dalam mencapai sasaran 40,000 itu menerusi tiga gelombang. Untuk gelombang pertama (2012-2014), tumpuan mewujudkan asas, kepercayaan masyarakat selain mengenalpasti program dan pihak yang boleh menjalinkan kerjasama untuk menjalankan latihan dengan kami.

"Gelombang kedua (2015-2017), memberi fokus mengembangkan program dan meningkatkan capaian jumlah peserta iaitu 17,000 dalam tempoh itu," katanya.

Manakala gelombang ketiga akan fokus meluaskan batasan dengan meneruskan program sedia ada serta menjadi mentor kepada pihak-pihak berkenaan. - Bernama

0 Komentar untuk " Yayasan Peneraju bagi peluang kedua "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ