Usahawan kasut manik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Usahawan kasut manik

MELIHAT jiran di kalangan kaum Cina membuat pekerjaan sambilan di rumah telah mencetus semangat bekas kerani pengeluaran sebuah syarikat perindustrian di Ayer Keroh, Melaka untuk menjalankan perniagaan di rumah bagi menambah pendapatan.

Biarpun bermula sebagai pekerjaan sambilan tetapi akhirnya Maszni Abdul Aziz, 46, boleh berbangga apabila digelar usahawan kasut manik yang aktif dan berjaya di negara ini sehingga mendorongnya membuka syarikat Sparkle Beads Enterprise di negeri kelahirannya di Umbai, Melaka.

Semuanya bermula pada 1999 apabila, Maszni mula merasakan kesempitan ekonomi selepas dia ketika itu mempunyai dua orang anak.

Menurut Maszni, ketika itu gaji yang diterima dari pekerjaan sebagai kerani cuma RM450 sebulan dan tentunya tidak cukup untuk kehidupannya sekeluarga.

“Kalau saya teruskan bekerja, tiada orang menjaga dua anak saya. Akhirnya, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja semata-mata demi menjaga anak dan setelah itu timbul masalah baru apabila saya tiada pendapatan.

“Saya cuba melakukan pelbagai pekerjaan lain selepas itu, termasuk ambil upah menjahit baju, menjadi tukang masak di kantin asrama, tetapi semuanya tidak bertahan lama dan hanya beberapa bulan,” katanya ketika ditemui di bengkel jahitan maniknya, di Jalan Haji Menhad, Kampung Berangan Enam.

Maszni berkata, lagi terbeban apabila dia bersama suami, Jaafar Omar, 48, berpindah ke Taman Aneka, Tengkera selepas membeli rumah pertama dan apa yang dialami hutang semakin bertambah.

“Apa tidaknya, sudahlah saya tiada pendapatan, cuma mengharapkan sumber pendapatan suami sebagai seorang kakitangan swasta, kami terpaksa menanggung hutang ansuran pinjaman perumahan, kereta di samping menanggung dua orang anak.

“Lantaran itu, terlintas di fikiran saya untuk melakukan suatu jenis pekerjaan yang boleh menghasilkan pendapatan tanpa keluar dari rumah kerana pada masa sama, saya boleh jaga anak-anak,” katanya.

Jelas Maszni, secara kebetulan, jiran-jiran sekeliling di tempat barunya di Tengkera kebanyakannya kaum Cina dan mereka dilihat tidak pernah membuang masa dan pasti ada sahaja  kerja berfaedah dilakukannya.

“Saya lihat mereka lakukkerja apa saja, asalkan boleh menghasilkan duit. Pernah saya lihat mereka cuma ambil upah bungkus gula-gula yang cuma peroleh pendapatan sedikit, itu pun mereka lakukan.

“Ada juga ambil upah buat berus sabut dan saya sendiri pernah mencuba tetapi pekerjaannya yang berhabuk tidak baik untuk anak-anak, akhirnya saya hentikan,” katanya.

Maszni berkata, dalam banyak-banyak pekerjaan sambilan , cuma satu pekerjaan menarik hatinya, iaitu seni sulaman kasut manik yang merupakan seni kraftangan yang diwarisi secara turun temurun oleh keturunan peranakan Baba dan Nyonya.

“Ketika itu saya, sering pergi ke rumah mereka untuk melihat apa yang dilakukan, sehingga bila ada ruang saya mula buat sibuk menolong tanpa mengharapkan sebarang upah.

“Lama kelamaan, saya semakin mahir. Banyak juga hasil kerja yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Akhirnya saya sendiri tampil kepada 'tauke' syarikat utama yang memberi upah jahitan kasut manik tersebut.

“Saya tawarkan hasil kerja saya. Secara kebetulan ketika itu pada 2002, kasut manik telah melonjak permintaannya terutama di Singapura dan saya diberi kepercayaan untuk melakukan kerja tersebut. Biarpun dapat upah lebih murah tetapi saya tidak kisah itu semua asalkan ia mampu menambah pendapatan saya,” katanya.

Maszni berkata, dia makin berkeyakinan dalam seni jahitan kasut manik sehingga membuka syarikat sendiri dan cuba menawarkan ilmu kemahiran itu secara percuma kepada rakan-rakan di kampung sebagai peluang mereka menambah pendapatan.
“Kemahiran seni ini juga berjaya diturun kepada tiga anak saya. Kemahiran yang diperolehi turut dihidu Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) yang menjadikan seni sulaman manik ini sebagai produk warisan Baba dan Nyonya di mana saya dipilih sebagai salah seorang tenaga pengajar,” katanya.

Maszni berkata, pada 2005, produknya berjaya diterima sebagai salah satu daripada produk di bawah Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh Kraftangan Malaysia.

“Perkembangan industri ini banyak dibantu oleh agensi seperti Lembaga Kraftangan Malaysia, Perzim dan Tourism Malaysia sehinggakan banyak hasil barangan syarikat saya di bawah jenama Sparkle Beads telah dipamerkan dan dijual bukan sahaja seluruh negara malah di luar negara seperti Singapura, Korea, China, Taiwan dan Jepun.

“Lebih membanggakan, produk ini turut diterima sebagai salah satu produk Unesco (United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization).

“Untuk harga bagi setiap pasang kasut sulaman manik ini kebanyakannya dijual pada harga sekitar RM150 hingga RM2,000 di pasaran, bergantung kepada keluasan serta kehalusan seni sulaman maniknya dan material asas kasut yang digunakan,” katanya.

Setiap perniagaan pasti ada masalah dan cabarannya. Bagi Maszni, dia mengharapkan lokasi yang strategik untuk memperbesarkan lagi seni perniagaan unik ini.

“Saya mengimpikan satu tempat perniagaan di bandar  yang  jadi tumpuan orang ramai khususnya pelancong.

“Impian saya juga mahu tubuhkan pertubuhan berkonsepkan usahawan Melayu wanita Melaka,” katanya.

0 Komentar untuk " Usahawan kasut manik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ