Redah lumpur tebal bantu mangsa banjir - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Redah lumpur tebal bantu mangsa banjir

"Terima kasih pengakap kerana berada di barisan depan misi kemanusiaan pasca-banjir, "kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika melepaskan konvoi fasa pertama bantuan banjir Sukarelawan Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kelantan, minggu lalu. Walaupun spontan, kata-kata beliau besar ertinya bagi warga Persekutuan Pengakap Malaysia.

Nada yang sama turut diluahkan guru besar Sekolah Kebangsaan Penambang, Kota Bharu, Hajjah Faridah Che Long yang tidak menduga masih ada insan yang sanggup turun padang seperti ahli Pengakap membantu membersihkan sekolahnya yang penuh dengan lumpur tebal walaupun ada dua hari lagi sekolah hendak dibuka untuk hari pendaftaran murid Tahun Satu, manakala empat hari kemudian untuk sesi sekolah secara keseluruhannya.

Turut berkongsi perasaan terima kasih ialah penduduk kampung di sekitar Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama, yang tidak menyangka kesanggupan Persekutuan Pengakap Malaysia turun padang menggunakan kenderaan pacuan empat roda sehingga ke kawasan yang teruk ditimpa bencana banjir.

"Molek sungguh demo mari, kesie kat kami...terima kasih. Allah saje yang membalas budi baik tuan-tuan (sukarelawan pengakap)," kata seorang pakcik, Harun Mat, pertengahan 60-an sambil membetulkan atap zink sebagai tempat teduhan sementara keluarganya.

Seperti kata Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman, yang juga sibuk mengagih bekalan makanan dan keperluan asas lain, misi pengakap ialah membantu orang lain sebaik mungkin.

Bukan sekadar jambori, perkhemahan

"Pengakap bukan lagi sinonim dengan jambori, perkhemahan, belajar ikat tali, sekadar tepuk-tepuk pengakap atau kawad kaki semata-mata. Kami sebenarnya sudah lama berada di barisan depan, cuma agak low-profile kerana pergerakan pengakap boleh diertikan sebagai pergerakan sukarela, maka tidak perlu sangat ditonjol-tonjolkan.

"Namun, kali ini agak berbeza ketrampilan pengakap kerana bencana yang menimpa di Pantai Timur cukup dahsyat, amat memilukan dan kami (pengakap) terpanggil untuk mengerahkan anggota kami yang ada di seluruh negara untuk turun ke padang," kata beliau dengan penuh semangat walaupun agak letih ketika ditemui di Kem Kijang Pengakap Antarabangsa, Kota Bharu.

Antara yang turun padang pada fasa pertama bantuan banjir Sukarelawan JPM ialah orang kuat Majlis Pengakap Negara, Datuk Dr Aziz Jamaludin Mohd Tahir (Timbalan Yang di-Pertua), Datuk Ismail Ramli (Naib Yang di-Pertua), Datuk Abdullah Taib (Bendahari Kehormat) dan Datuk Chong Lian Foo (Ahli Majlis), di samping kumpulan Pesuruhjaya Ibu Pejabat seperti Datuk Paduka Abdul Shukor Mohsin (Pesuruhjaya Latihan Negara), Abd Razak Shahidan (Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap (Pentarafan Pengakap Raja) dan Mohd Zamir Mohd Sharif (Setiausaha Kerja Majlis Pengakap Negara yang juga Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka).

Penulis yang turut serta dalam konvoi ini juga amat kagum dengan semangat pengakap Remaja dan Kelana tidak kira latar belakang kaum, agama dan perbezaan darjat. Mereka ceria ketika turun padang membantu mangsa banjir di Pantai Timur. Beraksi dengan selut atau lumpur, tidak pernah memadamkan semangat anak-anak muda ini.


SUKARELAWAN Pengakap Laut dan Pengakap Udara bertungkus lumus menyusun dan mengangkat barang keperluan asas bagi bantuan banjir di Pangkalan TUDM Subang.

Taat setia antara nilai murni amalan pengakap

Pengakap selalu dipesan supaya membina persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan anggota dan ini menjadikan taat setia sebagai satu nilai murni dalam pergerakan pengakap.

Bak kata slogan pengakap, "Buat Sehabis Baik" - pengakap Kanak-kanak, "Selalu Bersedia" - pengakap Muda, "Pandang Luas" - pengakap Remaja dan "Berkhidmat" - pengakap Kelana, ia adalah formula yang dipupuk dalam kalangan anggota berusia 10 tahun sehingga dewasa. Inilah rahsia pergerakan Pengakap selama ini yang mampu melaksanakan setiap pekerjaan dengan sehabis baik dan sedaya upaya.

Di samping itu, pengakap sentiasa atau selalu bersedia dalam apa jua keadaan dan masa, umpamanya membantu mangsa banjir di pusat pemindahan banjir dan ringan tulang ketika pasca-banjir. Pengakap dilatih turun padang supaya setiap pengalaman yang ditempuhi memberi pandangan luas dalam membentuk jati diri dan sahsiah masing-masing.

Apatah lagi konsep berkhidmat sentiasa tersemat di dada ahli pengakap untuk masyarakat. Secara falsafahnya, pergerakan Persekutuan Pengakap Malaysia mempunyai tujuan untuk memberi latihan kepemimpinan yang berasaskan Prinsip dan Undang-Undang Pengakap ke arah mencapai nilai murni dan mengeratkan Persaudaraan Pengakap Antarabangsa tanpa mengira warna kulit, agama dan kebudayaan serta bersepadu dari segi intelek, rohani dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha dan amalan demikian adalah untuk memperkukuh disiplin dan akhlak diri, membentuk sifat bersopan santun, berbudi bahasa, serta bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat, untuk menuju matlamat akhir pergerakan supaya menjadi warga yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Semua ini jelas terpancar dalam misi bantuan pasca banjir yang diusahakan bersungguh-sungguh oleh Kelab Pejabat Perdana Menteri, Kelab Bukit Perdana JPM bersama Persekutuan Pengakap Malaysia serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang turut disertai Pengerusi Sukarelawan JPM, Datuk Shahlan Ismail. Seramai 1,500 sukarelawan, termasuk 500 anggota pengakap dari seluruh negara terbabit dalam fasa pertama.

Inilah nilai murni yang didukung Persekutuan Pengakap Malaysia kepada anggotanya sejak penubuhan pengakap di negara ini lebih 100 tahun lalu, malah pembinaan insan madani dan mewujudkan semangat sukarelawan dan patriotisme sebagai satu bangsa Malaysia, sejajar dengan konsep 1Malaysia.

Penulis berani menyatakan Persekutuan Pengakap Malaysia boleh dijadikan asas kemakmuran dan asas kesetiaan kerana selama ini pun, pertubuhan ini sentiasa memperkasakan semangat sukarelawan, menitikberatkan perpaduan kaum dan integrasi nasional serta melahirkan generasi yang cergas, cerdas, berkeyakinan diri dalam membentuk jati diri. Tepuk-tepuk Pengakap!

Penulis ialah Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Media dan Penerangan) dan sukarelawan bantuan banjir dan kemanusiaan Jabatan Perdana Menteri (JPM)

0 Komentar untuk " Redah lumpur tebal bantu mangsa banjir "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ