Transformasi ke arah kota raya mega - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Transformasi ke arah kota raya mega

Transformasi yang berlaku dari alam sekitar tabii (first nature) kepada alam tabii binaan (second nature) dan dilengahkan dalam satu bentuk peralihan (transition) mengundang kepada pembentukan kawasan perbandaran yang meledak luas pada hari ini. Kuala Lumpur yang dahulunya, terbina di atas timbunan lombong bijih timah sekitar tahun 1900-an telah berubah menjadi kawasan perbandaran utama pada hari ini.

Transformasi secara besar-besaran yang mengubah landskap Kuala Lumpur pada hari ini berlaku menerusi pemusnahan secara kreatif (Creative Destruction) oleh pelbagai pihak kepada alam tabii binaan ini telah menimbulkan pelbagai masalah terhadap alam sekitarnya dan akhirnya pula menuntut kepada satu bentuk 'governans' atau pengurusan yang mampu mengharmonikan antara alam sekitar, masyarakat dan ekonomi negara. Tahap pembandaran awal diwarnai dengan pembabitan penduduk setempat- Melayu dan Bumiputera di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kemunculan kawasan 'bandar'

Pada tahap ini kemunculan kawasan 'bandar' adalah berasaskan kepada kaum Melayu atau penduduk asal yang menghuni kawasan itu. Pada zaman itu orang Melayu telah terbabit dengan perniagaan yang begitu hebat misalnya perdagangan rempah ratus hingga menjadi terkenal seantero dunia.

Kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka menyebabkan berlakunya perubahan komposisi kaum yang wujud di kawasan bandar. Apabila kolonial British masuk membawa imigran dari selatan China dan selatan India untuk bekerja di sektor perlombongan bijih timah dan seterusnya menghuni kawasan bandar, komposisi ini telah berubah yang akhirnya Melayu mengalami proses peminggiran keluar dari kawasan bandar yang disebabkan pelbagai faktor.

Kewujudan bandar-bandar moden di Malaysia pada hari ini adalah tinggalan kolonial Inggeris yang telah bertapak sejak 200 tahun lampau. Bandar-bandar moden ini berteraskan kepada kaum Cina dan India yang dibawa masuk dari selatan Cina dan selatan India. Bandar-bandar moden ini akhirnya didominasi kaum Cina akibat dasar pecah dan perintah kolonial British. Kaum lain telah diasing-asingkan dan dikenali mengikut ruang geografi negara ini - Melayu di kampung dan India di estet getah.

Keadaan ini berterusan sehinggalah Malaysia mencapai kemerdekaan. Pemerebakan Bandar Kuala Lumpur berlaku dengan begitu pantas terutama mulai tahun 1970-an yang menjadi tanda aras pembangunan negara keseluruhannya, begitu juga dengan kawasan perbandaran di negara ini mengalami perkembangan yang begitu memberangsangkan dan menjadi lebih hebat sekitar tahun 1980-an sehinggalah kini. Bandar-bandar di beberapa negeri misalnya Selangor telah menjangkau hampir 100 peratus selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mencapai taraf negeri terbandar sepenuhnya terlebih awal.


Putrajaya pusat pentadbiran dan tarikan pelancong.


Kuala Lumpur, Putrajaya berkembang pesat

Kedudukan Kuala Lumpur yang dahulunya sebuah kawasan perlombongan telah berkembang menjadi kawasan metropolitan yang begitu besar pemerebakannya melewati sempadan pentadbiran dan fizikal. Dalam konteks yang lebih luas, kedudukan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan semakin berkembang pesat dan terkelola dalam satu kawasan perbandaran mega Bernam-Klang-Langat-Linggi yang menganjur sejauh 200km dari PROTON City di Tanjung Malim, Perak membawa ke Linggi di sempadan Negeri Sembilan dan Melaka dan menganjur sejauh 50km dari kaki Banjaran Titiwangsa ke Selat Melaka.

Kawasan perbandaran mega yang sedang berkembang pesat ini mempunyai jumlah penduduk seramai lapan juta orang yang begitu signifikan dalam konteks pembandaran di negara ini terutama di Semenanjung. Jumlah penduduk ini dijangka meningkat hampir 10 juta pada tahun 2020.

Pelbagai aspek transformasi yang berlaku sepanjang tempoh berkenaan dapat diteliti antaranya ialah fungsi bandar Kuala Lumpur itu sendiri yang berubah dari sebuah kawasan lombong kepada pusat pentadbiran negara dan pusat komersial global seiring proses globalisasi yang berlaku bermula di era akhir tahun 1980-an.


Bandar Raya Melaka Bersejarah tarikan pelancong.

Bandar bersifat hierarki kepada jaringan

Dalam suasana dan proses globalisasi itu juga, terpaut dengan proses googlelisasi yang dominan dalam zaman komunikasi dan teknologi satelit yang cukup canggih hingga merubah bandar daripada bersifat hierarki kepada bersifat jaringan yang menghubungkan seluruh pelusuk dunia dalam konteks dan keadaan tersendiri - sebagai pusat pentadbiran, komersial, industri hinggalah kepada pusat pemodenan dan juga dikatakan sebagai pusat pemerdagangan manusia.

Semua ini menuntut aliran modal yang berterusan untuk memastikan bandar itu terus ceria, vibran dan berdaya huni diibaratkan sebagai darah yang mengalir dalam badan, jika tersekat atau tersumbat menyebabkan keseluruhan sistem badan akan terganggu dan jika dibiarkan lama akan menimbulkan pelbagai penyakit yang mungkin tidak dapat diubati lagi. Begitu juga diibaratkan dengan bandar yang mengalami kekurangan aliran modal (kewangan, sumber insan, industri) akan menyebabkan bandar itu tergendala keseluruhan sistemnya dan mampu menggugat keutuhan negara ini.

Tumpuan terhadap pembangunan bandar sering diberi perhatian yang begitu tinggi daripada kerajaan untuk membentuk bandar yang berdaya huni dan seterusnya lestari sifatnya. Namun, tumpuan yang dilihat agak keterlaluan diberikan kepada pembangunan fizikal dan kurangnya terhadap pembangunan manusia yang menghuni kawasan bandar.

Justeru, penelitian ini akan melihat usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam memanusiakan bandar itu sendiri. Inisiatif yang melibatkan pembangunan berteraskan ekologi, tetapi terbatas hanya kepada usaha pembangunan alam sekitar semata-mata tanpa memberikan nilai manusia dan kemanusiaannya akan mendatangkan pelbagai gejala sosial. Gabungan membabitkan perkaitan manusia dan alam sekitarnya dengan meletakkan manusia sebagai pusat penelitian dilihat akan membawa kepada aras kelestarian yang lebih baik.

Berdasarkan jumlah penduduk dan kawasan perbandaran mega ini, terlalu banyak isu rentas sempadan, rentas disiplin yang perlu diteliti dengan mendalam. Bandar menjadi survival parti politik di negara ini untuk terus bertahan atau mempertahankan survival masing-masing dalam konteks politik pada hari ini. Semua ini meninggalkan implikasi yang bukan sedikit kepada negara ini pada masa hadapan yang terpaksa bersaing pada peringkat global dan pada masa sama perlu mempertahankan jati diri negara.


Pelabuhan Klang di Selangor.

Implikasi bandar mega

Implikasi pembangunan bandar bersifat mega di negara ini adalah satu pengalaman baharu untuk menguruskan pembangunan bandar bersifat sebegini. Mahu tidak mahu, negara akan berhadapan dengan pembangunan pesat bandar raya dan metropolitan mega ini. Selama ini, negara hanya menguruskan bandar raya, tetapi proses percantuman, pertumbuhan benih-benih bandar yang berasal dari kawasan perkampungan dan bandar kecil, serta proses pengisian (in-filling) berlaku tanpa disedari dan setengahnya tidak dirancang dengan baik.

Untuk mensejahterakan kehidupan bermasyarakat di bandar mega Bernam-Klang-Langat-Linggi dan kawasan berhampirannya dalam tempoh satu dasawarsa mendatang (2020) satu bentuk pengurusan canggih perlu dibangunkan yang melewati aras bandar semata-mata, tetapi harus dilihat dalam konteks kawasan perbandaran mega yang luas ini.


PROTON City di Tanjung Malim, Perak.

Secara asasnya, aspek pengurusan merujuk kepada pembuatan keputusan, kawalan dan disebarkan di pelbagai pihak berkepentingan dalam semua institusi berkaitan sama ada formal dan tidak formal. Pada peringkat tempatan, pengurusan tidak hanya merujuk kepada majlis atau pihak berkuasa semata-mata sementara pada peringkat persekutuan pula tidak tertakluk kepada pihak kerajaan yang memerintah, malahan lebih luas daripada itu.

Satu bentuk kerangka, dimensi, malahan sistem pengurusan canggih demi menjamin kesejahteraan dan keadilan sosial untuk masyarakat bandar ini wajar difikir, direnung, diketengah dan diperdebatkan dengan lebih mendalam terutama berkait dengan perspektif dan dimensi, diambil sebelum sebarang tindakan melalui mekanisma sewajarnya diambil untuk menyelesaikan permasalahan yang menyangkut dengan isu tersebut benar-benar dapat dirungkai dan diselesaikan dengan sebaik-baiknya.

Penulis ialah Felo Kanan/Prof Madya, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia

0 Komentar untuk " Transformasi ke arah kota raya mega "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ