Tipah tidak mahu tertipu lagi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tipah tidak mahu tertipu lagi

TIAP kali timbul isu hutang, yang pertama muncul dalam fikiran ialah nasihat ayah.

Ayah (moga Allahyarham dikumpulkan dalam syurga bersama mereka yang beriman dan beramal soleh) selalu mengingatkan: “Jangan suka pinjam dan jangan bagi pinjam. Kalau ada yang minta, bagi sahaja dua tiga puluh ringgit. Dia tak bayar pun tak apalah. Kita niat macam derma sahajalah.”

Memang tepat kata ayah, apabila terlibat dengan hutang, kawan boleh jadi lawan, siang hati jadi tak tenang, malam tidur tak lena.

Tetapi masalahnya, dalam hal ini, saya tidak dengar cakap dan kerana itu saya terpaksa menanggung bebannya.

Dari mula kerja hingga hari ini, entah berapa kali saya bagi pinjam dan entah berapa kali kawan tidak bayar hutang.

Ada yang lari entah ke mana, tapi ada juga masih terpaksa selalu bertembung,  namun mampu buat muka sardin sahaja.

Memang tepat apabila orang tua-tua ingatkan kita, nak pakai baju, ukurlah di badan sendiri!

Dalam seminggu dua ini, entah mengapa, saya ditakdirkan didatangi beberapa rakan yang secara tiba-tiba meluahkan perasaan mereka mengenai kawan-kawan yang suka pinjam duit, tapi tidak suka bayar.

Ada yang bagi duit untuk beli barang, ada yang ingin sertai perniagaan dan ramai yang senasib dengan saya; bagi pinjam semata-mata untuk bantu kawan.

“Kasihan tengok dia, tak sampai hati pula tak bagi,” itulah selalunya terlintas di fikiran apabila ada kawan minta pinjam wang.

Biasalah apabila kita bagi pinjam, kita bagi dengan senyuman, dengan harapan mudah-mudahan kawan kita pun bayar dengan senyuman juga.

Malangnya, bila ambil duit, dia senyum dari pipi ke pipi dan janji akan bayar ‘on time’, bahkan ada yang selamba mahu bayar lebih konon, walaupun kita tidak minta.

Kita bukan yang jenis ambil bunga, kemudian simbah cat merah di pintu rumah kalau peminjam tak bayar. Kita bukan ah long, kita cuma nak tolong!

Tetapi manusia ini banyak ragamnya. Ada yang baik, tetapi ada juga yang, apabila sampai masa untuk bayar, jangankan bunga, pokoknya pun hangus! Ada lebih teruk,  jumpa kita, sembunyi macam cencorot nampak kucing.

Lebih menyedihkan, sudahlah duit yang dipinjam hangus, si peminjam buat fitnah lagi, kononnya kita bagi pinjam kerana ada udang di sebalik batu. Duit tak dibayar, muka kita pula diconteng arang. Macam ini punya manusia pun ada rupa-rupanya.

Bagi saya, cukup cukuplah, Kali ini saya berazam patuh pada nasihat ayah. Banyak sudah hilang, tetapi belum terlambat.

Antara beberapa kawan yang jumpa saya baru-baru ini, ada yang mengadu mereka jadi mangsa kawan jenis yang hutang tak mahu bayar dan mahu kongsi pandangan.

Seorang daripada mereka (panggil Tipah sahajalah) datang dalam keadaan monyok.

Sudah hampir setahun, katanya, dia bagi duit kepada seorang kawan untuk beli barang. Janji nak bagi dalam seminggu dua, tetapi setiap kali apabila dia meminta, ada sahaja alasan kawannya itu.

Tak bawa barang, tak sempat buka bungkusan, banyak kerja, tak sempat ke ATM, balik kampung ziarah keluarga, anak sakit dan macam-macam lagilah alasannya.

Kesian tengok Tipah. Gaji tidak besar mana, kena kelentong dengan rakan pula.

Dengar cerita, kerana berkat kesabaran dan ketekunannya, sanggup menuntut  hutang setiap kali bertembung, akhirnya dia dapat baliklah duitnya. Tidak banyak mana pun, tetapi Tipah lega. Yang penting, dia tidak rasa diperbodohkan. Dia sudah buat keputusan; tidak mahu dirinya tertipu lagi.

Sebenarnya ramai kawan saya yang jadi mangsa hutang tak bayar, tetapi yang paling teruk ialah seorang kawan sekampung.

Dia beri pinjam RM1 juta kepada isteri seorang VIP sebagai modal niaga. Dipendekkan cerita, bukan sahaja wang lebuh, bayang peminjam pun tidak nampak.

Seorang lagi rakan mengadu dia bagi kawan niaga pinjam RM250,000 dan dalam keadaan kewangannya sendiri terumbang-ambing, dia sanggup beri RM30,000 kepada seorang lagi kawan yang perlukan wang untuk buat perniagaan. Semua RM280,000 itu hangus. Baik sungguh hatinya!

Kawan yang baik hati itu hilang kerja. Daripada seorang pengurus besar, dia jadi penganggur, sebelum berdiri kembali, kali ini menjadi seorang drebar kepada seorang pengurus. Semuanya kerana kawan. Pelik tetapi benar, lucu tetapi kasihan.

Teringat lirik awal lagu Tan Sri P Ramlee dalam filem Bujang Lapok: Dunia ini hanya palsu; manusia berdusta; kebanyakan suka menipu; gemar membuat dosa.......

0 Komentar untuk " Tipah tidak mahu tertipu lagi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ